Laman Sesawang Bank Negara Malaysia Berwajah Baharu dengan Navigasi yang Dipertingkat

Embargo: Untuk siaran segera
11 Nov 2016 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin memperkenalkan laman sesawang www.bnm.gov.my dengan reka bentuk baharu yang lebih intuitif, cekap dan mesra pengguna. Laman sesawang berwajah baharu ini boleh dilayari mulai hari Isnin 14 November 2016.

Laman sesawang ini mempunyai imej korporat yang lebih segar, lengkap dengan imej yang bersesuaian bagi memaparkan mesej dan kandungan penting dengan lebih jelas. Maklumat berkaitan dengan Bank Negara Malaysia seperti dasar dan garis panduan, data ekonomi dan kewangan, siaran akhbar, berita dan maklumat terkini, serta maklumat berkaitan dengan pengguna seperti pendidikan kewangan, amaran penipuan kewangan dan tip untuk pengguna, boleh diakses dengan mudah melalui fungsi intuitif dan navigasi laman sesawang yang lebih baik.

Navigasi laman sesawang ini telah ditambah baik dengan menu pelbagai peringkat (multi-level menu) yang cekap, ciri yang lebih interaktif dan kandungan yang lebih selaras. Selain itu, pengguna boleh mengetahui perkembangan terbaharu dengan melanggan kepada pemberitahuan melalui e-mel untuk siaran akhbar, teks ucapan dan pengumuman.

Laman sesawang baharu ini menawarkan pengalaman pelayaran mudah alih yang lebih baik melalui ciri reka bentuk responsif yang disesuaikan dengan telefon pintar dan tablet. Ini bermakna laman sesawang Bank Negara Malaysia akan menyesuaikan penyampaian kandungan secara automatik. Ini lantas mewujudkan pengalaman pelayaran yang mudah dan menarik buat pengguna peranti mudah alih. Laman sesawang ini juga menyediakan pautan pantas kepada inisiatif-inisiatif Bank serta akaun media sosialnya di Facebook, Twitter, YouTube dan Flickr.

Orang ramai dijemput untuk melayari www.bnm.gov.my untuk melihat dan mengalami sendiri hasil reka bentuk baharu laman sesawang Bank Negara Malaysia. Sila rujuk Lampiran I untuk melihat laman sesawang ini.


Bank Negara Malaysia
11 November 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?