Kemajuan Pelaksanaan Rangka Kerja bagi Bank Pelaburan
Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti hari ini ingin mengumumkan bahawa kemajuan yang besar telah dicapai berhubung dengan perkembangan bank pelaburan dalam sektor kewangan Malaysia. Kesemua kumpulan perbankan telah mengemukakan permohonan mereka kepada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, dan telah mendapat kelulusan yang diperlukan daripada Menteri Kewangan untuk mentransformasikan bank saudagar, syarikat broker saham dan syarikat diskaun dalam kumpulan mereka menjadi bank pelaburan.
Kumpulan perbankan kini sedang melaksanakan proses undang-undang yang perlu ke arah menyempurnakan program rasionalisasi ini. Sementara menunggu proses undang-undang disempurnakan, bank saudagar, syarikat broker saham dan syarikat diskaun dalam kumpulan perbankan akan terus beroperasi sebagai entiti sah yang berasingan. Syarikat diskaun yang bukan dalam kumpulan perbankan juga diberi kefleksibelan yang sama untuk menyempurnakan proses transformasi menjadi bank pelaburan. Proses transformasi menjadi bank pelaburan dijangka disempurnakan pada 31 Disember 2006.
Berhubung dengan broker universal, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti telah menyempurnakan kajian usaha wajar (due diligence) atas entiti-entiti ini. Broker universal kini sedang dalam proses mengemukakan permohonan mereka untuk menjadi bank pelaburan kepada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Walau bagaimanapun, mereka diberikan kefleksibelan menentukan tempoh masa yang diperlukan dalam transformasi menjadi bank pelaburan.
Proses transformasi menjadi bank pelaburan bagi pengantara pasaran modal yang dinyatakan di atas berjalan mengikut jadual. Tempoh masa tambahan yang diberikan kepada pengantara pasaran modal akan melancarkan peralihan peserta pasaran modal ini menjadi bank pelaburan, dan pada masa yang sama mencapai matlamat untuk mewujudkan pengantara pasaran modal yang lebih berkesan, cekap dan berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi di dalam dan luar negeri yang berubah-ubah.
Suruhanjaya Sekuriti & Bank Negara Malaysia
30 Jun 2006
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.