JC3 Umumkan Inisiatif Bagi Menyokong Peralihan Yang Inklusif kepada Ekonomi Lebih Lestari
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengumumkan lima inisiatif utama untuk mempercepat peralihan perniagaan dan petani ke arah amalan rendah karbon.
Pengumuman yang dibuat pada Persidangan JC3 Journey to Zero yang bermula pada hari ini menekankan komitmen JC3 untuk melaksanakan tindakan iklim yang dipercepatkan dan pada masa yang sama menegaskan peranan industri kewangan yang sangat penting bagi menggerakkan agenda kelestarian untuk negara.
Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia, berkata, “Bank Negara Malaysia akan terus menyediakan persekitaran dasar yang memudahkan industri untuk memajukan inovasi kewangan serta meneroka struktur kewangan baharu, yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pembiayaan yang besar bagi mengurangkan dan menyesuaikan risiko iklim. Usaha ini akan memerlukan peranan perkongsian awam-swasta yang dipertingkatkan serta struktur kewangan campuran yang inovatif."
Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, berkata, “Berikutan pembangunan yang mampan dan peralihan tenaga memerlukan pembiayaan yang besar, sektor kewangan khususnya pasaran modal perlu terus membantu pembiayaan dan pelaburan dalam bidang utama ini bagi menyokong keutamaan Kerajaan.”
“Oleh itu, pasaran modal harus bersedia untuk memudahkan pengumpulan dana dan pelaburan bagi mencapai matlamat kelestarian dan iklim,” tambah beliau.
Y.B. Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, berkata, "Etos rangka kerja pentadbiran ini, iaitu Malaysia Madani dan Ekonomi Madani, sememangnya berteraskan pada kelestarian. Sejak mengambil alih pemerintahan, kami telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menyumbang kepada tindakan iklim dan mengubah ekonomi kita.
“Belanjawan 2024 terus berdasarkan pada Ekonomi Madani dengan langkah-langkah holistik untuk menangani perubahan iklim dan menjadi pelengkap kepada dasar lain seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR), Pelan Induk Perindustrian Baru (New Industrial Master Plan, NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," kata beliau.
Kerjasama antara sektor awam dengan swasta tersebut merangkumi perkara yang berikut:
1. Menghijaukan Taman Perindustrian
Projek rintis ini, yang merupakan kerjasama antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan SIRIM, bertujuan untuk melaksanakan peralihan pengurusan taman perindustrian dan operasi syarikat penyewa mereka kepada amalan rendah karbon dan lestari. Inisiatif ini termasuk membangunkan infrastruktur seperti pengurusan sisa bersepadu, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta sistem pengukuran, pemantauan dan pelaporan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases, GHG) dan juga sistem pengesahan.
Dengan memanfaatkan S.M.A.R.T. iaitu penyelesaian canggih oleh SIRIM, yang direka untuk proses dan amalan lestari, taman perindustrian akan dapat meningkatkan kecekapan, meminimumkan sisa, mengurangkan jejak karbon dan memastikan proses pengeluaran yang mesra alam.
2. Program Penghijauan Rantaian Nilai dengan Bursa Malaysia
Susulan hasil positif daripada program rintis Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) JC3, Platform Perisikan Kelestarian Berpusat (Centralised Sustainability Intelligence, CSI) Bursa Malaysia kini bekerjasama dengan program GVC JC3. Program GVC JC3 ini telah diumumkan pada tahun 2022 bersempena dengan Hari Kewangan di COP-27 dan telah membolehkan lebih 80 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan empat syarikat korporat perserta mula mengukur dan melaporkan pelepasan GHG mereka,
Melalui kerjasama ini, lebih banyak PKS dalam rantaian bekalan Syarikat Tersenarai Awam (Public Listed Companies, PLC) dapat meraih manfaat daripada sokongan pembinaan keupayaan, alat pelaporan pelepasan GHG dan kemudahan kewangan peralihan.
3. Skim jaminan portfolio pembiayaan ESG sebanyak RM1 bilion
Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dengan kerjasama 18 bank perserta akan menawarkan skim jaminan portfolio berjumlah RM1 bilion untuk pembiayaan ESG bagi menyokong akses pembiayaan yang lebih luas kepada PKS.
4. Portal Pemula ESG
Selain itu, portal sehenti dalam talian bagi PKS mengakses maklumat asas untuk memulakan peralihan kelestarian mereka kini tersedia menerusi laman web JC3. Portal ini mengandungi maklumat yang berguna dan praktikal mengenai program pembinaan keupayaan, skim pensijilan, serta skim kewangan dan insentif. Portal ini turut memaparkan sumber-sumber lain yang berkaitan yang ditawarkan oleh industri kewangan, agensi kerajaan dan organisasi rakan kerjasama lain.
5. Teknologi Pertanian Hijau (Green AgriTech)
JC3 sedang mengambil langkah bagi memperkasakan lagi sektor pertanian melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Malaysia Digital Economy Corporation untuk menjadi perintis program Green AgriTech, dengan memberikan tumpuan utama kepada agenda ESG sektor pertanian. Program ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan amalan pertanian lestari dalam kalangan petani tempatan.
JC3 juga telah menerbitkan Katalog Data Iklim (Climate Data Catalogue, DC) 2023 menerusi laman webnya pada hari ini, yang mencerminkan keperluan dan sumber data terkini. DC 2023 adalah lebih menyeluruh, menggabungkan item data tambahan berbanding dengan versi pertama yang dikeluarkan pada bulan Disember 2022. Terbitan terkini menampilkan sejumlah 249 item butiran data yang merujuk 399 sumber data daripada 135 penyedia data. Ketersediaan item data yang diperlukan dari segi sumber, siri masa dan butiran juga bertambah baik. DC 2023 kini tersedia dalam versi Excel dan berasaskan web.
Persidangan tiga hari ini juga mengiktiraf ahli dan individu JC3 yang telah memainkan peranan yang sangat penting dan aktif dalam menerajui inisiatif JC3. Butiran lanjut boleh didapati menerusi https://www.jc3malaysia.com.
Persidangan JC3 Journey to Zero mengumpulkan lebih 3,000 peserta yang terdiri daripada pengawal selia, pakar iklim, penyokong, pengamal dan pembuat dasar. Persidangan ini bertujuan menggalakkan dialog dan penyelesaian untuk membiayai peralihan dan kemajuan Malaysia ke arah pembangunan mampan.

Mengenai JC3
JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Datuk Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli-ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 21 peserta industri kewangan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab lima jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data. Kumpulan Fokus PKS telah ditubuhkan baru-baru ini untuk membangunkan strategi dan penyelesaian yang menyokong peralihan oleh PKS.
Ahli-ahli:
- Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad
- AmBank (M) Berhad
- Bank Islam Malaysia Berhad
- Bank Pembangunan Malaysia Berhad
- Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank)
- BIMB Investment Management Berhad
- BNP Paribas Asset Management Sdn. Bhd.
- Bursa Malaysia Berhad
- CIMB Bank Berhad
- Etiqa Family Takaful Berhad
- HSBC Amanah Malaysia Berhad
- Kenanga Investors Berhad
- Maybank Berhad
- MIDF Amanah Investment Bank Berhad
- MSIG Insurance (Malaysia) Berhad
- RHB Islamic Bank Berhad
- RHB Islamic International Asset Management Bhd.
- Standard Chartered Bank Malaysia Berhad
- Swiss Re Asia Pte. Ltd. (Swiss Retakaful)
- Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad
- UOB Asset Management (Malaysia) Berhad, dan
- Zurich General Insurance Malaysia Berhad
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3)
23 Oktober 2023
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.