Kemajuan Pelaksanaan Rangka Kerja bagi Bank Pelaburan
Rangka kerja bank pelaburan yang diumumkan pada 23 Mac 2005 dan 13 Oktober 2005, yang menggariskan formula bagi penubuhan bank pelaburan, kini sedang mencapai kemajuan seperti yang dijadualkan. Seperti yang diumumkan sebelum ini, formula bagi pembentukan bank pelaburan melibatkan:
- Sebuah bank saudagar dan sebuah syarikat broker saham dalam satu kumpulan kewangan yang sama; atau
- Dua buah syarikat diskaun dan sebuah syarikat broker saham; atau
- Sebuah broker universal dan sebuah syarikat diskaun.
Syarikat broker saham yang dirujuk dalam (i) dan (ii) di atas dikehendaki mematuhi keperluan konsolidasi broker 1+1 yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Perundingan yang melibatkan syarikat broker saham dan syarikat diskaun menghasilkan harga standard yang dipersetujui sebanyak RM52.5 juta untuk satu lesen syarikat diskaun. Persetujuan juga telah dicapai untuk menggunakan satu tabung pusat untuk menyalurkan pembayaran. Dana dalam tabung itu seterusnya akan diagihkan semula kepada pemegang saham enam buah syarikat diskaun yang ada. Semua pihak yang telah diberi kelulusan untuk berunding bagi memperoleh syarikat diskaun pada bulan Oktober 2005 diberi tempoh sehingga 6 Januari 2006 untuk membayar deposit permulaan sebanyak RM10 juta setiap satu sebagai menunjukkan minat mereka untuk menjadi bank pelaburan. Menjelang tarikh akhir yang ditetapkan, tujuh institusi telah membayar sebanyak RM80 juta, dengan satu institusi membayar untuk dua lesen syarikat diskaun, selaras dengan formula yang dinyatakan di atas. Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan menjalankan kajian usaha wajar (due diligence reviews) atas pemohon-pemohon ini bagi memastikan yang mereka memenuhi prasyarat yang perlu untuk menjadi bank pelaburan. Deposit permulaan boleh dituntut kembali sekiranya pemohon tidak dapat memenuhi prasyarat yang telah ditetapkan.
Bank pelaburan yang bukan dalam mana-mana kumpulan perbankan diberikan sehingga 31 Disember 2008 untuk mematuhi keperluan mempunyai dana modal yang tidak terjejas oleh kerugian, iaitu sebanyak RM500 juta. Bank pelaburan yang tidak mempunyai dana modal sebanyak RM500 juta akan diberi lesen terhad, yang dengan itu tidak boleh menjalankan aktiviti pengambilan deposit.
Dijangkakan bahawa hanya terdapat 17 buah bank pelaburan yang akan wujud daripada proses ini, dan syarikat diskaun dan bank saudagar tiada lagi dalam landskap kewangan Malaysia.
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.