Kertas Perbincangan Industri Mengenai Rangka Kerja Kadar Rujukan Baharu Industri Kewangan
Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan kertas perbincangan industri yang mengandungi rangka kerja kadar rujukan baharu kepada industri kewangan bagi menggantikan kadar pinjaman asas (base lending rate, BLR) yang digunakan institusi kewangan untuk menentukan kadar pinjaman runcit.
Dalam tempoh kebelakangan ini, kadar pinjaman runcit bagi pinjaman baharu yang ditawarkan oleh institusi kewangan diberikan diskaun yang tinggi berbanding dengan BLR. Ini telah menyebabkan perbezaan antara perubahan dalam kadar pinjaman runcit bagi pinjaman baharu dengan BLR institusi kewangan lantas menunjukkan bahawa BLR kini kurang berkesan sebagai kadar rujukan bagi penentuan kadar pinjaman runcit.
Kadar rujukan baharu ini bertujuan untuk mempertingkatkan transmisi dasar monetari kepada peminjam baharu dan sedia ada serta menggalakkan penentuan kadar yang telus bagi pinjaman runcit kadar terapung yang lebih mencerminkan keadaan pasaran.
Cadangan utama
Di bawah rangka kerja kadar rujukan yang dicadangkan, kadar rujukan baharu akan ditentukan oleh kos pendanaan institusi kewangan masing-masing yang mencerminkan struktur pembiayaan dan strategi tertentu institusi berkenaan dan keperluan rizab berkanun. Komponen lain dalam penentuan kadar pinjaman seperti risiko kredit peminjam, premium risiko mudah tunai, kos operasi dan margin keuntungan dicadangkan diliputi oleh spread kadar rujukan. Pada masa ini, asas yang digunakan oleh setiap institusi kewangan untuk menetapkan BLR adalah tidak begitu telus lantas mengurangkan sensitiviti BLR terhadap perubahan dalam kos pendanaan sesebuah institusi dan kebolehbandingan merentas institusi.
Asas yang dicadangkan untuk penentuan kadar rujukan akan mengelakkan daripada adanya spread negatif terhadap kadar rujukan masa depan. Perubahan pada kadar rujukan masa depan akan terus mencerminkan perubahan pada kos pendanaan sesebuah institusi kewangan khususnya oleh perubahan dasar monetari, perubahan pengawalseliaan dan keadaan pendanaan pasaran. Ini juga penting untuk transmisi dasar monetari yang berkesan. Selain itu, peminjam akan lebih berupaya untuk membandingkan kadar pinjaman antara institusi kewangan bagi membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih baik.
Perubahan yang dicadangkan dalam rangka kerja kadar rujukan tidak akan memberikan kesan kepada kadar pinjaman efektif yang dikenakan kepada peminjam runcit, yang ditentukan oleh faktor-faktor termasuk penilaian oleh institusi kewangan terhadap kedudukan kredit seseorang peminjam. Perubahan ini terutamanya bertujuan untuk mengukuhkan kaitan antara kadar pinjaman runcit dengan kadar rujukan yang digunakan oleh institusi kewangan untuk menguruskan risiko perubahan akan datang dalam kos pendanaan yang ditanggung oleh institusi kewangan dalam menyediakan pinjaman. Perlu diberikan perhatian bahawa perubahan dalam rangka kerja yang dicadangkan ini bukan merupakan perubahan dalam pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia.
Kadar rujukan baharu akan digunakan untuk penentuan kadar pinjaman runcit baharu dan juga pembiayaan semula pinjaman yang sedia ada selepas tarikh berkuat kuasanya rangka kerja baharu tersebut. Pinjaman sedia ada akan terus dirujuk kepada kadar pinjaman asas (BLR). Walau bagaimanapun, apabila institusi kewangan membuat sebarang pelarasan terhadap kadar rujukan baharu, pelarasan yang serupa juga akan dibuat kepada BLR.
Institusi kewangan diberikan tempoh sehingga 14 Februari 2014 untuk memberikan maklum balas kepada Bank Negara Malaysia mengenai rangka kerja kadar rujukan yang dicadangkan ini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.