Jawatankuasa Pasaran Kewangan akan memacu pembangunan kadar penanda aras kewangan alternatif untuk Malaysia
Jawatankuasa Pasaran Kewangan[1] (Financial Markets Committee, FMC) telah dilantik sebagai jawatankuasa untuk menyelia pembangunan kadar rujukan alternatif (alternative reference rate, ARR) bagi Malaysia dan untuk mempertimbangkan kesinambungan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Interbank Offered Rate, KLIBOR).
Pembaharuan penanda aras kewangan sedang dijalankan pada peringkat antarabangsa bagi meningkatkan integriti penanda aras kadar faedah atau kadar rujukan global, sejajar dengan cadangan Lembaga Kestabilan Kewangan (Financial Stability Board, FSB). Bank menjangkakan ARR yang dikenal pasti akan bergerak selari dengan KLIBOR yang sedia ada, lantas memberikan waktu yang cukup bagi para peserta pasaran dan pihak berkepentingan untuk bersedia menggunakan ARR.
FMC terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, institusi kewangan, penanggung insurans, pengurus dana dan perbendaharaan korporat. FMC akan menjadi forum utama bagi membincangkan perkembangan terkini pada peringkat antarabangsa mengenai penanda aras kewangan dan bertanggungjawab memberikan cadangan tentang hala tuju strategik untuk kadar penanda aras kewangan di Malaysia.
Tugas utama jawatankuasa pertamanya adalah untuk mendapatkan maklum balas orang ramai pada peringkat awal mengenai pengenalpastian ARR yang sesuai dan penambahbaikan rangka kerja KLIBOR jika rangka kerja itu dikekalkan. FMC juga akan mempertimbangkan standard industri secara menyeluruh bagi memudahkan penerapan ARR untuk kontrak kewangan semasa yang menggunakan KLIBOR sebagai rujukan.
Kemas kini secara berkala tentang kemajuan yang dicapai oleh FMC termasuk penilaian dan saranannya akan diterbitkan untuk rujukan oleh semua peserta pasaran.
[1] Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.