Karnival Celik Kewangan Johor: Mempertingkatkan Keupayaan Kewangan Digital Rakyat Malaysia
Bank Negara Malaysia dengan kerjasama ahli dan rakan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) serta industri kewangan sedang menganjurkan Karnival Celik Kewangan (KCK). KCK Johor kini berlangsung mulai 27 Oktober hingga 29 Oktober 2023 di AEON Mall Kulaijaya, Johor.
KCK Johor merupakan acara kemuncak Bulan Literasi Kewangan 2023 (Financial Literacy Month 2023, FLM 2023) yang diadakan sepanjang bulan Oktober. FEN telah mengunjungi lebih 50 lokasi di seluruh negara semasa FLM 2023 untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan celik kewangan dan menggalakkan rangkuman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sepanjang bulan Oktober, FEN telah menyediakan sumber pendidikan kewangan yang meluas kepada orang ramai yang merangkumi pengurusan kewangan peribadi, celik kewangan digital, kesedaran mengenai penipuan kewangan dan khidmat nasihat kewangan percuma.
KCK Johor menyediakan peluang yang unik kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai produk dan perkhidmatan kewangan. Pengunjung akan dapat mengetahui tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna kewangan. Mereka juga akan dapat mengikuti perkembangan terkini mengenai pengurusan perniagaan dan kewangan serta mendapatkan khidmat nasihat kewangan. Selain itu, pengunjung dapat memperoleh manfaat daripada ruang pameran oleh rakan strategik FEN, agensi kerajaan serta institusi kewangan, termasuk ruang pameran #jangankenascam. Ruang pameran ini merupakan kerjasama oleh institusi kewangan bagi mempertingkatkan kesedaran tentang penipuan kewangan. Karnival tiga hari ini juga menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam sembang santai ilmu, cabutan bertuah, aktiviti kanak-kanak termasuk penampilan maskot Si Kijang serta konsert mini.
Acara ini telah dirasmikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour. Dalam ucapan beliau, Gabenor Rasheed menegaskan bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia bersikap jangka pendek dalam merancang masa depan pengurusan kewangan mereka, yang mengakibatkan kesulitan pada kemudian hari berikutan pengurusan kewangan yang tidak memadai. Peranan pengurusan kewangan yang berhemat adalah penting untuk menangani isu ini yang seterusnya membuka jalan kepada taraf hidup yang lebih makmur dan mampan.
Acara ini turut menyaksikan pelancaran FEN PROAKTIF[1], program pendidikan kewangan rintis yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi. FEN PROAKTIF bertujuan membantu membekalkan golongan muda dengan kemahiran kewangan yang relevan apabila melangkah ke alam pekerjaan termasuk literasi kewangan digital. Mengakui potensi FEN PROAKTIF untuk memberikan impak positif kepada kehidupan golongan muda di seluruh negara, Gabenor Rasheed menyuarakan aspirasi beliau supaya program ini diperluas pada kadar segera ke semua universiti dan kumpulan belia, termasuk yang berada di institusi pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta kolej komuniti.
Gabenor Rasheed turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli dan rakan usaha sama FEN serta rakan kerjasama strategik terbaharu FEN iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, PERKESO, HRDCorp dan Amanah Ikhtiar Malaysia yang telah menyokong FLM 2023 dalam usaha merealisasikan aspirasi FEN untuk memperluas jangkauan bagi menyampaikan mesej literasi kewangan.
Jaringan Pendidikan Kewangan
28 Oktober 2023
Lihat juga:
Ucapan oleh Gabenor di Karnival Celik Kewangan

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)
Ditubuhkan pada bulan November 2016, FEN bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan serta mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan yang jitu terhadap penilaian impak. Ahli-ahli FEN termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.
[1] FEN PROAKTIF merujuk Projek Rintis Pendidikan Kewangan di Institusi Pendidikan Tinggi FEN yang melibatkan sembilan universiti di seluruh negara. Program ini disokong oleh empat ahli FEN, iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, dengan sokongan platform eLATIH HRDCorp.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.