Ke arah penumpuan lebih meluas dalam usaha rangkuman kewangan
Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Irving Fisher Mengenai Statistik Bank Pusat (Irving Fisher Committee on Central Bank Statistics) secara bersama menganjurkan bengkel dua hari Penunjuk Rangkuman Kewangan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 5 hingga 6 November 2012.
Bengkel ini dianjurkan untuk mempertemukan pengubal dasar rangkuman kewangan dan perangkawan dari seluruh dunia bagi mencapai penumpuan lebih meluas (greater convergence) terhadap isu berkaitan dengan pengukuran dan penunjuk rangkuman kewangan. Ini memandangkan tahap perkembangan rangkuman kewangan adalah berbeza antara negara, selain kepentingan dan peranannya dalam pembangunan ekonomi secara keseluruhan.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memudahkan perkongsian pengetahuan dalam kalangan peserta yang mempunyai pengalaman luas dalam menghasilkan pengukur dan penunjuk rangkuman kewangan. Bengkel dua hari ini disertai 90 peserta, termasuk 55 peserta antarabangsa dari 24 buah negara.
Bengkel ini menampilkan 30 penceramah antarabangsa daripada pelbagai institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, serta Global Partnership for Financial Inclusion, Consultative Group to Assist the Poor, Alliance for Financial Inclusion dan International Finance Corporation.
Sebagai mencerminkan komitmen dalam menyokong agenda rangkuman kewangan Jawatankuasa Irving Fisher dan peserta bengkel, Pernyataan Sasana Mengenai Penunjuk Rangkuman Kewangan juga dikeluarkan hari ini setelah selesainya bengkel ini. Pernyataan Sasana mencatat segala pemerhatian dan wawasan yang dijana sepanjang bengkel dua hari ini.
Bank Negara Malaysia
6 November 2012
Mengenai Jawatankuasa Irving Fisher:
Jawatankuasa Irving Fisher Mengenai Statistik Bank Pusat mempunyai ahli daripada 80 bank pusat dan merupakan forum bagi ahli ekonomi bank pusat dan perangkawan, dan juga agensi lain dan individu, untuk membincangkan isu-isu perangkaan yang penting bagi bank-bank pusat. Jawatankuasa ini ditubuhkan dan ditadbir oleh komuniti perbankan pusat antarabangsa dan beroperasi di bawah naungan Bank for International Settlements. Pengerusi Jawatankuasa Irving Fisher Committee kini ialah Dato’ Muhammad bin Ibrahim, Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia.
Lampiran : Pernyataan Sasana
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.