Kata-kata Pembukaan oleh Gabenor pada Majlis Pelancaran Bon Simpanan Merdeka
Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur | 2 Januari 2004
Saya mengalu-alukan kedatangan para hadirin sekalian ke majlis pelancaran Bon Simpanan Merdeka pada petang ini. Pelancaran bon ini merupakan satu lagi langkah berterusan dalam usaha untuk menambah kepelbagaian produk kewangan di Malaysia.
Dalam persekitaran yang semakin dinamik ini, ekonomi Malaysia terus berkembang dengan pendapatan per kapita meningkat melebihi tahap sebelum berlakunya krisis kewangan Asia. Pertumbuhan ini disokong oleh dasar pro-pertumbuhan yang komprehensif dan pembangunan sektor perbankan yang lebih kukuh dan lebih berupaya menangani risiko dan cabaran baru.
Sebagai ekonomi yang berorientasikan perdagangan, perkembangan luaran akan terus memainkan peranan penting dalam mempengaruhi prospek pertumbuhan. Bagi mengurangkan pendedahan terhadap sebarang perkembangan luaran yang boleh menjejaskan ekonomi kita, tumpuan terus diberi ke arah menggalakkan permintaan dalam negeri. Oleh itu, strategi dasar ditumpukan ke arah menggalakkan penggunaan dan pelaburan dalam negeri. Kadar faedah yang rendah, berserta dengan dasar untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, telah membolehkan penggunaan meningkat dengan lebih tinggi dan memulihkan pelaburan swasta. Perkembangan ini adalah penting dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai tabungan yang tinggi, Malaysia mempunyai potensi untuk terus menggalakkan penggunaan yang lebih tinggi tanpa menjejaskan prospek pembiayaan pelaburan swasta melalui sumber-sumber dalam negeri. Secara relatif, kepentingan penggunaan dalam ekonomi meningkat daripada 56% pada tahun 1998 kepada 61% KDNK pada tahun 2002. Kadar tabungan masih dikekalkan pada tahap yang tinggi, iaitu 35% KDNK, walaupun ianya merupakan paras yang lebih rendah berbanding dengan tahap tertinggi sebanyak 42.2% pada tahun 1998. Walaupun penggunaan isi rumah dan pelaburan swasta terus memainkan peranan penting dalam mengekalkan permintaan dalam negeri, ia perlu diseimbangkan dengan keperluan untuk menabung. Pengurusan dan perancangan kewangan adalah mustahak bagi mengekalkan taraf hidup dan keselamatan kewangan dalam jangka panjang. Berikutan perkembangan yang pesat dalam sistem kewangan dan jenis produk dan perkhidmatan kewangan untuk pengguna, adalah semakin mustahak bagi rakyat Malaysia mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang bijak mengenai tabungan dan pelaburan yang mempunyai implikasi berpanjangan terhadap kedudukan kewangan mereka. Perancangan dan pengurusan kewangan ini akan menentukan kemampuan berbelanja, pengendalian beban hutang, dan tahap tabungan yang boleh dicapai oleh seseorang individu pada setiap peringkat kehidupan mereka.
Pengukuhan permintaan dalam negeri juga disokong oleh peningkatan pinjaman bank, termasuk kepada isi rumah. Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan bagi beberapa negara maju memandangkan peningkatan hutang isi rumah yang telah melebihi paras berhemat di antara 80 - 100% KDNK. Walau bagaimanapun, beban hutang ini di Malaysia sebanyak 60% KDNK adalah masih jauh daripada paras yang membimbangkan. Satu lagi pertimbangan yang penting adalah kemampuan isi rumah di Malaysia menguruskan hutang. Berikutan peningkatan pendapatan, simpanan bersih sektor isi rumah terus meningkat seperti yang dicerminkan oleh peningkatan deposit yang lebih tinggi berbanding peningkatan hutang. Deposit isi rumah kekal tinggi, sebanyak 67% KDNK. Kemampuan isi rumah membayar hutang juga dicerminkan oleh penurunan dalam nisbah hutang tidak berbayar isi rumah, yang telah menurun daripada paras tertinggi 12.2% pada akhir tahun 1998 kepada 8.1% pada akhir bulan November 2003.
Dalam suasana kadar inflasi yang kekal rendah dan stabil, kos pembiayaan juga kekal pada kadar yang rendah bagi menggalakkan aktiviti penggunaan yang berterusan, dan yang lebih penting, bagi merangsang aktiviti pelaburan yang lebih kukuh. Kesan positif kadar faedah yang rendah dalam meningkatkan pinjaman bank, khususnya kepada perniagaan kecil, adalah satu faktor penting dalam menyokong ekonomi dalam negeri. Sehingga akhir bulan November 2003, pinjaman bank kepada perusahaan kecil dan sederhana meningkat sebanyak 9% pada asas tahunan, dan merupakan satu pertiga daripada jumlah pinjaman kepada sektor perniagaan. Pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana dapat membantu pembentukan struktur ekonomi yang lebih seimbang bagi mempertingkatkan potensi pertumbuhan dan peluang pekerjaan di Malaysia.
Bon Simpanan Merdeka memberi satu pilihan dan insentif tambahan kepada rakyat Malaysia untuk menyimpan. Bagi para pesara yang berbelanja menggunakan wang pencen dan simpanan terkumpul, pulangan ke atas simpanan mereka adalah antara sumber pendapatan utama dalam menyokong penggunaan. Oleh itu, peningkatan tanggungjawab individu untuk menyediakan strategi jangka panjang pendapatan persaraan yang merangkumi simpanan persendirian, sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, serta rancangan anuiti dan pencen swasta tambahan telah menjadi semakin penting.
Ini bukanlah kali pertama Bank Negara Malaysia menerbitkan bon-bon seperti ini. Siri kedua dan ketiga Bon Simpanan Malaysia, yang diterbitkan masing-masing pada November 1999 dan Februari 2002 adalah berasaskan objektif yang sama. Pada setiap kali terbitan bon, ciri-ciri terbitan telah diperbaiki.
Bon Simpanan Merdeka ini adalah untuk para pesara yang berumur 55 tahun dan ke atas, dan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia yang telah bersara wajib di bawah umur 55 tahun juga layak membeli bon ini.
Bon Simpanan Merdeka, yang berlandaskan prinsip Islam Bai’ Al-Inah, mempunyai beberapa ciri yang baru. Pertama, bon ini akan diterbitkan secara kerap dalam tempoh dua tahun yang akan datang. Selepas terbitan pertama pada 4 Februari 2004, terdapat tiga lagi terbitan pada tahun 2004, iaitu pada 1 April, 1 Julai dan 1 Oktober. Ianya akan disusuli dengan terbitan pada setiap suku tahunan yang sama pada tahun 2005. Kami berharap terbitan bon secara kerap ini akan dapat memberi fleksibiliti kepada para pelabur yang berminat untuk membeli Bon Simpanan Merdeka pada masa hadapan. Sejumlah RM2.25 bilion dirancang untuk diterbitkan pada tahun 2004 dan 2005, dengan terbitan pertama berjumlah RM500 juta.
Kedua, bagi memudahkan para pelabur membeli bon ini, semua bank-bank perdagangan dan bank-bank Islam, serta Bank Kerjasama Rakyat, telah dilantik sebagai bank ejen. Tempoh jualan bagi siri pertama adalah dari 5 hingga 30 Januari 2004.
Ketiga, keuntungan daripada bon ini akan dibayar kepada para pelabur pada setiap suku tahun. Melalui pembayaran keuntungan pada setiap suku tahun, para pelabur pasti menerima aliran pendapatan bagi menampung keperluan perbelanjaan semasa. Untuk terbitan pertama, Bon Simpanan Merdeka menawarkan margin keuntungan sebanyak 5% setahun. Pada kadar tersebut, pulangannya adalah lebih tinggi berbanding kadar faedah yang dibayar untuk deposit tetap 12-bulan oleh bank-bank perdagangan. Pendapatan yang diterima daripada bon ini juga dikecualikan daripada cukai.
Bon Simpanan Merdeka juga membolehkan para pelabur membuat penebusan awal tanpa dikenakan sebarang denda dari segi keuntungan. Pelabur juga boleh menebus keseluruhan jumlah pelaburan mereka pada bila-bila masa selepas bayaran keuntungan pertama. Ciri ini memberi pilihan dan fleksibiliti kepada para pelabur mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa untuk memenuhi perbelanjaan yang tidak diduga. Satu talian khusus dan laman web disediakan untuk menjawab pertanyaan daripada orang ramai.
Pelancaran Bon Simpanan Merdeka ini menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan instrumen-instrumen pelaburan yang baru bagi golongan sasar yang telah bersara. Pada masa hadapan, lebih banyak produk simpanan harus diperkenalkan oleh industri perkhidmatan kewangan. Institusi-institusi kewangan, termasuk syarikat insurans, syarikat amanah saham dan institusi-institusi kewangan bukan bank yang lain, perlu terus memperkenalkan pelbagai produk kewangan yang inovatif bagi memenuhi keperluan penyimpan sepanjang hayat mereka. Kewujudan pelbagai instrumen simpanan adalah perlu bagi memupuk tabungan negara secara lebih berkesan. Sesungguhnya, perubahan yang berterusan dalam mewujudkan satu sistem kewangan yang inovatif, dinamik dan pelbagai di Malaysia, bukan sahaja dapat membantu rakyat untuk menabung, tetapi juga membolehkan pelaburan dengan efektif untuk masa depan. Ini sekaligus membolehkan pengagihan dana persendirian secara lebih berkesan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.