Kertas Perbincangan mengenai Pendekatan Pengawalseliaan Fintech
Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini mengeluarkan satu kertas perbincangan mengenai pendekatan pengawalseliaan fintech (Sandbox) untuk menggalakkan lagi inovasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kewangan.
Sandbox akan membolehkan institusi kewangan yang dikawal selia dan syarikat fintech yang ingin menjalankan perniagaan yang dikawal selia oleh Bank membuat eksperimen dengan penyelesaian fintech dalam sesuatu persekitaran pengeluaran atau persekitaran sebenar, tertakluk kepada perlindungan dan keperluan pengawalseliaan yang sesuai. Kertas perbincangan menetapkan kriteria kelayakan, standard dan keperluan minimum serta pendekatan yang dicadangkan dalam pengoperasian Sandbox ini.
Pengenalan Sandbox ialah satu lagi inisiatif utama Bank dalam menyediakan persekitaran pengawalseliaan yang kondusif untuk menerima pakai penyelesaian teknologi kewangan yang inovatif, susulan penubuhan Kumpulan Penggerak Teknologi Kewangan (Financial Tecnology Enabler Group, FTEG) pada 2 Jun 2016.
Menurut Pengerusi FTEG, Encik Aznan Abdul Aziz, "Sandbox merupakan kaedah pengawalseliaan yang penting bagi Bank untuk merangsang inovasi dalam sektor kewangan. Ia mencerminkan komitmen Bank untuk meningkatkan kualiti, kecekapan dan akses yang mudah kepada perkhidmatan kewangan di Malaysia melalui pendekatan pengawalseliaan yang progresif dan responsif yang menggalakkan nilai pembangunan teknologi."
Bank mengalu-alukan komen bertulis daripada institusi kewangan yang dikawal selia dan orang ramai mengenai cadangan yang dinyatakan dalam kertas perbincangan selewat-lewatnya pada 30 Ogos 2016. Komen bertulis boleh die-melkan kepada [email protected].
Maklumat lanjut boleh dilihat dalam dokumen berikut:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.