Jemputan pencalonan global bagi Anugerah Diraja Kewangan Islam Malaysia

Embargo: Untuk siaran segera
28 Okt 2015 Siaran Akhbar

Anugerah Diraja Kewangan Islam Malaysia memulakan pencarian global untuk memberi pengiktirafan kepada individu terbilang dalam bidang kewangan Islam, dengan pembukaan pencalonan bagi penerima keempat Anugerah Diraja tersebut.

Anugerah Diraja tersebut yang julung kali diadakan pada tahun 2010 sebagai anugerah dwitahunan, dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi menyokong Malaysia sebagai pasaran kewangan Islam.  Anugerah Diraja tersebut mengiktiraf individu berwawasan kewangan Islam yang memberikan sumbangan penting kepada pertumbuhan ekonomi global dan perkembangan sosial masyarakat di seluruh dunia.

Tujuh juri bebas antarabangsa yang dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam, akan memilih individu yang layak menerima anugerah tersebut. Kriteria pemilihan Anugerah Diraja Kewangan Islam itu merangkumi aspek-aspek kualitatif dan kuantitatif sumbangan cemerlang individu yang dicalonkan terhadap kewangan Islam di peringkat global. Ini termasuklah inovasi kewangan dan kerja-kerja perintisan, kepimpinan cemerlang, pengetahuan dan pemakaiannya dalam industri, dan inspirasi serta pengaruh ke arah kemajuan dan pembangunan masa hadapan kewangan Islam.

Penerima anugerah tersebut bertindak sebagai teladan kepada yang lain untuk menyumbang ke arah memajukan industri. Pada tahun 2010, penerima pertama anugerah tersebut ialah Shaikh Saleh Abdullah Kamel, Pengerusi Al Baraka Banking Group, dan pada tahun 2012, ia dianugerahkan kepada Encik Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital. Penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam pada tahun 2014 ialah Dato’ Dr Abdul Halim Ismail, yang diiktiraf di atas peranan penting yang dimainkannya dalam penubuhan struktur organisasi dan prosedur operasi bank Islam pertama di Malaysia pada tahun 1983.

Tarikh akhir pencalonan adalah pada 14 Disember 2015. Individu atau pihak yang berminat boleh menghantar pencalonan secara dalam talian melalui laman sesawang www.theroyalaward.com  atau e-mel [email protected].

Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong akan menyampaikan Anugerah Diraja tersebut kepada penerimanya bagi tahun 2016 di Majlis Makan Malam Diraja dan penyampaian anugerah yang akan diadakan pada Mei 2016 di Kuala Lumpur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Bagi menyokong Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia

Pihak Media boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-62048305 (Lau Mei San), 03-62048265 (Delyana Nordin), 03-62048242 (Mohamad Lutfi Hakim) atau no. faks: 03-62015078 atau      e-mel: [email protected].

NOTA KEPADA EDITOR

Penerima pertama Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam tersebut pada tahun 2010 ialah Shaikh Saleh Abdullah Kamel dari Arab Saudi yang kerja-kerjanya sepanjang empat dekad telah menyumbang kepada  penggunaan kewangan Islam di peringkat global dan impaknya terhadap kewangan, ekonomi dan sosial terus kekal di seluruh dunia.  Shaikh Saleh mendapat sanjungan meluas kerana menjadi perintis penggunaan prinsip-prinsip patuh Syariah dalam perbankan dan perniagaan dan merupakan antara individu pertama yang merangka kontrak Islam untuk digunakan dalam operasi perniagaannya dalam tahun 1960an.  Untuk memberi inspirasi dan membangunkan bakat dan inovasi masa hadapan, beliau membangunkan Pusat Penyelidikan Ekonomi Islam di Universiti King Abdulaziz serta Pusat Sains dan Teknologi Jeddah di Arab Saudi serta mengasaskan Pusat Ekonomi Islam Saleh Kamel di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Pusat Pengajian dan Penyelidikan Perbankan Saleh Kamel Center di Universiti King Saud, Arab Saudi.

Pada tahun 2012, Anugerah Diraja itu telah dianugerahkan kepada Iqbal Khan kerana dedikasi, usaha dan kepimpinan luar biasanya dalam memacu perkembangan dan kemudahan kebolehcapaian kewangan Islam di peringkat global. Iqbal Khan telah memainkan peranan utama dalam memudahcarakan, menggalakkan dan menginovasi kewangan Islam di peringkat global. Beliau juga telah berperanan dalam mewujudkan beberapa institusi dan inisiatif industri kewangan Islam, termasuk Citi Islamic Investment Bank, Projek Kewangan Islam di Universiti Harvard, Meezan Bank, HSBC Amanah dan yang terbaru Fajr Capital, yang mana beliau merupakan Ahli Lembaga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau juga mempunyai peranan penting dalam menginovasikan dan menggalakkan sukuk global sebagai satu mekanisme penjanaan modal oleh kerajaan. Pada tahun 2006, beliau menerima Anugerah Euromoney atas Sumbangan Cemerlang terhadap Kewangan Islam, dan dicalonkan dan dipilih oleh Islamic Financial News sebagai Ahli Perbankan Islam Individu Terbaik bagi tahun 2005. Beliau juga diiktiraf sebagai United States House of Representatives pada tahun 2000 atas sumbangannya dalam bidang kewangan dan ekonomi. Pada tahun yang sama, beliau memenangi Anugerah LARIBA Award atas Kecemerlangan dalam Bahagian Penggiat Perbankan Islam.

Paling terkini, Anugerah Diraja Kewangan Islam 2014 telah disampaikan kepada Dato’ Dr Abdul Halim Ismail, rakyat Malaysia pertama menerima anugerah ini diiktiraf berdasarkan peranan utama beliau dalam mewujudkan struktur organisasi dan prosedur operasi bank Islam pertama di Malaysia pada tahun 1983. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam dan Pengerusi lembaga syarikat Takaful Malaysia, syarikat insurans Islam pertama di negara ini. Pada tahun 1994, Dr Abdul Halim turut membantu menubuhkan BIMB Securities, syarikat broker saham Islam pertama di Malaysia. Di bawah kepimpinannya, kedua-dua industri dan institusi kewangan telah berkembang, menjadikan kewangan Islam alternatif yang semakin menarik dan melengkapi kewangan konvensional. Wawasan dan kepimpinan beliau turut menjadikan Bank Islam sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berjaya dan mantap dan menegakkan amalan terbaik Syariah. Bank Islam telah memberikan sokongan, kerjasama dan latihan bagi bank-bank Islam yang kemudiannya ditubuhkan di rantau ini.

Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia

Sejak diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan sofistikated. Pasaran tersebut mempunyai ciri-ciri kawal selia, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap, pasaran utama yang luas dan pasaran sekunder sukuk yang aktif, pelbagai penggiat industri dan pangkalan bakat dengan keupayaan global dan hubung kait dengan urusan perniagaan di serata dunia, inovasi produk, dan sistem penyelesaian dan penjelasan pelbagai mata wang yang cekap dan luas. Pasaran kewangan Malaysia terbuka kepada penggiat industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan meraih manfaat bersama daripada persekitaran perniagaan berinovasi, kepakaran dan proses urus niaga yang sangat kondusif. 

Pasaran kami merupakan sebuah ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh yang dikendalikan oleh Komuniti Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com, ikuti kami di @MalaysiaIF dan muat turn MYIF app di Apple Store dan Google Play.

Mengenai Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan pada tahun 1959, bawah Akta Bank Pusat Malaysia 1958 (semakan semula pada tahun 2009). Bank pusat tersebut pada dasarnya dipertanggungjawabkan bagi mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan dan menjalankan pemantauan ke atas sistem pembayaran di negara ini.

Sehingga kini, BNM telah memberikan sumbangan penting terhadap pembangunan sektor kewangan yang menyeluruh, cekap dan bingkas, yang berupaya memenuhi keperluan sofistikated para pengguna dan perniagaan yang semakin meningkat. Sektor kewangan Malaysia kini merangkumi kedua-dua perkhidmatan kewangan konvensional dan Islam.

Dengan tumpuan terhadap kewangan Islam yang Malaysia mempunyai kelebihan komparatif, BNM telah menerajui usaha mempromosi Malaysia sebagai sebuah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa. Dalam inisiatif ini, BNM meluluskan lesen bagi penubuhan Bank Islam Antarabangsa dan Pengusaha Takaful Antarabangsa, serta memfokuskan kepada pewujudan institusi termasuk penubuhan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) dalam menggalakkan latihan, pendidikan dan penyelidikan bagi memajukan pembangunan bakat bagi industri perkhidmatan kewangan Islam.  Dalam pada itu, Majlis Penasihat Syariah BNM memastikan penggunaan prinsip-prinsip Syariah dalam perkhidmatan kewangan Islam oleh penyedia di bawah bidang kuasa BNM dan bertindak sebagai penasihat kepada BNM mengenai perkara-perkara berkaitan Syariah bagi perkhidmatan berkenaan.

Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, adalah sebuah badan statutori yang melapor kepada Menteri Kewangan. 

SC mempunyai tanggungjawab secara langsung bagi menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran has termasuk bursa dan rumah penjelasan, serta orang yang dilesenkan bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Fungsi ini diperkukuh dengan matlamat utama untuk melindungi pelabur.  SC juga bertanggungjawab menggalakkan dan membangunkan pasaran sekuriti dan derivatif di Malaysia.  
SC menerajui pembangunan pasaran Islam Malaysia (ICM) dengan menubuhkan Majlis Penasihat Syariah (MPS) bagi memberikan nasihat mengenai hal-hal yang berkaitan dengan aktiviti dan produk pasaran modal Islam. Sehingga kini, SC telah membangunkan rangka kerja yang komprehensif dan dimudah cara bagi dana Islam dan pengurusan kekayaan. Selain itu, SC juga memacu inovasi produk dalam sektor ekuiti dan sukuk Islam (bon Islam); di samping menggalakkan pendidikan, latihan, perundingan dan penyelidikan bagi ICM. 

Layari www.sc.com.my untuk maklumat lanjut.


Bank Negara Malaysia
28 Oktober 2015

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?