Kerahsiaan Perbankan
Tan Sri Dato’ Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman hari ini mengeluarkan amaran keras kepada kakitangan institusi perbankan agar mematuhi peruntukan perahsiaan menurut seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (ABIK). Kakitangan institusi perbankan berlesen adalah dikehendaki menyimpan kerahsiaan maklumat pelanggan. Peruntukan perahsiaan melarang seseorang pengarah atau pegawai mana-mana institusi perbankan berlesen daripada mengemukakan, membukakan, menzahirkan, menyiarkan atau mendedahkan sebarang maklumat berhubung hal ehwal dan tatacara akaun pelanggan kepada mana-mana pihak. Bank Negara Malaysia juga telah mengeluarkan garis panduan terperinci mengenai tatacara bagi pengarah, pegawai dan kakitangan di dalam industri perbankan yang dikenali sebagai BNM/GP7 yang menetapkan standard minimum berhubung perilaku pengarah, pegawai dan kakitangan institusi perbankan untuk menjamin integriti dan kredibiliti institusi perbankan tersebut.
Walaupun kes-kes yang dilaporkan berhubung pelanggaran peruntukan di bawah ABIK hanya membabitkan sebilangan kecil kakitangan bank dan institusi perbankan, namun demikian Bank Negara Malaysia memandang serius kes-kes yang membabitkan pelanggaran peruntukan perahsiaan. Berdasarkan ciri-ciri hubungan bank-pelanggan di dalam urus niaga perbankan, perahsiaan sememangnya menjadi asas utama dalam mengekalkan keyakinan terhadap sesebuah sistem perbankan. Justeru itu, adalah penting bagi ianya dikekalkan dalam apa jua keadaan sekalipun. Orang awam perlu mempunyai keyakinan di dalam keselamatan dan perahsiaan deposit mereka dan keyakinan di dalam integriti dan profesionalisme di kalangan pegawai perbankan.
Bank Negara Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melanggar peruntukan 97(1) ABIK. Sesiapa yang didapati telah melanggar peruntukan 97(1) ABIK boleh disabitkan hukuman penjara 3 tahun atau denda sebanyak RM3 juta atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di dalam Jadual Keempat sekiranya sabit kesalahan. Di samping itu, menurut seksyen 106 ABIK, seseorang pengarah, pegawai atau pengawal atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab terhadap atau membantu dalam, pengurusan institusi yang telah melakukan kesalahan tersebut akan disabitkan kesalahan yang sama. Ini bermakna Bank Negara Malaysia juga berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas kakitangan di peringkat penyeliaan atau pengurusan serta Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah institusi perbankan bagi sebarang pengabaian yang membawa kepada sebarang pendedahan maklumat pelanggan yang tidak dibenarkan. Sekiranya sabit kesalahan, pihak tersebut boleh dikenakan hukuman atau penalti yang sama sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Jadual Keempat bagi pelanggaran peruntukan seksyen 97(1) ABIK. Di samping penalti yang diperuntukkan di bawah ABIK, institusi perbankan juga dikehendaki mengenakan langkah-langkah punitif tambahan ke atas kakitangan yang didapati telah melanggar peruntukan perahsiaan termasuk pemberhentian kerja dengan serta merta. Bank Negara Malaysia ingin menekankan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif institusi perbankan terutamanya, berperanan amat penting dalam memastikan kerahsiaan maklumat pelanggan terpelihara pada setiap masa.
Bank Negara Malaysia sedang bekerja rapat dengan dua institusi perbankan yang dinamakan baru-baru ini untuk menjalan siasatan berhubung kes kebocoran maklumat sulit. Orang awam adalah diberi jaminan bahawa Bank Negara Malaysia memandang serius perkara ini dan akan menyiasat secara terperinci untuk mendakwa pihak yang terbabit.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.