Keputusan Majlis Penasihat Shariah (MPS) ke - 213
09 Jul 2021
Notis Umum
Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-213 bertarikh 27 April 2021 telah memutuskan bahawa kaedah pengukuran perakaunan bagi transaksi qard (pinjaman tanpa faedah) antara dana pemegang saham dan dana takaful di bawah keperluan MFRS 17 Kontrak Insurans dan MFRS 9 Instrumen Kewangan dibenarkan. Ini adalah kerana jumlah bayaran balik amaun qard tidak akan bertambah walaupun prinsip nilai wang mengikut masa (time value of money (TVM) diterapkan dalam kaedah pengukuran. Keputusan ini tertakluk kepada penzahiran maklumat komprehensif dalam nota penyata kewangan seperti berikut:
- Keperluan pengendali takaful memberi qard daripada dana pemegang saham apabila terdapat kekurangan dalam dana takaful;
- Sifat kontrak qard, jumlah asal qard yang diberikan kepada dana takaful dan tempoh bayaran balik yang dijangka apabila terdapat lebihan dalam dana takaful; dan
- Penjelasan berhubung pengukuran perakaunan seperti penerapan prinsip TVM untuk menentukan nilai kini (present value) dan nilai masa hadapan (future value) bagi qard serta kesan terhadap jumlah asal qard dan pelarasan nilai saksama (fair value) yang diperlukan untuk mencapai jumlah asal. Penjelasan tersebut hendaklah merangkumi “hak dana pemegang saham untuk menerima jumlah qard asal” dan “obligasi dana takaful membayar balik jumlah qard asal” yang tidak berubah amaunnya sepanjang tempoh bayaran balik qard.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!