Ke Arah Integrasi Kewangan ASEAN
Laporan Ringkasan Berhubung dengan Kajian Gabungan Mengenai Penilaian Landskap Kewangan dan Perumusan Pelan Tindakan bagi Integrasi Monetari dan Kewangan di ASEAN
Gabenor-gabenor Bank Pusat dari negara anggota ASEAN (ASEAN member states, AMS) telah melancarkan Laporan Ringkasan (Summary Report) bertajuk The Road to ASEAN Financial Integration - A Combined Study on Assessing the Financial Landscape and Formulating Milestones for Monetary and Financial Integration in ASEAN. Laporan Ringkasan ini dilancarkan dalam satu acara berasingan semasa Mesyuarat Gabenor-gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-9 pada 3 April 2013 di Brunei Darussalam.
Laporan Ringkasan ini merupakan inisiatif bersama bank-bank pusat dan pihak berkuasa monetari ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Bank Pembangunan Asia. Gabenor-gabenor Bank Pusat berpandangan bahawa Laporan ini merupakan rujukan penting bagi ASEAN dalam usaha melaksanakan proses integrasi kewangan selanjutnya.
Laporan Ringkasan ini menggariskan rangka kerja integrasi kewangan ASEAN dalam bidang perkhidmatan kewangan, akaun modal, sistem pembayaran dan penyelesaian, dan pasaran modal. Usaha ini akan diperlengkap oleh inisiatif pembinaan kapasiti, pembangunan infrastruktur dan persekitaran yang menyokong pengantaraan aliran kewangan yang berkesan dan cekap, dan pada masa yang sama memastikan perlindungan yang sewajarnya diwujudkan bagi memelihara kestabilan kewangan. Dengan mengambil kira perkembangan pasaran kewangan, struktur ekonomi dan keutamaan yang berbeza-beza bagi mewujudkan prasyarat yang diperlukan dalam kalangan AMS, Laporan ini menekankan bahawa proses pelaksanaan pelan tindakan utama perlu diuruskan dengan berkesan. Dalam hal ini, setiap anggota AMS akan diberikan fleksibiliti untuk menentukan garis masa dan prasyarat yang wajar mengikut ketersediaan ekonomi negara masing-masing.
Laporan Ringkasan ini boleh didapati di laman sesawang ADB, Sekretariat ASEAN serta bank-bank pusat dan pihak berkuasa monetari ASEAN.
Laporan Ringkasan ini boleh didapati di laman sesawang berikut:
Gabenor-gabenor Bank Pusat ASEAN
3 April 2013
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.