Kelonggaran daripada Mematuhi Keperluan Nisbah Taburan Cawangan bagi Bank Asing Diperbadankan di Malaysia

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1000 pada Rabu, 17 Ogos 2011
17 Ogo 2011 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa bank asing diperbadankan di Malaysia yang baru mendapat lesen dan yang sedia ada tetapi masih belum mencapai skala operasi yang agak besar akan diberikan lebih kelonggaran daripada mematuhi keperluan nisbah taburan (distribution ratio requirement) bagi penubuhan cawangan. Pada masa ini, bank asing diperbadankan di Malaysia boleh membuka sehingga lapan cawangan tambahan, tertakluk kepada nisbah taburan yang telah ditentukan iaitu 1 (pusat bandar): 2 (separa bandar): 1 (luar bandar).

Dengan kelonggaran ini, bank asing diperbadankan di Malaysia yang belum lagi menubuhkan cawangan baharu atau pada masa ini mempunyai kurang daripada lapan cawangan tidak perlu mematuhi nisbah taburan untuk menubuhkan cawangan masing-masing. Ini akan memudahkan bank asing diperbadankan di Malaysia yang baru mendapat lesen untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada segmen pelanggan sasaran dan bidang pengkhususan (niche areas) mereka. Kelonggaran ini juga akan membolehkan bank asing diperbadankan di Malaysia yang sedia ada mencapai skala operasi yang wajar bagi memberikan sumbangan yang lebih berkesan kepada pembangunan sektor kewangan di Malaysia secara keseluruhan.


Bank Negara Malaysia
17 Ogos 2011

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?