Kemasukan Malaysia dalam Senarai Pemantauan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Mengenai Negara Yang Mungkin Menjadi Manipulator Mata Wang
Siaran akhbar ini merujuk kemasukan Malaysia dalam “Senarai Pemantauan” yang terdapat dalam Laporan Mengenai Dasar Makroekonomi dan Pertukaran Asing Rakan Dagangan Utama AS, Edisi Mei 2019, yang diterbitkan oleh Jabatan Perbendaharaan Hubungan Antarabangsa AS.
Malaysia menyokong perdagangan yang bebas dan adil dan tidak mempraktikkan amalan mata wang yang berat sebelah. Malaysia menerima pakai rejim kadar pertukaran terapung. Kadar pertukaran ringgit adalah ditentukan oleh pasaran dan tidak bergantung pada daya saing eksport. Seperti yang diperakui oleh laporan tersebut, campur tangan Bank Negara Malaysia (Bank) sejak beberapa tahun yang lalu meliputi kedua-dua arah pasaran pertukaran asing. Mana-mana campur tangan yang dilakukan oleh Bank hanya bertujuan untuk memastikan pasaran berada dalam keadaan teratur dan bagi mengelakkan daripada berlakunya volatiliti kadar pertukaran yang keterlaluan yang boleh menjejaskan ketabilan makroekonomi. Hakikatnya ringgit telah bertahun-tahun menghadapi pelbagai episod kenaikan dan penurunan nilai yang ketara berikutan fleksibiliti kadar pertukaran.
Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan sangat terbuka, akaun semasa imbangan pembayaran Malaysia telah terjejas oleh perkembangan di dalam dan luar negeri, termasuk faktor-faktor kitaran dan struktur. Kira-kira separuh daripada lebihan dagangan Malaysia dipacu oleh eksport komoditi, yang dipengaruhi sebahagian besarnya oleh permintaan dan penawaran global, berbanding dengan kadar pertukaran. Sebaliknya, lebihan dalam akaun barangan perkilangan sebahagiannya didorong oleh kehadiran syarikat-syarikat multinasional yang telah lama wujud di Malaysia, termasuk dari AS. Oleh yang demikian, lebihan akaun semasa mencerminkan ciri ekonomi Malaysia yang pelbagai.
Kemasukan Malaysia dalam Senarai Pemantauan itu tidak akan memberi apa-apa kesan ke atas ekonomi Malaysia. Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh asas ekonomi yang teguh, termasuk fleksibiliti yang diberikan oleh kadar pertukaran terapung dan imbangan luaran yang kukuh.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.