Keputusan Penting Mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan Kelima
PENGUKUHAN INFRASTRUKTUR YANG MENYOKONG PEMBANGUNAN PKS
Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan mengadakan mesyuarat kelimanya hari ini dan meluluskan beberapa inisiatif penting bagi mengukuhkan lagi infrastruktur yang menyokong pembangunan PKS.
Majlis, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, terdiri daripada 18 Menteri dan Ketua Kementerian dan Agensi yang terlibat dalam pembangunan PKS dan bertindak sebagai badan pembuat dasar tertinggi bagi menentukan hala tuju dan strategi pembangunan PKS.
Rangka Kerja Keinstitusian Mikrokewangan Yang Komprehensif
Majlis telah meluluskan rangka kerja keinstitusian mikrokewangan yang komprehensif bagi menggalakkan pembangunan sebuah industri mikrokewangan yang mampan di Malaysia.
Pembangunan industri mikrokewangan yang mampan dan didorong oleh pertimbangan komersial adalah penting bagi memastikan perusahaan mikro mempunyai akses kepada pembiayaan yang mencukupi dan berterusan. Rangka kerja keinstitusian mikrokewangan yang komprehensif adalah penting, kerana pada masa ini, 80% daripada PKS ialah perusahaan mikro.
Majlis meluluskan transformasi Bank Simpanan Nasional menjadi institusi mikrokewangan yang khusus. Bank Simpanan Nasional akan memperkenalkan pakej pinjaman untuk perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 untuk tempoh sehingga lima tahun. Pinjaman itu akan diberikan kepada perusahaan mikro yang menjalankan aktiviti perniagaan yang berdaya maju pada kadar komersial dengan insentif pembayaran balik diberikan kepada peminjam yang bertanggungjawab.
Koperasi kredit ialah satu lagi penyedia mikrokewangan penting yang dikenal pasti dan inisiatif akan diambil untuk mengukuhkan gerakan koperasi, termasuk melalui penubuhan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Institusi lain yang akan menawarkan mikrokewangan ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Bank Pertanian Malaysia. Bank Pertanian Malaysia, khususnya, akan menyediakan mikrokewangan bagi pertanian dan perniagaan yang berasaskan pertanian.
Strategi akan dilaksanakan untuk menggalakkan penglibatan institusi perbankan dan institusi kewangan yang khusus dalam industri mikrokewangan. Dalam hal ini, selain fleksibiliti yang diberikan untuk menubuhkan sehingga empat cawangan baru, pertimbangan akan diberikan untuk membolehkan penyertaan yang lebih meluas di kawasan luar bandar oleh bank asing yang diperbadankan di Malaysia, bagi menjalankan aktiviti mikrokewangan. Dalam meliberalisasikan sistem perbankan, penekanan adalah pada usaha menarik peserta asing yang diiktiraf sebagai pakar dalam sesuatu segmen khusus, termasuk mikrokewangan.
Bank Negara Malaysia akan memudahkan pembangunan "Program Peningkatan Pembiayaan bagi Perusahaan Mikro" untuk membolehkan perusahaan mikro mendapat amaun dan jenis pembiayaan yang sesuai bagi memenuhi keperluan mereka apabila perniagaan mereka berkembang. Melalui program yang berstruktur ini, perusahaan mikro yang memerlukan dana yang lebih besar untuk membiayai perniagaannya yang berkembang akan dibantu untuk mendapatkan pembiayaan sedemikian daripada penyedia mikrokewangan di samping SME Bank dan bank perdagangan.
Pembangunan sebuah industri mikrokewangan yang mampan dan didorong oleh pertimbangan komersial akan melengkapkan program mikrokewangan tajaan Kerajaan yang sedia ada, yang dilaksanakan oleh institusi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN.
Pembentukan Jawatankuasa Pemasaran PKS untuk Memacu Pemasaran Produk PKS di Peringkat Global
Majlis meluluskan satu set cadangan untuk mempertingkatkan infrastruktur pemasaran bagi menyokong penembusan pasaran global yang lebih luas bagi produk dan perkhidmatan PKS melalui program bantuan Kerajaan yang terselaras dalam bidang pemasaran. Untuk mencapai matlamat ini, satu pendekatan serampang dua mata akan diambil, iaitu:
- pembentukan Jawatankuasa Pemasaran PKS, iaitu jawatankuasa antara Kementerian yang akan dipengerusikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan dengan kerjasama Kementerian dan Agensi berkenaan untuk membangunkan strategi pemasaran dan pendekatan pelaksanaan yang komprehensif bagi memasarkan produk dan perkhidmatan PKS ke luar negara dengan berkesan dan cekap; dan
- MATRADE akan menyelaraskan pelaksanaan program dan aktiviti pemasaran antarabangsa.
Pendekatan ini akan mempertingkatkan penyelarasan inisiatif Kerajaan yang lebih baik dalam perancangan dan pelaksanaan strategi pemasaran luar negara di samping mengoptimumkan penggunaan sumber dan kepakaran. Ia akan memudahkan pembangunan PKS yang sedia mengeksport dan membantu mereka memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa dengan lebih berkesan dan cekap.
Usaha untuk meningkatkan program sokongan pemasaran adalah tepat pada masanya kerana PKS telah menyuarakan hasrat untuk mendapat sokongan daripada Kerajaan dalam bidang ini. Dengan wujudnya mekanisme yang lebih berkesan, Kerajaan berharap sumbangan PKS kepada jumlah eksport meningkat daripada anggaran semasa, iaitu kira-kira 16.6% daripada jumlah eksport.
Pelancaran Laporan Tahunan PKS 2005 Yang Pertama
Laporan Tahunan PKS 2005 merupakan inisiatif penting yang diambil oleh Majlis untuk mempertingkatkan penyebaran maklumat mengenai PKS di Malaysia. Laporan Tahunan PKS 2005 yang dilancarkan hari ini, menyediakan tinjauan mengenai status dan prestasi PKS, serta pencapaian program utama yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada tahun 2005 dalam menggalakkan pembangunan PKS.
Sekretariat
Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
7 Ogos 2006
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.