Kenyataan Mesyuarat Majlis Penasihat Syariah Ke-165
Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia dalam mesyuaratnya yang ke-165 pada 26 Januari 2016 membincangkan isu pelaksanaan kontrak tabarru` (pemberian secara sukarela) dalam takaful, pemindahan hak milik aset hibah, pelanggaran syarat dalam kontrak wakalah bi al-istithmar (perwakilan untuk tujuan pelaburan) dan wa`d (janji) yang dikaitkan dengan perbuatan, masa atau situasi.
Pelaksanaan Kontrak Tabarru` dalam Takaful
MPS telah memutuskan perkara-perkara berikut:
- Konsep/prinsip asas bagi skim takaful ialah tabarru` dan ta`awun (bantu-membantu) sesama peserta takaful.
- Tabarru` dalam takaful dilaksanakan melalui sumbangan peserta kepada dana tabarru` yang diuruskan oleh (dan diamanahkan kepada) pengendali takaful untuk kepentingan peserta takaful berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui.
- Tanggungjawab kewangan (zimmah maliyah) dana tabarru’ adalah tersendiri dan berasingan daripada tanggungjawab kewangan pengendali takaful dan peserta takaful individu.
Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira perkara-perkara berikut:
- Konsep asas bagi takaful ialah tabarru` yang dilaksanakan terhadap peserta takaful berdasarkan terma dan syarat berhubung dengan penggunaan dana tabarru’ yang telah dipersetujui.
- Sumbangan peserta berdasarkan tabarru` telah memindahkan hak milik sumbangan tersebut kepada dana tabarru`.
- Tanggungjawab kewangan dana tabarru’ adalah tersendiri dan berasingan daripada tanggungjawab peserta takaful individu kerana peserta takaful individu tidak lagi memiliki sumbangan takaful tersebut dan tidak mempunyai tanggungjawab yang berkaitan dengannya setelah tabarru` dibuat kepada dana tersebut.
- Selain itu, dalam konteks amalan takaful di Malaysia, peserta takaful individu tidak bertanggungjawab untuk memenuhi sebarang tanggungjawab kewangan dana tabarru’ sekiranya dana tersebut tidak dapat memenuhi tanggungjawab kewangannya sendiri.
- Pengendali takaful sebagai pihak yang diamanahkan untuk menguruskan dana tabarru` mempunyai tanggungjawab fidusiari yang perlu dilaksanakan berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui di samping tanggungjawab yang digariskan oleh pengawal selia industri takaful.
Perspektif Syariah yang jelas berhubung dengan pelaksanaan kontrak tabarru` dalam takaful ini akan menjadi asas kepada penggubalan dasar berkaitan dengan takaful dan aspek operasi takaful dalam industri kewangan Islam.
Pemindahan Hak Milik Aset Hibah kepada Penerima Hibah
MPS memutuskan bahawa dalam kontrak hibah, pada umumnya hak milik aset hibah secara efektifnya berpindah kepada penerima hibah setelah penerima hibah menerima aset hibah (qabd) sama ada secara hakiki atau konstruktif. Ini menjadi asas bagi pemindahan hak milik aset hibah. Tanpa qabd, pemberi hibah masih boleh menarik balik hibah tersebut.
Namun dalam hibah bersyarat, hak milik aset hibah secara efektifnya berpindah kepada penerima hibah apabila berlakunya syarat-syarat yang telah dipersetujui. Ini menjadiasas bagi pemindahan hak milik aset hibah dalam hibah bersyarat. Oleh itu, dalam hibah bersyarat, pemberi hibah tidak boleh menarik balik hibah setelah berlakunya syarat hibah yang dipersetujui walaupun penerima hibah masih belum menerima aset hibah berkenaan secara hakiki atau konstruktif. Walau bagaimanapun, hibah yang dikaitkan dengan syarat kematian pemberi hibah hanya terpakai dalam konteks takaful sahaja. Ini bagi memberikan jaminan kepada benefisiari berhubung dengan hak milikan manfaat takafulnya setelah kematian pemberi hibah/peserta walaupun beliau belum lagi menerima penyerahan aset hibah (qabd), dalam kes ini, manfaat takaful tersebut.
Pelanggaran Syarat dalam Kontrak Wakalah bi al-Istithmar
MPS memutuskan bahawa dalam kes pelanggaran syarat oleh wakil di bawah kontrak wakalah bi al-istithmar, selaras dengan keputusan mesyuarat MPS ke-150 yang lalu, wakil hendaklah menjamin:
- Modal pelaburan; dan
- Keuntungan sebenar yang dijana sehingga tarikh pelanggaran syarat tersebut.
Di samping kedua-dua perkara di atas, MPS memutuskan bahawa pelabur (muwakkil) layak menuntut kos sebenar yang ditanggung akibat pelanggaran syarat oleh wakil.
Dalam kes pelanggaran syarat yang menyebabkan keuntungan melebihi keuntungan yang dijangka, lebihan keuntungan tersebut hendaklah diuruskan mengikut terma dan syarat yang dipersetujui berhubung dengan fi prestasi. Sekiranya syarat berhubung dengan fi prestasi tidak dinyatakan atau tidak dipersetujui, lebihan keuntungan tersebut tertakluk kepada budi bicara muwakkil.
Keputusan ini berdasarkan prinsip bahawa wakil melaksanakan tugasnya atas dasar amanah dan tidak dibenarkan menjamin modal pelaburan dan keuntungan melainkan dalam kes salah laku, kecuaian dan pelanggaran syarat oleh wakil.
Dalam kes pelanggaran syarat yang menyebabkan keuntungan melebihi keuntungan yang dijangka, MPS berpandangan bahawa perkara ini selaras dengan pandangan beberapa fuqaha yang membenarkan perkongsian keuntungan mudarabah dalam kes pelanggaran syarat oleh mudarib. Di samping itu, keharusan untuk menuntut kos sebenar yang ditanggung akibat pelanggaran syarat oleh wakil ialah satu bentuk hukuman bagi pelanggaran syarat dan juga untuk menekankan aspek pematuhan amanah dan disiplin terhadap wakil.
Keputusan ini dibuat dengan matlamat untuk memastikan hak pelabur terpelihara dan pihak yang berkontrak bersetuju dengan semua terma dan syarat yang digariskan dengan jelas pada awal kontrak untuk mengelakkan pertikaian.
Wa`d yang Dikaitkan dengan Perbuatan, Masa atau Situasi
MPS memutuskan bahawa wa`d adalah mengikat (mulzim) terhadap pihak yang memberikan wa`d sekiranya wa`d tersebut dikaitkan dengan salah satu perkara berikut:
- Sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh satu pihak termasuk penerima wa`d pada masa hadapan; atau
- Sesuatu masa atau tarikh; atau
- Sesuatu situasi pada masa hadapan.
Keputusan ini berdasarkan pandangan fuqaha bahawa wa`d yang mulzim ialah wa`d yang terikat dengan syarat. Bentuk syarat yang dikaitkan dengan akad seperti yang digariskan oleh para fuqaha termasuk sesuatu perbuatan, tarikh/masa dan situasi, boleh diaplikasikan dalam konteks syarat yang dikaitkan dengan wa`d.
Keputusan ini dapat memberikan penjelasan berhubung dengan jenis dan kategori syarat yang dikaitkan dengan wa`d yang memberikan kesan wa`d yang mulzim, terutamanya dalam instrumen kewangan yang melibatkan janji untuk memasuki kontrak yang dikaitkan dengan sesuatu tarikh/masa pada masa hadapan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.