Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Negara Malaysia mengenai pengaturan perkongsian data
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Negara Malaysia mengenai pengaturan perkongsian data hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia diwakili oleh Ketua Perangkaan Malaysia, Puan Hajah Wan Ramlah Wan Abdul Raof manakala Timbalan Gabenor, Dato' Ooi Sang Kuang pula mewakili pihak Bank Negara Malaysia.
Dalam usaha mempertingkatkan kecekapan pengumpulan data, DOSM melalui pengaturan perkongsian data boleh memanfaatkan data pentadbiran yang dikumpul oleh agensi lain daripada bergantung sepenuhnya pada tinjauan dan bancian berkala. Data yang dikumpul akan digunakan untuk penyusunan penunjuk ekonomi dan sosial dan boleh dikongsi dengan agensi kerajaan lain untuk perancangan, pemantauan dan perumusan dasar.
Bank Negara merupakan agensi pertama menandatangani MoU di bawah pengaturan pengurusan perkongsian data antara agensi yang dimulakan oleh DOSM. MoU ini akan membuka jalan untuk mewujudkan lebih banyak usaha bersama antara DOSM dengan agensi kerajaan lain bagi mencapai tahap kecekapan dan keberkesanan yang lebih tinggi dalam pengumpulan dan penyebaran data.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif bersama ini, DOSM dan Bank Negara Malaysia telah melaksanakan Pelaporan Bersama mengenai Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (International Investment Position, IIP) sejak suku pertama tahun 2008. Inisiatif bersama ini telah berjaya mengurangkan beban pelaporan untuk lebih daripada 2,000 syarikat dengan mengkehendaki syarikat-syarikat ini mengemukakan satu laporan sahaja berbanding dengan dua laporan sebelum ini. Ini telah meningkatkan kadar pengemukaan laporan kepada 98%. Selain itu, lat masa bagi penerbitan IIP Tahunan dipendekkan kepada enam bulan berbanding dengan tempoh sembilan bulan sebelum ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia
Bank Negara Malaysia
21 Ogos 2008
- Lihat juga: Gambar semasa pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengaturan perkongsian data antara Jabatan Perangkaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Jabatan Perangkaan Malaysia diwakili oleh Ketua Perangkaan Malaysia, Puan Hajah Wan Ramlah Wan Abdul Raof manakala Dato' Ooi Sang Kuang, Timbalan Gabenor mewakili Bank Negara Malaysia. [Gambar Beresolusi Tinggi: JPG, 737KB]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.