Kertas Perbincangan tentang Cadangan Dasar bagi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang Kedua (2026 – 2030)

13 Feb 2025 Notis Umum

Kertas perbincangan ini menggariskan cadangan dasar bagi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang kedua (2026 – 2030) bagi Malaysia. Strategi ini bertujuan untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan membuat keputusan kewangan yang bijak demi kesejahteraan kewangan mereka.   

Pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang pertama (2019 – 2023) telah menghasilkan peningkatan yang berterusan berhubung dengan ilmu pengetahuan, tingkah laku dan sikap rakyat Malaysia berkaitan kewangan. Walau bagaimanapun, masih wujud jurang terutamanya dalam kalangan segmen penduduk yang mudah terjejas. Trend terkini seperti peningkatan permintaan untuk penyelesaian kewangan yang lebih khusus dan penjajaran yang lebih giat dengan matlamat pembangunan yang lebih meluas seperti Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) juga telah membentuk semula landskap kewangan, lantas mewujudkan peluang dan cabaran baharu.

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan kedua yang dicadangkan ini akan berfungsi sebagai pelan hala tuju menyeluruh yang menggariskan langkah-langkah untuk memperkukuh keupayaan kewangan, membina daya tahan dan meningkatkan kesejahteraan kewangan untuk masa hadapan yang mampan. Strategi ini bertujuan untuk membentuk masyarakat yang celik kewangan melalui pendidikan kewangan yang inklusif, dinamik dan inovatif yang disampaikan secara berterusan melalui pendekatan seluruh negara.   

Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) mengalu-alukan maklum balas bertulis mengenai kertas perbincangan ini, termasuk cadangan mengenai aspek yang memerlukan penjelasan dan cadangan alternatif yang boleh dipertimbangkan oleh FEN. Bagi memastikan proses perundingan yang membina, maklum balas bertulis perlu disokong dengan rasional dan sebab yang jelas, bukti sokongan atau contoh yang praktikal, mengikut kesesuaian.  

Maklum balas mesti diserahkan secara elektronik kepada Sekretariat selewat-lewatnya pada 28 Mac 2025 kepada [email protected]. 

 


Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)  

FEN yang ditubuhkan pada bulan November 2016 bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif berkaitan pendidikan kewangan serta mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan terhadap penilaian keberkesanan pendidikan kewangan. Ahli-ahli FEN termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.  

 

Sila rujuk: Discussion Paper on the Second National Strategy for Financial Literacy


Bank Negara Malaysia
13 Februari 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?