Kumpulan Kewangan dan Pelaburan Kewangan Islam - Memperluas sempadan kewangan Islam

Embargo: Untuk siaran segera
26 Apr 2015 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan United Kingdom Foreign and Commonwealth Office bersama-sama menganjurkan mesyuarat kedua Kumpulan Kewangan dan Pelaburan Islam Global (Islamic Finance and Investment Group, GIFIG) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat ini merupakan susulan kepada mesyuarat sulung yang diadakan di London pada bulan Mac 2014. Seperti GIFIG sebelum ini, satu siri perbincangan telah diadakan antara pegawai kanan Kerajaan dengan pemimpin perniagaan dalam kewangan Islam dari seluruh dunia termasuk United Kingdom, Malaysia, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu. Antara institusi yang diwakili ialah Bank of England, UK Treasury, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Maybank Islamic, CIMB Islamic, dan Dubai Islamic Economy Development Centre.

Dengan pengantarabangsaan kewangan Islam yang semakin meluas, Kumpulan ini akan menjadi platform untuk memupuk hubungan merentas sempadan antara zon masa yang berbeza, dan seterusnya mendorong kelancaran aliran maklumat bagi memudahkan aliran modal dan kewangan, proses penentuan harga yang cekap, meningkatkan daya saing dan inovasi, serta mengekalkan keteguhan industri.

Mesyuarat telah bersetuju dengan hasil utama yang berikut:

  • Untuk menambahbaik komunikasi bagi memupuk pemahaman mengenai kewangan Islam secara global; dan
  • Untuk meningkatkan usaha bagi menghubungkan aliran dana kewangan Islam kepada keperluan infrastruktur dan menyokong pembangunan ekonomi global.

Kumpulan Kewangan dan Pelaburan Islam Global (GIFIG) ditubuhkan berikutan komitmen yang dibuat pada Forum Ekonomi Islam Sedunia (World Islamic Economic Forum, WIEF) di London pada bulan Oktober 2013, dengan matlamat untuk mengenal pasti peluang dan cabaran utama global yang dihadapi oleh Kewangan Islam, dan untuk menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang luas bagi mewujudkan pasaran Kewangan Islam global yang menyokong pertumbuhan dan kemakmuran. Kumpulan ini termasuk Menteri-menteri, Gabenor bank-bank pusat, pengawal selia dan Ketua Pegawai Eksekutif institusi-institusi kewangan Islam yang utama.

 

United Kingdom Foreign and Commonwealth Office
Bank Negara Malaysia
26 Februari 2015

_________________________________

Untuk maklumat lanjut berhubung dengan mesyuarat ini, sila hubungi:

Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur:
Raymond Chua
E-mel: [email protected]
Tel:  603-2170 2200

Bank Negara Malaysia:
Roziah Mohd. Hanifa
E-mel: [email protected]
Tel:  603-9179 2235

 


Bank Negara Malaysia
26 April 2015

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?