Kebimbangan Berkenaan Pelaksanaan Penentuan Semula Harga Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan
Bank Negara Malaysia (BNM) peka tentang kebimbangan mengenai penentuan semula harga insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance and takaful, MHIT) oleh penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO) yang telah memberikan impak terhadap pemegang polisi/peserta takaful. BNM kekal komited bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses kepada produk insurans dan takaful yang bersesuaian.
Bagi menangani impak terhadap pemegang polisi/peserta takaful, BNM telah menghendaki ITO untuk menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar. Hal ini termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium/sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi/peserta takaful. Di samping itu, ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian yang sesuai untuk pemegang polisi/peserta yang sangat terkesan disebabkan oleh peningkatan premium/sumbangan bagi terus mempunyai perlindungan insurans/takaful. ITO juga perlu memastikan pilihan penyelesaian yang disediakan adalah bermakna dan menyediakan langkah-langkah tambahan untuk menyokong pemegang polisi/peserta takaful yang terjejas.
Maklumat lanjut tentang pilihan tersedia akan diumumkan oleh industri insurans/takaful dalam masa terdekat.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos penjagaan kesihatan telah meningkat dengan ketara berikutan inflasi kos perubatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan dan prosedur perubatan. Oleh itu, pembaharuan yang komprehensif dan terlaras untuk membendung inflasi kos perubatan adalah sangat penting bagi memastikan akses berterusan kepada produk perlindungan MHIT yang bersesuaian. Pihak berkepentingan yang relevan (termasuk ITO, Kementerian Kesihatan, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pengamal perubatan, kumpulan pengguna, pemegang polisi/peserta takaful) dan BNM perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.