Kerjasama Serantau untuk mempromosikan Penyelesaian Mata Wang Tempatan antara Bank Indonesia, Bank Negara Malaysia, Bangko Sentral ng Pilipinas dan Bank of Thailand

Chiang Rai, 5 April 2019: Hari ini Bank Indonesia, Bank Negara Malaysia, Bangko Sentral ng Pilipinas dan Bank of Thailand menandatangani tiga Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) mengenai rangka kerja penyelesaian mata wang yang berikut:
- LOI antara Benjamin E. Diokno, Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, dengan Perry Warjiyo, Gabenor Bank Indonesia;
- LOI antara Benjamin E. Diokno, Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, dengan Nor Shamsiah Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia; dan
- LOI antara Benjamin E. Diokno, Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, dengan Veerathai Santiprabhob, Gabenor Bank of Thailand;
Ketiga-tiga LOI ini mewakili kepentingan bersama mengenai kemungkinan diwujudkan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan antara keempat-empat bank pusat ini. Bank Indonesia dan Bank of Thailand juga telah sepakat untuk mula meneroka kemungkinan memperluaskan skop rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan mereka yang sedia ada.
Penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian perdagangan dan bidang lain bertujuan untuk mengurangkan kos urus niaga dan risiko pertukaran asing terutamanya di tengah-tengah volatiliti mata wang yang sedang dihadapi oleh negara maju. Selain itu, penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas dalam Komuniti Ekonomi ASEAN meningkatkan integrasi ekonomi dan kewangan, serta memacu pembangunan pertukaran asing dan pasaran kewangan selanjutnya di rantau ini.
Kemajuan ke arah integrasi kewangan yang lebih besar di rantau ini adalah suatu perkembangan yang dialu-alukan. Kita telah menyaksikan pengembangan pengaturan yang serupa telah dilancarkan pada tahun 2017, iaitu apabila Memorandum Persefahaman (MoU) telah disempurnakan antara Bank Indonesia dengan Bank Negara Malaysia, dan antara Bank Indonesia dengan Bank of Thailand.
Bank Indonesia
Bank Negara Malaysia
Bangko Sentral ng Pilipinas
Bank of Thailand
5 April 2019
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.