Keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Berhubung Pengagihan Lebihan Dana Tabarru' dalam Skim Takaful dan Penggunaan Konsep Wakalah dalam Instrumen Deposit
Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia telah memutuskan bahawa pengagihan lebihan dana tabarru' dalam skim takaful dan penggunaan konsep wakalah dalam instrumen deposit adalah harus dari sudut Syariah.
Keputusan MPS membenarkan lebihan akaun tabarru' (bagi pelan takaful keluarga dan pelan takaful am) untuk diagihkan antara peserta dan pengendali takaful adalah berasaskan hakikat bahawa kontrak takaful secara umumnya terbina atas dasar tabarru' (sumbangan) dan ta'awun (bantu-membantu) di samping persetujuan bersama antara pihak-pihak yang berakad. Prinsip tabarru' merupakan prinsip utama yang mendasari produk takaful manakala prinsip lain seperti wakalah dan mudharabah digunakan dalam menyokong pelaksanaan operasi takaful. Selain itu, keputusan MPS untuk membenarkan pengagihan tersebut dibuat adalah juga atas dasar upah prestasi (performance fee) bagi pengendali takaful. Secara umum, cara pengagihan sebegini turut diamalkan dalam kalangan pengendali takaful di Timur Tengah.
MPS juga memutuskan bahawa akaun deposit berasaskan kontrak wakalah bi al-istithmar (perwakilan bagi tujuan pelaburan) adalah diharuskan. Namun begitu, pelaksanaan kontrak ini hendaklah dilakukan secara berhati-hati agar ia bebas daripada elemen jaminan oleh wakil terhadap pulangan pelaburan. Wakalah bi al-istithmar merupakan kontrak Syariah yang baru diluluskan oleh Bank Negara Malaysia untuk digunakan dalam instrumen deposit. Dengan kelulusan ini, adalah diharapkan institusi kewangan Islam dapat mempelbagaikan produk-produk baharu yang mematuhi Syariah di samping merangsang kreativiti dan inovasi produk dari semasa ke semasa.
Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia adalah sebuah badan penasihat bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 16B, Akta Bank Negara Malaysia 1958. MPS berperanan sebagai badan yang diberikan kuasa di bawah undang-undang berhubung dengan isu-isu Syariah dalam perbankan Islam, takaful dan kewangan Islam. Bidang kuasa MPS merangkumi kesemua institusi kewangan Islam yang di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia. Akta itu juga membolehkan mahkamah merujuk kepada MPS berhubung dengan kes-kes pertikaian yang melibatkan isu-isu Syariah dalam perbankan dan kewangan Islam.
MPS bertindak sebagai penasihat Syariah kepada Bank Negara Malaysia, dan bertanggungjawab memastikan semua aspek operasi perniagaan perbankan Islam dan takaful dijalankan mengikut lunas-lunas Syarak. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, MPS meneliti dan mengesahkan kesahihan aplikasi Syariah dalam produk kewangan Islam yang dikemukakan oleh institusi-institusi kewangan Islam yang di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia. MPS turut mengeluarkan keputusan dan pendirian mengenai isu-isu perbankan Islam dan takaful dari semasa ke semasa.
Ahli-ahli MPS terdiri daripada pakar-pakar yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang Syariah, perbankan, kewangan, ekonomi dan undang-undang. Mereka dilantik oleh Menteri Kewangan atas syor Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia berdasarkan peruntukan Seksyen 16B(2) Akta Bank Negara Malaysia 1958.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.