Kejayaan Pengenalan Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan kejayaan pengenalan Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan (Financial Sector Talent Enrichment Programme, FSTEP) dengan pengambilan kumpulan pertama peserta sebanyak 297 orang yang dipilih daripada 2,900 pemohon. Kumpulan peserta ini merupakan para siswazah universiti tempatan yang mempunyai latar belakang akademik yang pelbagai berserta pencapaian akademik yang cemerlang. FSTEP ialah program selama 12 bulan yang dibangunkan untuk menyediakan peserta untuk industri perkhidmatan kewangan. Peserta menerima biasiswa sebanyak RM2,200 sebulan dan juga perubatan asas dan perlindungan insurans. Peserta yang menamatkan program ini dengan jayanya akan diserap masuk ke dalam sektor kewangan. Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan bekalan tenaga mahir berkaliber tinggi bagi industri perkhidmatan kewangan.
Peserta program ini akan diberi latihan dan pendedahan dalam perbankan perdagangan, perbankan pelaburan dan perbankan Islam dan juga insurans dan takaful melalui latihan teknikal dalam kelas yang intensif serta latihan sambil bekerja.
Fasilitator program ini terdiri daripada ahli profesional dan juga pengamal industri yang akan berkongsi pengalaman dan pemahaman mendalam mereka mengenai industri kewangan. Peserta juga akan menerima latihan dalam pembangunan sahsiah diri untuk meningkatkan kualiti kepemimpinan dan kemahiran berkomunikasi mereka.
Sebahagian program FSTEP ialah peluang bagi peserta untuk berbincang dengan peneraju industri kewangan yang terkemuka. Dalam sesi pertemuan sulung, peserta program FSTEP berpeluang berinteraksi dan berbincang dengan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mengenai peranan Bank Negara Malaysia dalam pengurusan makroekonomi, peranannya sebagai pengawal selia dan peranannya dalam membangunkan sektor kewangan. Pelbagai isu, termasuk perkembangan semasa dalam sistem kewangan antarabangsa, telah dibincangkan.
FSTEP, yang merupakan program perintis yang dibangunkan oleh industri perkhidmatan kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, ialah satu inisiatif untuk menyokong keperluan modal insan industri perkhidmatan kewangan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.