Keputusan Penting Mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan Ketujuh
Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan (Majlis) mengadakan mesyuarat ketujuhnya hari ini. Majlis telah mengesahkan beberapa inisiatif penting bagi menggalakkan lagi pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya saing dan berdaya tahan.
Majlis dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan perwakilan terdiri daripada Menteri-menteri dan Ketua-ketua 19 Kementerian dan Agensi utama yang terbabit dalam pembangunan PKS.
Penubuhan Agensi Penyelaras Pusat PKS
Majlis bersetuju untuk menubuhkan Agensi Penyelaras Pusat PKS yang merupakan agensi khusus Kerajaan untuk menerajui pembangunan PKS dalam semua sektor ekonomi negara. Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) akan ditransformasikan untuk menjadi Agensi Penyelaras Pusat PKS.
Penubuhan Agensi ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan untuk menggalakkan pembangunan keusahawanan dan PKS di Malaysia. Langkah ini merupakan inisiatif utama untuk mempertingkatkan tahap pembangunan sektor PKS dengan memberikan lebih tumpuan dalam merumuskan strategi dan memacu pelaksanaan program bagi PKS.
Agensi ini akan bekerjasama dengan Kementerian dan Agensi Kerajaan yang berkaitan bagi memastikan dasar yang komprehensif tersedia dan menyelaraskan pelaksanaan program PKS dalam kesemua sektor dan Agensi Kerajaan.
Agensi ini akan berfungsi sebagai pusat maklumat dan khidmat nasihat setempat bagi PKS. Pusat hubungan dan rujukan setempat ini akan memudahkan lagi PKS mendapatkan maklumat yang komprehensif dan terkini mengenai semua program dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan, dan juga khidmat nasihat. Ini dapat mempertingkatkan penyampaian program dan khidmat nasihat Kerajaan dengan ketara kepada PKS. Di samping itu, Agensi ini akan memantau prestasi PKS bagi mengenal pasti dasar yang sesuai yang perlu dirumuskan oleh Kerajaan.
Agensi Penyelaras Pusat PKS akan ditempatkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tetapi akan melapor terus kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Kerajaan akan memberi Agensi ini sumber kewangan dan bukan kewangan yang perlu bagi memastikan ia dapat memainkan peranannya dengan berkesan.
Majlis yakin bahawa penubuhan Agensi ini akan mempercepat pembangunan sektor PKS melalui penyelarasan yang lebih baik dan pelaksanaan program PKS yang lebih efektif. Sesungguhnya, Agensi ini akan mempunyai peranan yang utama dalam mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Majlis untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi, iaitu sumbangan PKS kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) daripada 32% pada tahun 2005 kepada 37% menjelang tahun 2010.
Kemajuan Besar dalam Pelaksanaan Pembiayaan Mikro, dan Pelancaran Logo Pembiayaan Mikro Kebangsaan
Majlis telah dimaklumi tentang kemajuan besar berhubung dengan pembabitan institusi kewangan dalam pelaksanaan pembiayaan mikro. Majlis, pada bulan Ogos 2006, meluluskan rangka kerja keinstitusian pembiayaan mikro yang berasaskan pertimbangan komersial, yang membabitkan penyertaan institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan dalam penyediaan pembiayaan mikro. Pelaksanaan pembiayaan mikro adalah sangat penting memandangkan lebih daripada 435,000 perusahaan perniagaan ialah perusahaan mikro. Melalui pembiayaan mikro, perusahaan perniagaan yang berdaya maju boleh mendapat akses kepada pembiayaan dengan mudah dan cepat bagi perniagaan mereka. Dengan penyertaan perusahaan mikro ini dalam arus perkembangan ekonomi, pembiayaan mikro merupakan mekanisme penting dalam mencapai pembangunan ekonomi yang seimbang.
Pada masa ini, terdapat enam institusi perbankan dan tiga institusi kewangan pembangunan yang menawarkan produk pembiayaan mikro, dengan saiz pinjaman antara RM500 hingga RM50,000. Ciri-ciri utama produk pembiayaan mikro yang ditawarkan oleh institusi kewangan ini termasuk pinjaman tanpa cagaran, dokumentasi pinjaman yang minimum dan kelulusan yang cepat.
YAB Perdana Menteri juga melancarkan logo pembiayaan mikro kebangsaan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang reka bentuk logo. Pemenang dipilih daripada pertandingan Reka Bentuk Logo Pembiayaan Mikro oleh Bank Negara Malaysia pada 7 Mei - 8 Jun 2007. Logo pembiayaan mikro kebangsaan ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pembiayaan mikro yang disediakan oleh institusi kewangan. Cawangan-cawangan institusi kewangan yang menyediakan pembiayaan mikro akan mempamerkan logo tersebut. Sementara itu, para peminjam juga digalakkan mempamerkan logo tersebut di premis perniagaan mereka sebagai simbol yang menunjukkan mereka telah berjaya mendapat pembiayaan mikro.
Penambahbaikan Penjenamaan bagi Pemasaran Produk dan Perkhidmatan PKS yang Berkesan
Majlis meluluskan Program Pembangunan JENAMA PKS. Matlamat program ini adalah untuk mempromosikan dan memperkukuh kepentingan jenama PKS individu. Ini akan menggalakkan PKS memanfaatkan penjenamaan bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka. Program ini mengandungi empat elemen teras: Bina Upaya; Pensijilan & Anugerah Bertaraf Kebangsaan (sebagai simbol kecemerlangan, keunggulan dan jaminan pematuhan); Pengauditan & Pemantauan; dan Promosi. PKS yang layak boleh menggunakan pelbagai insentif sokongan dan kewangan yang disediakan agensi Kerajaan untuk membantu mereka dalam membangunkan dan mempromosikan jenama mereka.
Program Pembangunan Industri Asas Tani
Majlis telah diberi taklimat mengenai program pembangunan bagi industri asas tani. Semenjak tahun 2005, program tersebut berjaya mewujudkan 6,060 usahawan baharu dalam industri asas tani. Program yang sedia ada akan diperkukuh untuk mempertingkatkan keusahawanan, kualiti dan piawai produk yang memenuhi keperluan antarabangsa, di samping kapasiti dan keupayaan PKS, terutamanya dalam kapasiti pengeluaran dan penerimapakaian teknologi.
Membangunkan PKS yang Dipacu Inovasi
Majlis diberi taklimat mengenai inisiatif yang telah diambil oleh Pusat Rujukan Inovasi PKS Kebangsaan. Pusat Rujukan yang ditubuhkan pada bulan Disember 2006, menyediakan platform untuk usahawan, persatuan industri, institusi penyelidikan, pembiaya kewangan dan agensi Kerajaan yang berkaitan membincangkan inisiatif membangunkan PKS yang dipacu inovasi. Berikut ialah pelan tindakan dan program yang telah dikenal pasti:
- Institusi berasaskan teknologi akan menjalankan Program Technology Foresight bagi memudahkan akses kepada teknologi terbaik bagi PKS;
- Melaksanakan program khusus seperti Program Rangkaian Perindustrian dan Program Pembekal Global untuk membimbing PKS menjadi rakan R&D bagi memanfaatkan peluang penggunaan perkhidmatan pihak ketiga bagi R&D oleh syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC);
- Menanda aras dan mengukuhkan Pusat Inkubasi bagi terus menyokong pertumbuhan PKS berasaskan teknologi; dan
- Menyokong penambahbaikan sumber serta keupayaan keinstitusian institusi penyelidikan dan universiti untuk membolehkan penyediaan khidmat nasihat yang lebih berkesan bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan.
Pelancaran Laporan Tahunan PKS 2006
YAB Perdana Menteri melancarkan Laporan Tahunan PKS 2006 , yang merupakan saluran yang penting bagi penyebaran maklumat kepada PKS. Laporan ini memberikan gambaran keseluruhan mengenai strategi pembangunan PKS dan memaparkan inisiatif utama Kerajaan untuk menggalakkan pembangunan PKS. Laporan tahun ini juga buat julung-julung kalinya, menyiarkan kisah-kisah kejayaan PKS dan membincangkan bidang pertumbuhan strategik baharu yang berpotensi untuk menjadi sumber aktiviti ekonomi bagi PKS.
Sekretariat
Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
13 September 2007
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.