Jualan Lelong Wang Kertas Malaysia Bernombor Siri Istimewa
Bank Negara Malaysia akan mengadakan jualan lelong wang kertas Malaysia bernombor siri istimewa buat julung kalinya pada 27 September 2014 kepada orang ramai di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia. Jualan lelong ini akan dikendalikan oleh MNP Auctioneers (Central) Sdn. Bhd. (MNP), iaitu jurulelong yang dilantik oleh Bank Negara Malaysia.
Tujuan jualan lelong ini adalah untuk memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai untuk memperoleh wang kertas bernombor siri istimewa yang menjadi rebutan, contohnya CC8888888 atau AY1234567. Wang kertas bernombor siri istimewa ini mempunyai nilai premium dalam pasaran pengumpul wang kertas. Jualan lelong ini juga merupakan salah satu inisiatif Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan minat dan pemahaman yang lebih baik tentang bidang numismatik dalam kalangan orang ramai.
Hasil daripada jualan lelong ini akan digunakan untuk menyokong program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility, CSR) Bank Negara Malaysia termasuk menyediakan peralatan secara percuma bagi membantu golongan kurang upaya penglihatan dan peruncit kecil mengenal pasti dan mengesahkan ketulenan wang kertas. Hasil jualan juga akan digunakan untuk program jangkauan bagi mendidik orang ramai teknik pengesahan wang kertas dan duit syiling selain cara yang betul mengendalikan wang kertas polimer.
Maklumat lanjut berhubung dengan jualan lelong ini boleh didapati di laman sesawang MNP (www.mnp.com.my).
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.