Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ke Arah Penghijauan Sektor Kewangan

25 Feb 2021 Siaran Akhbar

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) mengadakan mesyuarat keempatnya pada 24 Februari 2021. Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan keutamaannya pada tahun 2021 dalam menyokong tindak balas industri kewangan terhadap risiko berkaitan iklim. JC3 sedar bahawa institusi kewangan di Malaysia perlu mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan usaha menguruskan risiko ini.

Pada tahun 2020, jawatankuasa kecil JC3 menyempurnakan beberapa inisiatif utama. Antara inisiatif ini termasuk rundingan secara meluas dan pelaksanaan projek perintis Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principles-Based Taxonomy, CCPT) yang dibangunkan untuk institusi kewangan, kajian tentang amalan penzahiran institusi kewangan terpilih di Malaysia terhadap saranan Pasukan Petugas mengenai Dedahan Kewangan Berkaitan Iklim (Taskforce on Climate-related Financial Disclosures, TCFD) dan analisis jurang berhubung dengan landskap kewangan hijau. Institusi kewangan yang dilesenkan oleh BNM akan mula merangkumkan dedahan berdasarkan CCPT untuk tujuan pengurusan risiko dan penyeliaan dalaman sepanjang tahun 2021.

JC3 bersama-sama dengan rakan sepengetahuan juga telah merangka dan menganjurkan beberapa program dasar dan jangkauan pada tahun 2020 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistiknya. Pendekatan ini adalah untuk membina keupayaan industri dan meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan yang relevan mengenai perubahan iklim, kesannya dan perlunya tindakan iklim.

Bagi tahun 2021, JC3 akan memanfaatkan inisiatif ini untuk memperkukuh keupayaan industri kewangan dalam mengurus risiko yang berkaitan dengan iklim, dan memantapkan peranannya bagi memajukan pembiayaan hijau. Keutamaan Jawatankuasa meliputi:

  1. Menyediakan dokumen panduan mengenai pengurusan risiko dan analisis senario. Hal ini akan menambah baik CCPT dan memantapkan pengurusan risiko iklim dan amalan ujian tekanan dalam sektor kewangan;
  2. Menyokong pelaksanaan penzahiran berkaitan iklim secara sukarela yang selaras dengan saranan TCFD. Hal ini termasuk kerjasama dengan industri untuk memberikan cadangan mengikut konteks ekonomi dan sistem kewangan Malaysia serta mengembangkan sumber praktikal bagi membantu syarikat yang berurusan dengan institusi kewangan menambah baik penzahiran mereka;
  3. Memperluas hubungan dengan pihak berkepentingan yang relevan termasuk agensi Kerajaan, pelabur institusi dan pengantara pasaran. Hal ini bertujuan untuk mengenal pasti dan mengendalikan keadaan yang menyokong penstrukturan produk dan penyelesaian kewangan hijau; dan
  4. Memperdalam program pembinaan keupayaan teknikal, dengan memberikan tumpuan khusus kepada usaha memperkukuh pengetahuan praktikal dan alat untuk menyokong penzahiran berkaitan dengan iklim, pengurusan risiko iklim dan analisis senario iklim. JC3 juga akan menganjurkan satu acara utama susulan bagi Persidangan Serantau 2019 Mengenai Perubahan Iklim (program sulung untuk pelancaran JC3) pada separuh kedua tahun ini.

JC3 seterusnya bersetuju untuk mewujudkan aliran kerja data khusus bagi mengenal pasti data penting berkaitan dengan iklim dan persekitaran serta sumber data yang relevan, selain penyelesaian untuk merapatkan jurang data. Usaha mengenai aliran kerja data juga akan menyumbang ke arah pelaksanaan CCPT yang lebih konsisten.

Lanjutan daripada komitmen yang dibuat sebelum ini ke arah penerapan saranan TCFD secara lebih meluas, ahli JC3 sedang mempergiat usaha untuk melaksanakan penzahiran TCFD secara berperingkat mulai awal tahun ini. Ahli JC3 juga bersetuju untuk mengenal pasti inisiatif perniagaan khusus yang menyokong kegiatan lestari dan berusaha untuk menerima pakai sasaran kewangan dalaman bagi pinjaman dan pembiayaan yang berkaitan dengan kelestarian, dan aset di bawah pengurusan. 

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
25 Februari 2021

 


 

 

Berkenaan JC3

JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Puan Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 19 pemain industri kewangan serta pakar-pakar yang berkaitan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab empat jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; serta Keterlibatan dan Pembinaan Keupayaan.

 


Bank Negara Malaysia
25 Februari 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?