Inisiatif Mengukuhkan Perlindungan Pengguna
Perlindungan pengguna merupakan komponen yang penting dalam sistem perbankan yang dinamik. Bagi memenuhi matlamat ini, Bank Negara Malaysia telah menjalankan satu kajian terperinci bagi memastikan orang ramai mendapat akses kepada perkhidmatan perbankan pada kos yang berpatutan, dan akan mengeluarkan garis panduan bagi mentadbir pengenaan fi dan caj oleh institusi perbankan. Dengan garis panduan tersebut, berkuatkuasa 1 Februari 2005 institusi perbankan akan perlu menawarkan perkhidmatan perbankan asas pada kos yang minimum. Maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kemudian.
Di samping itu, Bank Negara Malaysia telah mengambil pendekatan yang menyeluruh untuk mengukuhkan perlindungan pengguna dengan:
- Menyediakan mekanisme yang berkesan untuk para pengguna menyelesaikan masalah mereka. Bagi tujuan ini, institusi perbankan telah menubuhkan unit aduan untuk menangani ketidakpuasan para pelanggan. Di samping itu, Biro Pengantara Kewangan (FMB) yang telah dinaiktaraf akan memulakan operasinya pada bulan Januari 2005;
- Mewujudkan keperluan ketelusan dan pemakluman terhadap institusi perbankan untuk memastikan para pengguna diberi maklumat yang cukup dalam masa yang sesuai mengenai ciri-ciri dan kos produk dan perkhidmatan kewangan, bagi membantu mereka membuat keputusan yang baik.
Walaupun garis panduan pengenaan fi dan caj tersebut bertujuan melindungi kepentingan pengguna, ia perlu diimbangi oleh keperluan menyediakan suasana yang dapat menggalakkan inovasi dan penyediaan perkhidmatan yang lebih baik oleh institusi perbankan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.