Hong Kong Monetary Authority dan Bank Negara Malaysia menandatangani MoU untuk memajukan kewangan Islam
Hong Kong Monetary Authority (HKMA) dan Bank Negara Malaysia hari ini membuat pengumuman bersama mengenai penandatanganan Memorandum Persefahaman berhubung dengan kerjasama dalam pembangunan industri perkhidmatan kewangan, terutamanya dalam bidang kewangan Islam.
Bagi mencapai perkongsian strategik jangka panjang di bawah MoU ini, kedua belah pihak bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam beberapa bidang utama berikut:
- Bina upaya dan pembangunan modal insan;
- memudahkan dan menggalakkan pembangunan infrastruktur pasaran kewangan yang efektif melalui pertukaran maklumat dan pengalaman dalam pembangunan rangka kerja perundangan, pengawalan dan penyeliaan bagi kewangan Islam; dan
- menggalakkan aktiviti kewangan merentas sempadan melalui usaha pengharmonian piawaian dan dokumentasi berkaitan urus niaga kewangan Islam dan menggalakkan penggunaan kontrak kewangan Islam secara konsisten bagi urus niaga merentas sempadan.
"Penandatanganan MoU ini menandakan permulaan era baharu kerjasama antara HKMA dengan Bank Negara Malaysia," ujar Mr. Joseph Yam, Ketua Eksekutif HKMA. "Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk meneruskan pembangunan industri kewangan Islam dan merintis jalan bagi inisiatif pada masa depan yang akan memanfaatkan kedua buah negara."
Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia berkata, "Usaha ini yang merangkumi kerjasama dalam bidang kewangan Islam akan membuka lagi peluang untuk meningkatkan aliran ekonomi dan kewangan antara Hong Kong dengan Malaysia".
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Hong Kong Monetary Authority
Peggy Lo, Manager (Press), at +852 2878 1687; or
Hing-fung Wong, Manager (Press), at +852 2878 1802
Bank Negara Malaysia
Cik Lee Poh Fong, Pengurus, Jabatan Komunikasi Korporat, di +603 2698 8044 Samb. 8622; atau
Puan Norrayati Tumin, Pengurus, Jabatan Komunikasi Korporat, di +603 2698 8044 Samb. 8927
Hong Kong Monetary Authority
Bank Negara Malaysia
28 September 2009
Maklumat Lanjut Mengenai HKMA and Bank Negara Malaysia
Hong Kong Monetary Authority (HKMA)
HKMA ialah pihak berkuasa Kerajaan Hong Kong yang bertanggungjawab untuk mengekalkan kestabilan monetari dan perbankan, menguruskan rizab rasmi Hong Kong dan membangunkan infrastruktur kewangan Hong Kong. HKMA ialah sebahagian daripada Hong Kong Special Administrative Region Government yang beroperasi dengan autonomi yang tinggi, serta dilengkapi dengan tahap kebertanggungjawaban dan ketelusan yang tinggi.
Bank Negara Malaysia (BNM)
Bank Negara Malaysia, iaitu Bank Pusat Malaysia, ialah pihak berkuasa pengawalan dan penyeliaan untuk industri perbankan dan kewangan di Malaysia, termasuk industri perbankan Islam dan takaful, dan mempunyai kuasa, fungsi, dan tugas untuk melaksanakan pengawalan dan penyeliaan seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang yang relevan di Malaysia.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.