Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) terbitkan Katalog Data Iklim berserta Laporan
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) hari ini menerbitkan Katalog Data Iklim (“katalog data”) berserta laporan iringan yang meringkaskan dapatan utama katalog data dan menggariskan saranan untuk menangani jurang data.
Katalog data ini mengandungi data mustahak yang diperlukan oleh sektor kewangan bagi menyokong kes penggunaan yang telah dikenal pasti serta termasuk data yang tersedia, data yang sebahagiannya tersedia dan data yang belum ada, serta pemerhatian berhubung dengan jurang data.
Katalog data ini dibangunkan untuk menjadi sumber rujukan dan panduan mengenai data tentang iklim dan alam sekitar untuk sektor kewangan serta berfungsi sebagai seruan untuk bertindak kepada pihak berkepentingan untuk menambah baik ketersediaan dan akses kepada data iklim secara kolektif.
Versi PDF katalog data ini dilampirkan dalam laporan, manakala kandungan yang sama disediakan dalam format Excel bagi memudahkan penyaringan dan pencarian data.
- Laporan Katalog Data Iklim dan Saranan (PDF)
- Katalog Data Iklim (Laman web JC3, 2023)
Pada masa hadapan, JC3 akan menggiatkan usaha untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menangani jurang data. Bidang yang menjadi tumpuan utama pada tahun 2023 adalah untuk bekerjasama dengan penyedia data bagi meningkatkan ketersediaan dan akses kepada beberapa item data yang menjadi keutamaan.
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
16 Disember 2022

Mengenai JC3
JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Datuk Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli-ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 21 peserta industri kewangan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab lima jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data.
Ahli-ahli: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), BIMB Investment Management Berhad, BNP Paribas Asset Management Sdn. Bhd., Bursa Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Kenanga Investors Berhad, Maybank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, RHB Islamic International Asset Management Bhd., Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Swiss Re Asia Pte. Ltd. (Swiss Retakaful), Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, UOB Asset Management (Malaysia) Berhad dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.