Kemudahan Jaminan Khas bagi Perniagaan yang terjejas Akibat Wabak SARS
Embargo: Untuk siaran segera
21 Mei 2003
Siaran Akhbar
Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Kemudahan Jaminan Khas (KJK) dengan peruntukan sebanyak RM1 billion bagi meringankan beban aliran tunai perniagaan yang terjejas akibat wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS). Kemudahan ini menyediakan jaminan sebanyak 80% daripada pembiayaan baru modal kerja yang diperolehi oleh perniagaan tersebut daripada bank perdagangan, syarikat kewangan, bank Islam, Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad dan Bank Industri dan Teknologi Malaysia Berhad.
Ciri-ciri utama Kemudahan ini adalah:
- Hanya perniagaan yang terjejas akibat SARS di dalam sektor berikut layak memohon:
- aktiviti berkaitan pelancongan termasuk agen dan operator pelancongan, perkhidmatan limosin, hotel dan pusat peranginan, taman tema dan penganjur mesyuarat, konvensyen dan pameran; dan
- restoran, kedai makan dan perniagaan runcit yang terletak di dalam hotel, pusat peranginan, pusat membeli-belah dan taman tema.
- Jumlah pembiayaan maksimum adalah agregat RM2.5 juta bagi setiap kumpulan syarikat;
- Kadar pembiayaan di bawah Kemudahan ini adalah 3.75% setahun bagi tahun pertama dan tidak lebih daripada kadar 3-bulan KLIBOR tambah 1 mata peratusan untuk tahun berikutnya; dan
- Tempoh pembiayaan adalah maksimum dua tahun, dengan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!