Kemudahan Penyelesaian Perdagangan Dibiayai Swap Mata Wang Malaysia-Korea Diperkenalkan
Hari ini, Bank Negara Malaysia dan Bank of Korea mengumumkan bermulanya penggunaan 'Kemudahan Penyelesaian Perdagangan Dibiayai Swap Mata Wang Malaysia-Korea' dengan penyediaan sehingga MYR15 bilion atau KRW5 trilion di pasaran untuk memudahkan urusan penyelesaian perdagangan antara firma kedua-dua buah negara dengan menggunakan mata wang negara masing-masing. Kemudahan ini diwujudkan berikutan perjanjian Pengaturan Swap Mata Wang Malaysia-Korea yang ditandatangani bank-bank pusat negara berkenaan pada 20 Oktober 2013.
Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana dalam won Korea kepada bank di Malaysia, yang seterusnya akan memudahkan firma Malaysia untuk menggunakan won Korea bagi penyelesaian perdagangan. Begitu juga, Bank of Korea akan memudahkan firma Korea untuk menggunakan ringgit Malaysia bagi penyelesaian perdagangan mereka, melalui penyediaan dana dalam ringgit Malaysia kepada bank di Korea.
Sokongan kukuh kedua-dua bank pusat ini terhadap kemudahan penyelesaian perdagangan ini akan mempercepat penggunaan mata wang kedua-dua buah negara dalam perdagangan merentas sempadan antara kedua-dua negara. Hal ini akan memberikan manfaat kepada pengimport dan pengeksport kedua-dua buah negara melalui pengurangan risiko ketakpadanan mata wang selain berpotensi mengurangkan kos transaksi perdagangan antarabangsa antara kedua-dua buah negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai siaran akhbar Bank of Korea, sila lawati laman sesawang di http://www.bok.or.kr.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.