Kertas Perbincangan Mengenai Rangka Kerja Pelesenan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital

04 Jan 2022 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini mengeluarkan Kertas Perbincangan Mengenai Rangka Kerja Pelesenan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital. Kertas Perbincangan ini menggariskan rangka kerja yang dicadangkan untuk pelesenan penanggung insurans dan pengendali takaful digital (digital insurers and takaful operators, DITO) baharu bagi menggalakkan inovasi digital dalam sektor insurans dan takaful. Kertas Perbincangan ini juga menjadi pelengkap kepada inisiatif Bank tentang bank digital dan pendigitalan sektor kewangan.

DITO dijangka menyumbang ke arah sektor insurans dan takaful yang lebih inklusif, berdaya saing dan cekap, selaras dengan keperluan pengguna yang berubah. “Cadangan rangka kerja ini bertujuan menarik minat peserta digital baharu yang boleh menawarkan penyelesaian inovatif yang mampu menangani jurang perlindungan kritikal dalam kalangan segmen pasaran yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan dan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan (unserved and underserved market segments) serta menambah baik pengalaman pelanggan dan mempertingkatkan keyakinan pelanggan,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Rangka kerja ini akan menggunakan pendekatan yang seimbang. Fokus utamanya adalah untuk menggalakkan inovasi yang lebih signifikan, di samping menggalakkan kestabilan kewangan dan melindungi kepentingan pengguna. Kertas Perbincangan ini merangkumi keperluan penyertaan, seperti kriteria dalam penilaian permohonan dan keperluan modal serta mengkaji model perniagaan baharu misalnya perkongsian risiko.

Bank berhasrat untuk mengeluarkan Draf Dedahan setelah mendapat maklum balas melalui Kertas Perbincangan tersebut. Selepas itu, Dokumen Dasar mengenai keperluan kehematan dan amalan perniagaan untuk DITO akan dikeluarkan pada tahun 2022. Permohonan untuk lesen DITO akan dibuka pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. Bank mempelawa maklum balas bertulis tentang Kertas Perbincangan selewat-lewatnya pada 28 Februari 2022.

Lihat juga:


Bank Negara Malaysia
04 Januari 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?