Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia: Perkembangan daripada Mesyuarat ke-11 Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3)
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengadakan mesyuaratnya yang ke-11 pada 20 September 2023 untuk menilai semula perkembangan dan pelan tindakan JC3. Ahli jawatankuasa turut membincangkan cadangan hasil dan pelan tindakan Kumpulan Fokus PKS yang baharu ditubuhkan dalam JC3.
Kumpulan Kerja mengenai Risiko Fizikal dan Risiko Peralihan telah dibentuk dalam JC3 bagi menyokong pelaksanaan Policy Document on Climate Risk Management and Scenario Analysis (CRMSA) oleh institusi-institusi kewangan. CRSMA ini dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Libat urus dengan industri turut dipergiat bagi membina keupayaan dan mempercepat persediaan bagi Ujian Tekanan Risiko Iklim (Climate Risk Stress Testing, CRST) seluruh industri yang akan diadakan.
JC3 juga mengambil maklum penambahbaikan[1] ke arah pelaporan yang lebih konsisten dan boleh dipercayai oleh institusi kewangan di bawah Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy, CCPT), meskipun institusi kewangan terus menghadapi cabaran untuk mendapatkan maklumat daripada pelanggan dan rakan niaga mereka bagi membolehkan pengelasan yang sewajarnya dilakukan. Bagi menangani cabaran ini, JC3 akan memudahkan penerapan soal selidik usaha wajar minimum yang standard oleh institusi kewangan serta menghasilkan panduan yang bersesuaian untuk PKS bagi menyediakan maklumat yang diperlukan oleh institusi kewangan.
JC3 sedang membuat semakan pada Panduan Permohonan Penzahiran Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD[2]) untuk Institusi Kewangan Malaysia[3] yang diterbitkan pada bulan Jun 2022 dan akan membuat pengemaskinian yang relevan terhadap Panduan ini untuk mengambil kira piawaian penzahiran umum berkaitan kelestarian (S1) dan berkaitan iklim (S2) oleh International Sustainability Standards Board (ISSB). Ahli JC3 turut dimaklumkan tentang tumpuan dan keutamaan segera Jawatankuasa Khidmat Nasihat Berhubung Pelaporan Kelestarian. Jawatankuasa ini telah ditubuhkan dengan sokongan Kementerian Kewangan dan dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memantau pelaksanaan piawaian ISSB di Malaysia.
Kumpulan Fokus PKS yang baru ditubuhkan di bawah JC3 pada awalnya akan memberikan tumpuan pada usaha mempertingkatkan kesedaran, memudahkan pensijilan hijau oleh PKS serta membantu penzahiran yang lebih baik. Inisiatif ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif sedia ada oleh kementerian dan agensi Kerajaan untuk memulakan peralihan bagi PKS. Kumpulan Fokus PKS akan bekerjasama erat dengan institusi kewangan, kementerian dan agensi Kerajaan yang berkaitan, Credit Guarantee Corporation dan persatuan perdagangan PKS bagi menjayakan usaha penting ini.
Ahli JC3 juga mengambil maklum tentang hasil positif program rintis Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) yang dimulakan oleh JC3 pada awal tahun ini. Program ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama empat syarikat korporat, telah membolehkan enam puluh PKS yang mengambil bahagian dalam rantaian bekalan empat syarikat ini untuk mula mengukur dan melaporkan pelepasan gas hijau mereka.
Jessica Chew, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3 berkata, “Sangat penting untuk dipastikan bahawa PKS tidak ketinggalan dalam peralihan ke arah ekonomi yang lebih lestari. Aspek penting untuk mencapai matlamat ini adalah dengan mengurangkan kos peralihan untuk PKS serta memanfaatkan rakan strategik termasuk institusi kewangan dan syarikat korporat peneraju yang besar bagi menyokong PKS dalam peralihan ini.”
Pada mesyuarat ini, ahli JC3 juga mengadakan perbincangan yang penuh pengisian dengan Kementerian Ekonomi untuk mendapatkan pemahaman lebih baik tentang Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Roadmap, NETR) dan peranan sektor kewangan dalam menyokong projek-projek utama yang digariskan dalam NETR serta bidang kerjasama antara sektor kewangan dengan Kerajaan.
Datuk Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3 berkata, "Pembiayaan sektor swasta semata-mata mungkin tidak berdaya maju berikutan ciri projek berkaitan iklim. Pembiayaan campuran boleh mengurangkan jurang supaya pembiayaan untuk projek-projek kelestarian lebih sesuai. Dalam hal ini, pembiayaan campuran boleh mempercepat pelaksanaan projek serta inisiatif termasuk projek di bawah NETR yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Ekonomi. NETR bertujuan untuk mempercepat pembangunan sistem tenaga yang mampan, mampu milik dan berdaya tahan bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah karbon rendah.”
JC3 akan menganjurkan persidangan perdana serantau dwitahunan JC3 yang akan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Persidangan JC3 Journey to Zero (J20) yang diadakan secara hibrid ini akan memberikan tumpuan pada penyelesaian praktikal dan boleh dilaksanakan serta menekankan peranan industri kewangan yang sangat penting dalam memacu perubahan yang berterusan. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai Persidangan JC3 Journey to Zero, pendaftaran kini dibuka menerusi https://jc3conference.com/.
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
27 September 2023
[1] Penambahbaikan pada tafsiran prinsip panduan khususnya Prinsip Panduan 3 (“tidak mendatangkan kemudaratan yang ketara terhadap alam sekitar”) dan Prinsip Panduan 4 (“langkah-langkah pemulihan ke arah peralihan”) selepas penerbitan Soalan Usaha Wajar dalam menilai Prinsip Panduan 3 dan 4 CCPT BNM oleh CCPT IG pada bulan April 2023
[2] Task Force on Climate-related Financial Disclosures
[3] Dikeluarkan oleh JC3 pada tahun 2022

Mengenai JC3
JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Datuk Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli-ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 21 peserta industri kewangan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab lima jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data. Kumpulan Fokus PKS telah ditubuhkan untuk membangunkan strategi dan penyelesaian yang menyokong peralihan oleh PKS.
Ahli-ahli: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), BIMB Investment Management Berhad, BNP Paribas Asset Management Sdn. Bhd., Bursa Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Kenanga Investors Berhad, Maybank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, RHB Islamic International Asset Management Bhd., Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Swiss Re Asia Pte. Ltd. (Swiss Retakaful), Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, UOB Asset Management (Malaysia) Berhad dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.