Kewangan Islam Malaysia Forum Penerbit dan Pelabur 2006 "Malaysia - Pusat Kewangan Islam Antarabangsa"

Embargo: Untuk siaran segera
08 Jun 2006 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) dan Bursa Malaysia akan menganjurkan secara bersama Forum Kewangan Islam Malaysia yang bertemakan "Malaysia - Pusat Kewangan Islam Antarabangsa" pada 14 dan 15 Ogos 2006 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Forum ini akan menyediakan satu peluang yang unik bagi penerbit dan pelabur untuk mendapatkan pengetahuan yang mendalam tentang perbankan Islam Malaysia dan antarabangsa, Takaful dan pasaran modal daripada pengamal dan pengawal selia tempatan dan antarabangsa.

Sistem kewangan Islam Malaysia kini semakin bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa. Ia merupakan pasaran yang memberangsangkan dengan sejumlah RM11.6 bilion Sukuk telah diluluskan pada suku pertama 2006.

Kini terdapat RM91.6 bilion Sukuk terkumpul pada 31 Mac 2006, iaitu mencakupi 44 peratus daripada pasaran bon Malaysia. Urus niaga bulanan purata pasaran wang Islam bagi tahun 2006 ialah RM30 bilion. Dalam pasaran ekuiti, 85 peratus daripada sekuriti yang tersenarai adalah berlandaskan Syariah. Malaysia mempunyai kepelbagaian peserta antarabangsa, termasuk beberapa peserta asing baru dari Timur Tengah. Apabila produk baru diperkenalkan, sistem kewangan Islam Malaysia menawarkan peluang untuk pemerolehan dana dan pempelbagaian risiko bagi penerbit dan pelabur.

Forum ini akan membincangkan peluang yang luas dalam kewangan Islam dan isu praktik yang dihadapi oleh penerbit dan pelabur. Perbincangan dalam forum ini akan merangkumi perkembangan pasaran kewangan dan modal dalam sektor perkhidmatan kewangan Islam Malaysia yang kian berkembang. Pakar tempatan dan antarabangsa dari Timur Tengah, Eropah dan Asia akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka tentang bagaimana pelabur dan penerbit boleh memanfaatkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang komprehensif serta infrastruktur perundangan dan pengawalseliaan yang teguh yang ditawarkan oleh Malaysia, untuk mengejar peluang perniagaan global berdasarkan pembiayaan berlandaskan Syariah.

Forum ini akan menjadi platform yang sesuai bagi menegaskan bahawa kewujudan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang komprehensif merupakan prasyarat penting kepada pengurusan risiko kewangan yang berkesan dan bagi menyediakan pilihan kepada pengguna antarabangsa bagi perkhidmatan kewangan.

Butiran lanjut tentang forum ini terdapat di laman web www.malaysianislamicfinance.com. Program ini dianjurkan oleh Islamic Finance Events, iaitu anggota kumpulan Redmoney.


 


Bank Negara Malaysia
08 Jun 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?