Kerjasama pengawalseliaan antara Bank Negara Malaysia dengan Otoritas Jasa Keuangan mengenai Sektor Perbankan

Embargo: Untuk siaran segera
01 Ogo 2016 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini menandatangani Perjanjian Dua Hala dengan Otoritas Jasa Keuangan di bawah Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN (ABIF).  Perjanjian ini ditandatangani oleh Muhammad bin Ibrahim, Gabenor, Bank Negara Malaysia dan Dr. Muliaman D. Hadad, Ketua Dewan Komisioner, Otoritas Jasa Keuangan, bersempena dengan Mesyuarat Perundingan Tahunan ke-11 antara Presiden Republik Indonesia dengan Perdana Menteri Malaysia.

Perjanjian ini, yang bertujuan untuk melaksanakan Perjanjian (Heads of Agreement) yang ditandatangani sebelumnya pada tahun 2014, akan memberikan akses yang lebih luas dan fleksibiliti operasi bagi Bank-bank ASEAN Malaysia dan Indonesia yang Layak  menjalankan perniagaan di kedua-dua negara. Komitmen dalam perjanjian ini membentuk sebahagian daripada Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan .

Susulan pelancaran rasmi ABIF dan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN pada 2015, perjanjian ini merupakan satu peristiwa penting ke arah mencapai integrasi perbankan dan kewangan yang lebih luas dalam ASEAN.

Dengan pelaksanaan perjanjian ini, Bank Negara Malaysia mengalu-alukan penubuhan Bank ASEAN Indonesia yang Layak di Malaysia. Di bawah perjanjian ini, kedua-dua bank Malaysia dan Indonesia dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha memudahkan perdagangan merentas sempadan dan pelaburan antara kedua-dua negara.  Peningkatan integrasi perbankan dan kewangan akan terus mempertingkat potensi pertumbuhan yang saling memperkukuh dan kemakmuran yang dikongsi bersama dengan lebih luas antara kedua-dua negara dan dalam rantau ini.

Untuk menggalakkan perlindungan yang mencukupi dalam persekitaran yang lebih bersepadu, Bank Negara Malaysia dan Otoritas Jasa Keuangan juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada bulan April 2016 untuk meningkatkan lagi kerjasama penyeliaan. MoU ini meliputi bidang-bidang kerjasama dan penyelarasan penyeliaan, termasuk pertukaran maklumat, kemudahan penyeliaan di premis yang disatukan dan merentas sempadan, jenayah kewangan dan pengurusan krisis selaras dengan prinsip yang digariskan dalam Prinsip Teras Penyeliaan Perbankan Berkesan dan Prinsip Teras Insurans.

Perjanjian dan MoU ini menandakan komitmen kedua-dua Bank Negara Malaysia dan Otoritas Jasa Keuangan ke arah menggalakkan kerjasama pengawalseliaan yang lebih luas selaras dengan usaha rantau ini untuk meluaskan integrasi kewangan serantau pada masa hadapan.


Bank Negara Malaysia
01 Ogos 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?