Keputusan Penting Mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan Keenam: Inisiatif Utama Bagi Menyokong Pembangunan PKS

19 Jan 2007 Siaran Akhbar

Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan mengadakan mesyuarat keenamnya hari ini dan mengesahkan beberapa inisiatif utama untuk terus menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri terdiri daripada Menteri-menteri dan Ketua-ketua bagi 18 Kementerian dan Agensi utama yang terlibat dalam pembangunan PKS. Majlis menetapkan strategi, merangka dasar umum, dan menyelia penyelarasan bagi mempertingkatkan keberkesanan program Kerajaan untuk pembangunan PKS.

Rangka Dasar Pembangunan PKS Kebangsaan 2007

Majlis mengesahkan Rangka Dasar Pembangunan PKS Kebangsaan 2007. Rangka dasar itu memberikan penilaian berkenaan pelaksanaan program utama bagi menyokong PKS pada tahun 2006, di samping mengenal pasti program utama yang akan dilaksanakan pada tahun 2007.

Lebih daripada 287,000 PKS dibantu melalui pelaksanaan sebanyak 213 program utama pada tahun 2006

Majlis diberi taklimat tentang pelaksanaan dan pencapaian program Kerajaan bagi menyokong PKS pada tahun 2006. Sebanyak 213 program utama dilaksanakan pada tahun 2006, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM7.8 bilion. Tumpuan utama program adalah untuk mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan PKS, terutama dalam bidang pembangunan keusahawanan, pemasaran dan promosi, pembangunan produk dan penambahbaikan teknologi.

Pelaksanaan program ini memanfaatkan lebih daripada 287,000 PKS. Antara hasil program ialah:

  • Kira-kira 128,000 PKS, usahawan wanita, siswazah dan pelajar mendapat latihan keusahawanan dan teknikal;
  • Kira-kira 34,000 PKS menerima khidmat nasihat daripada pelbagai agensi Kerajaan;
  • Lebih daripada 5,100 PKS disediakan premis perniagaan dan industri;
  • Kira-kira 780 PKS mendapat manfaat daripada program pemadanan dan pembesaran perniagaan seperti Program Rantaian Industri dan SMIDEX 2006; dan
  • Di samping itu, sebanyak 272 PKS menerima geran dan bantuan kewangan bagi penambahbaikan dan peningkatan teknologi dan proses perniagaan mereka melalui Tabung Pemerolehan Teknologi, Geran untuk Pensijilan dan Sistem Pengurusan Kualiti, dan Geran untuk Pembaikan Produk dan Proses.

Akses kepada pembiayaan yang lebih meluas bagi PKS:

  • Dalam sebelas bulan pertama tahun 2006, sejumlah RM42.3 bilion pembiayaan diluluskan oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan kepada lebih daripada 95,000 akaun PKS (Keseluruhan tahun 2005: RM38.1 bilion kepada kira-kira 90,000 akaun PKS).
  • Pinjaman PKS terkumpul institusi perbankan berjumlah RM103.1 bilion pada akhir bulan November 2006, iaitu mencakupi 44.1% daripada jumlah pinjaman perniagaan terkumpul (akhir tahun 2005: RM96 bilion; 42.6%).
  • Untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS, Bank Negara Malaysia mengambil langkah-langkah berikut:
    • menambah peruntukan sebanyak RM2.5 billion untuk Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2 dan Tabung Usahawan Baru 2;
    • mewujudkan RM1 bilion Tabung Khas untuk Pembiayaan Projek Luar Negeri;
    • memperkenalkan produk pembiayaan perdagangan baru di EXIM Bank; dan;
    • mewujudkan RM150 juta dana modal usaha niaga untuk sektor pertanian.  
  • Ini dilengkapi dengan khidmat nasihat kewangan untuk PKS yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia, SME Bank, EXIM Bank dan bank perdagangan.

Sebanyak 190 program utama akan dilaksanakan bagi membantu PKS pada tahun 2007

Majlis juga meluluskan pelaksanaan 190 program utama untuk pembangunan PKS pada tahun 2007, dengan sejumlah RM3.7 bilion telah diperuntukkan. Program pada tahun 2007 telah diselaraskan dan lebih terfokus.

Antara 190 program utama itu, 134 program bertujuan untuk membina kapasiti dan keupayaan PKS, 28 program akan dilaksanakan untuk mempertingkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS, manakala 28 program adalah untuk mengukuhkan infrastruktur yang menyokong pembangunan PKS. Program ini akan meliputi kesemua sektor, termasuk PKS dalam sektor pertanian dan industri asas tani, dan PKS yang terlibat dalam industri berasaskan pengetahuan. Usaha juga akan tertumpu pada penggalakan penglibatan Bumiputera dalam sektor PKS.

Berhubung dengan pengukuhan kapasiti dan keupayaan PKS, program akan tertumpu pada:

  • pembangunan usahawan dan modal insan;
  • pemasaran dan promosi; dan
  • penyediaan khidmat nasihat kepada PKS.

Pelaksanaan program Pembangunan Vendor, Skim Francais Baru, Pembangunan Usahawan Bioteknologi dan Pembangunan PKS ICT disasarkan untuk memberi manfaat kepada 780 usahawan. Pelbagai program latihan akan dilaksanakan, termasuk dalam bidang pengurusan kewangan dan perakaunan; di samping untuk membangunkan PKS dalam dalam industri peruncitan dan pertanian.

Bagi membangunkan kemampuan pemasaran dan promosi PKS dan memperluas rangkaian pasaran mereka, inisiatif akan terus diambil melalui program peluasan pasaran, peningkatan rantaian PKS dengan syarikat besar, syarikat berkaitan Kerajaan dan pasar raya besar. Di samping itu, beberapa ekspo seperti SMIDEX 2007 dan Konvensyen PKS; dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia, akan diadakan untuk memberikan peluang kepada PKS mempamerkan produk mereka dan menjalankan pemadanan perniagaan.

Dalam aspek pembiayaan, institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan dijangka meluluskan pinjaman berjumlah RM51 bilion kepada kira-kira 110,000 akaun PKS pada tahun 2007. Ini akan dilengkapkan dengan sasaran untuk meluluskan kira-kira 37,000 pinjaman di bawah pelbagai skim Kerajaan. Empat puluh syarikat baru dalam sektor ICT dijangka dibiayai di bawah Dana ICT, manakala sasaran Geran Pengkomersialan Bioteknologi adalah untuk mewujudkan sebanyak 35 projek.

Di samping itu, beberapa inisiatif utama akan dilaksanakan untuk terus menambah saluran bagi PKS mendapatkan pembiayaan, termasuk memperkenalkan kemudahan pembiayaan berasaskan Syariah untuk Tabung Khas Bank Negara Malaysia dan Produk Pembiayaan Perdagangan Baru, serta memperkukuh peranan syarikat pemfaktoran dan pemajakan. Pensekuritian program pinjaman PKS juga akan diperkenalkan pada tahun 2007, manakala SME Bank akan terus meningkatkan aktiviti pemberian pinjamannya.

Bagi menyediakan infrastruktur untuk menyokong pertumbuhan PKS, premis perniagaan, kilang, dan bengkel akan disediakan kepada PKS di kawasan luar bandar. Kerajaan juga merancang untuk membangunkan 80 pejabat pos mini yang akan diuruskan oleh usahawan di bawah Program Pembangunan Usahawan Pejabat Pos Mini Luar Bandar. Di samping itu, pusat pembungkusan produk, pengagihan dan pemasaran akan diwujudkan bagi memastikan pengagihan produk pertanian dan produk asas tani PKS cekap dan berkesan.

Rangka Kerja Pengurusan Rangka Dasar PKS yang diterima pakai Majlis pada tahun 2005 telah mengukuhkan fokus strategik, pemantauan terhadap kemajuan dan penilaian program untuk PKS. Ini telah menghasilkan peningkatan penyampaian dan keberkesanan program Kerajaan yang memberikan manfaat sepenuhnya kepada PKS.

Majlis juga bersetuju untuk mewujudkan sasaran prestasi makro yang perlu dicapai dalam usaha menggalakkan pembangunan PKS bagi tempoh lima tahun sehingga tahun 2010. Termasuk dalam sasaran prestasi ialah sasaran khusus berkaitan peningkatan sumbangan PKS kepada keluaran dalam negeri kasar, eksport dan guna tenaga.

Komitmen Kukuh Institusi Kewangan dalam Menyediakan Mikrokewangan

Majlis telah diberi taklimat tentang inisiatif untuk menggalakkan mikrokewangan. Beberapa institusi kewangan telah memberi komitmen untuk menyediakan akses kepada pembiayaan yang cepat, fleksibel, dan mudah bagi individu dan perusahaan mikro bagi menyokong perniagaan mereka. Sebuah institusi perbankan telah melancarkan produk mikrokewangan baru pada bulan Disember 2006, manakala beberapa institusi kewangan lain akan turut berbuat demikian pada suku pertama tahun 2007.

Produk mikrokewangan ini yang ditawarkan oleh institusi kewangan akan mempunyai ciri-ciri utama seperti yang berikut:

  • saiz pinjaman yang kecil antara RM500 hingga RM50,000;
  • tempoh pinjaman yang fleksibel, dari 1 bulan hingga 5 tahun;
  • kelulusan pinjaman yang pantas, iaitu antara 5 hingga 11 hari bekerja; dan
  • insentif bagi menggalakkan amalan bayaran balik yang baik oleh peminjam.

Bagi mewujudkan kesedaran terhadap mikrokewangan, Majlis bersetuju untuk mereka logo mikrokewangan yang sama. Institusi kewangan yang menawarkan mikrokewangan akan mempamerkan logo ini di cawangan-cawangan mereka supaya orang ramai mengetahui institusi kewangan yang menawarkan mikrokewangan. Penerima atau peminjam mikrokewangan juga akan digalakkan mempamerkan logo ini di premis perniagaan mereka bagi menunjukkan bahawa mereka telah berjaya mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Strategi yang Padu untuk Meningkatkan Bilangan PKS Domestik dalam Pasaran Global

Majlis telah bersetuju dengan strategi dan inisiatif pemasaran yang dirumus oleh Jawatankuasa Pemasaran PKS untuk meningkatkan lagi penembusan produk dan perkhidmatan PKS domestik dalam pasaran global. Program yang komprehensif akan dilaksanakan pada tahun 2007 oleh pelbagai Kementerian dan Agensi bagi membantu pembinaan kapasiti, promosi, pengurusan maklumat, dan penyediaan sokongan kewangan untuk membantu PKS kita memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke luar negeri.

Strategi pembinaan kapasiti tertumpu pada usaha menggalakkan kesedaran pasaran, meningkatkan ketersediaan eksport, dan menggalakkan usaha pemasaran bersepadu dalam kalangan PKS. Strategi promosi bertujuan mempamerkan produk dan perkhidmatan PKS di pasaran yang disasarkan, menggiatkan usaha pemasaran bersama, dan strategi pemasaran berasaskan ICT serta mengoptimumkan aktiviti misi perdagangan ke dalam negara dan yang keluar dari negara, dan usaha penjenamaan. Di bawah strategi pengurusan maklumat, portal SMEinfo (www.smeinfo.com.my) akan dipertingkatkan dan pangkalan data PKS akan diwujudkan yang akan merangkumi ciri seperti pemadanan perniagaan dalam talian, dan direktori perniagaan dan produk. Sokongan kewangan kepada PKS oleh Kementerian dan Agensi akan terus diperkemas dan dirumus khusus untuk memenuhi keperluan pemasaran PKS.

Sambutan Menggalakkan Terhadap Portal SMEinfo (www.smeinfo.com.my)

Portal SMEinfo (www.smeinfo.com.my) dilancarkan pada bulan Januari 2006. Portal ini menyediakan maklumat komprehensif yang diperlukan oleh PKS, termasuk butiran tentang program Kerajaan, produk kewangan, program latihan, dan tip bagaimana untuk memulakan dan mengurus sesuatu perniagaan.

Portal ini juga mengandungi Direktori Perniagaan PKS, iaitu satu platform bagi PKS untuk mengiklankan dan mempamerkan produk mereka. Kandungan Portal ini boleh dilayari dalam Bahasa Melayu, Inggeris, dan Mandarin.

Portal SMEinfo ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada PKS tempatan dan juga perusahaan perniagaan asing. Portal ini mencatat purata hit bulanan sebanyak kira-kira 205,000 dan menduduki tempat teratas dalam carian Google bagi kata carian "SME info", dan telah dilawati oleh pengunjung asing dari lebih 70 buah negara. Sehingga kini, sebanyak 13,834 PKS telah berdaftar dengan Direktori Perniagaan PKS di Portal ini.

Perancangan pada tahun 2007 adalah untuk memperkenalkan beberapa perkhidmatan nilai tambah dalam Portal seperti pembentukan Papan Buletin PKS untuk memberikan peluang kepada orang ramai dan organisasi sektor swasta mengiklankan aktiviti berkaitan PKS, di samping pembentukan Direktori Produk Kewangan PKS yang akan membolehkan PKS mencari produk kewangan yang sesuai untuk perniagaan mereka.

Pembentukan Rangkaian Penasihat Perniagaan PKS (SME-NET)

Majlis telah meluluskan pembentukan SME-NET, iaitu direktori sehenti berasaskan web dalam Portal SMEinfo yang mengandungi profil penasihat perniagaan PKS dalam pelbagai agensi Kerajaan, bank perdagagangan, dan institusi kewangan pembangunan serta maklumat untuk berhubungan dengan mereka. Melalui SME-NET, penasihat perniagaan PKS akan dihubungkan sesama mereka, dan dengan itu mengetahui pelbagai kepakaran yang ada dalam agensi dan institusi kewangan lain, yang boleh digunakan untuk menawarkan khidmat nasihat perniagaan yang komprehensif kepada PKS. Dengan itu, PKS akan mendapat manfaat daripada khidmat nasihat berkualiti tinggi dan lebih baik, dalam bidang-bidang berikut: pemasaran; pengurusan teknologi dan operasi; sumber manusia; pembiayaan; pembangunan perniagaan; dan pembangunan produk.

Buku Panduan "Dasar, Insentif, Program, dan Bantuan Kewangan untuk PKS"

Susulan mesyuarat Majlis, YAB Perdana Menteri melancarkan Buku Panduan "Dasar, Insentif, Program, dan Bantuan Kewangan untuk PKS". Buku Panduan ini mengandungi maklumat komprehensif tentang dasar dan strategi, insentif, program sokongan, dan skim bantuan kewangan yang disediakan Kerajaan dan sektor swasta untuk PKS. Buku Panduan ini diterbitkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).

 

Sekretariat
Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
Bank Negara Malaysia
19 Januari 2007


PENCAPAIAN PENTING MAJLIS PEMBANGUNAN PKS KEBANGSAAN

Akses kepada Pembiayaan

  • Penubuhan SME Bank
  • Produk Pembiayaan Perdagangan Baru bagi PKS
  • RM300 juta Dana Modal Usaha Niaga untuk Sektor Pertanian
  • RM1 bilion Dana Khas bagi Pembiayaan Projek Luar Negeri
  • Rangka Kerja Mikrokewangan yang Mampan
  • Transformasi Credit Guarantee Corporation
  • Pengukuhan Bank Pertanian Malaysia
  • Peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 bilion bagi Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2 dan Tabung Usahawan Baru 2

Pembinaan Kapasiti

  • Pembentukan Jawatankuasa Pemasaran PKS
  • Program Pembangunan Industri Asas Tani
  • Khidmat nasihat kewangan oleh Bank Negara Malaysia, SME Bank, EXIM Bank and bank perdagangan
  • Khidmat nasihat perniagaan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan SMIDEC
  • Program Pembangunan Usahawan Tekno untuk mikroelektronik
  • Penggunaan Sistem Terbuka dalam automasi pejabat dan peralatan untuk PKS
  • Penubuhan dua pusat Perkampungan Industri Landskap dan Ekspo
  • Program Promosi Pasar Raya Besar
  • Program Pembangunan Rakan Usaha Sama Teknologi Runcit
  • SMIDEX 2006 and Konvensyen PKS ASEAN + 3

Infrastruktur Maklumat

  • Penerbitan Laporan Tahunan PKS 2005
  • Pelancaran Portal SMEinfo
  • Pelancaran Portal Latihan HRD
  • Pelancaran Portal AgriBazaar
  • Banci Pertubuhan dan Perusahaan 2005

Infrastruktur Fizikal

  • Penubuhan Pusat Pengantaraan Francais
  • Penubuhan Pusat Pembangunan Perniagaan AgriMakanan
  • Penubuhan Pusat Sumber Industri Landskap

 

PENCAPAIAN PROGRAM UTAMA UNTUK PEMBANGUNAN PKS PADA TAHUN 2006

Sebanyak 213 program utama dilaksanakan oleh 14 Kementerian dan Agensi, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM7.8 bilion. Lebih daripada 287,000 PKS mendapat manfaat daripada program ini.

Beberapa Pencapaian Penting Program Utama untuk Pembangunan PKS pada Tahun 2006

  • Pembiayaan berjumlah RM42.3 bilion diluluskan oleh institusi kewangan kepada lebih daripada 95, 000 akaun PKS.

  • Kira-kira 128,000 PKS, usahawan wanita, siswazah dan pelajar mendapat manfaat daripada latihan keusahawanan dan teknikal yang disediakan oleh pelbagai agensi Kerajaan.

  • Kira-kira 34,000 PKS menerima khidmat nasihat daripada agensi Kerajaan.

  • Lebih daripada 5,100 PKS disediakan premis perniagaan dan industri.

  • Kira-kira 780 PKS turut serta dalam pemadanan perniagaan dan program pembesaran.

  • Sebanyak 272 PKS menerima geran dan bantuan kewangan bagi penambahbaikan dan peningkatan teknologi dan proses perniagaan mereka.

 

Program Pembangunan PKS pada Tahun 2007:
190 program utama untuk pembangunan PKS pada Tahun 2007

Sorotan Program Utama untuk Pembangunan PKS bagi Tahun 2007

 

Akses kepada Pembiayaan
  • Tabung Usahawan Baru 2
  • Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2
  • Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil
  • Pensekuritian Pinjaman PKS
  • Pinjaman Perniagaan SME Bank
  • Skim Pinjaman Pengeluaran Makanan
  • Tabung Untuk Makanan
  • Pinjaman untuk Dana Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
  • Geran Pengkomersialan Bioteknologi
  • Kemudahan Pembiayaaan berasaskan Syariah untuk Dana Khas dan Produk Pembiayaan Perdagangan Baru

Pembangunan Usahawan

  • Program Pembangunan Usahawan Bioteknologi
  • Skim Francais Baru untuk siswazah dan usahawan wanita
  • Program Pembangunan PKS ICT
  • Program Latihan Runcit
  • Program Anugerah Enterprise 50
  • Program latihan dalam Pengurusan Kewangan dan Perakaunan

Pemasaran dan Promosi

  • Program Promosi di Pasar Raya Besar
  • Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)
  • SMIDEX 2007 dan Konvensyen PKS
  • Program Rantaian Industri
  • Program Kesedaran dan Jangkauan Perdagangan MATRADE

Khidmat Nasihat

  • Rangkaian Penasihat Perniagaaan PKS
  • Program Perkhidmatan Sokongan Usahawan
  • Khidmat Nasihat Kontraktor

Infrastruktur

  • Pusat Pembungkusan Produk, Pengagihan, dan Pemasaran Pertanian untuk Hasil Pertanian dan Produk Asas Tani
  • Program Pembangunan Usahawan Pejabat Pos Mini Luar Bandar
  • Penyediaan premis perniagaan, kilang, pusat pemprosesan, dan bengkel untuk PKS

​​​​​​​


Bank Negara Malaysia
19 Januari 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?