Langkah-langkah untuk Memperkukuh Lagi Infrastruktur Keinstitusian Industri Takaful
Bank Negara Malaysia mengumumkan beberapa langkah untuk memperkukuh lagi infrastruktur keinstitusian industri takaful dan mempercepat pengembangan perniagaan takaful. Usaha ini adalah sejajar dengan objektif Pelan Induk Sektor Kewangan untuk mewujudkan sistem kewangan Islam yang efisien, progresif dan komprehensif serta memperteguh kedudukan takaful sebagai salah satu komponen penting dalam sistem kewangan Malaysia. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia dengan ini mengumumkan inisiatif berikut:
i. Pelesenan pengendali takaful baru; dan
ii. Pelesenan broker dan ajuster takaful.
Pelesenan pengendali takaful baru
Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan sehingga empat lesen takaful baru kepada pemohon yang layak. Kriteria yang akan diguna pakai dalam penilaian merit pemohon adalah seperti yang berikut:
- Pemohon hendaklah merupakan institusi kewangan yang mempunyai kedudukan kewangan yang teguh, sebaik-baiknya mempunyai pengalaman dalam perniagaan perbankan Islam, takaful atau insurans;
- Keutamaan akan diberikan kepada usaha sama atau konsortium institusi kewangan (termasuk kumpulan insurans dan perbankan, serta institusi kewangan pembangunan). Konsortium yang dicadangkan perlu disertai satu bank atau penanggung insurans teras dengan pemegangan ekuiti yang signifikan untuk menerajui konsortium tersebut. Di samping itu, usaha sama atau konsortium tersebut perlu disertai oleh sekurang-kurangnya satu kumpulan perbankan; dan
- Pemohon hendaklah memperlihatkan, menerusi pelan perniagaannya, bahawa pengendali takaful yang dicadangkan mampu menyumbang dengan berkesan kepada pembangunan industri takaful dan seterusnya melengkapkan usaha-usaha yang diambil oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia dalam memajukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam. Pelan perniagaan tersebut perlu memperlihatkan strategi perniagaan pemohon dengan jelas berhubung dengan:
- Jangkaan kemajuan pengendali takaful yang dicadangkan menerusi unjuran kedudukan kewangan dan penyata kewangan proforma bagi pengendali takaful tersebut untuk tiga tahun pertama;
- Gambaran keseluruhan bagi setiap cabang perniagaan yang akan dikendalikan oleh pengendali takaful serta produk dan perkhidmatan yang bakal ditawarkan, termasuk strategi pemasaran yang akan diguna pakai, dalam jangka pendek dan jangka panjang; dan
- Kompetensi dan pengalaman bakal pasukan pengurusan pengendali takaful yang dicadangkan.
Dalam pengemukaan permohonan kepada Bank Negara Malaysia, pemohon perlu menyertakan cadangan struktur pemilikan bagi pengendali takaful yang dicadangkan, termasuk kawalan langsung dan tidak langsung serta pemegang saham utama, kekukuhan kewangan mereka, tinjauan semula usaha niaga perbankan dan insurans yang dijalankan pada masa lalu serta sumber modal awal yang akan dilaburkan.
Lesen takaful akan dikeluarkan sebagai lesen komposit dan pengendali takaful baru dikehendaki mematuhi keperluan modal berbayar minimum sebanyak RM100 juta, yang tidak boleh dijana menerusi peminjaman. Di samping itu, kepentingan ekuiti asing dalam pengendali takaful baru ini dibenarkan sehingga 49%.
Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2005.
Pelesenan broker dan ajuster takaful
Dalam usaha untuk memperkukuh lagi pengawalan dan penyeliaan pengantara takaful serta meningkatkan perlindungan pengguna, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan lesen di bawah Akta Takaful 1984 kepada pemohon yang layak untuk mengendalikan perniagaan pembrokeran dan pengajusteran takaful. Langkah ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme dan kecekapan pengantara takaful.
(a) Lesen pembrokeran takaful
Bagi perniagaan pembrokeran takaful, permohonan dibuka kepada broker insurans yang layak yang ketika ini dilesenkan di bawah Akta Insurans 1996. Broker insurans tersebut hendaklah berurus niaga sekurang-kurangnya RM1 juta nilai caruman takaful pada tahun kalendar yang lalu atau mempunyai caruman takaful dan insurans yang disatukan sekurang-kurangnya RM30 juta, dengan caruman takaful melebihi RM0.5 juta daripada jumlah yang disatukan. Di samping itu, broker insurans hendaklah mempunyai modal saham berbayar minimum tidak terjejas oleh kerugian sebanyak RM0.6 juta dan perlindungan indemniti profesional selepas tolakan sekurang-kurangnya RM1 juta.
Selain itu, sehingga lima buah lesen pembrokeran takaful baru akan dikeluarkan kepada broker takaful baru dalam usaha untuk menggalakkan pengkhususan dalam perniagaan pembrokeran takaful. Antara syarat pelesenan yang dikenakan atas broker takaful yang baru, termasuk keperluan modal saham berbayar minimum tidak terjejas oleh kerugian sebanyak RM0.5 juta dan perlindungan indemniti profesional selepas tolakan sekurang-kurangnya RM0.5 juta.
Permohonan bagi lesen broker takaful hendaklah menggunakan borang permohonan yang boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia. Borang permohonan hendaklah dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia selewat-lewatnya pada 1 Julai 2005.
b) Lesen pengajusteran takaful
Bagi perniagaan pengajusteran takaful, permohonan dibuka kepada ajuster insurans yang ketika ini dilesenkan di bawah Akta Insurans 1996 dan mempunyai modal saham berbayar minimum tidak terjejas oleh kerugian minimum sebanyak RM0.15 juta. Pemohon yang berminat dikehendaki mengemukakan surat permohonan untuk mengendalikan perniagaan pengajusteran takaful kepada Bank Negara Malaysia selewat-lewatnya pada 1 Julai 2005.
Lesen pembrokeran dan pengajusteran takaful adalah untuk tempoh satu tahun dan boleh diperbaharui berdasarkan prestasi pemohon.
Sebarang pertanyaan berhubung dengan syarat pelesenan dan pengemukaan permohonan boleh diajukan kepada:
Pengarah
Jabatan Perbankan Islam dan Takaful
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
Peti Surat 10922
50929 Kuala Lumpur
Telefon: 03-2698 8044 samb. 7641/8539
Faks: 03-2693 3826
E-mel:
salamran @ bnm.gov.my
nas @ bnm.gov.my
Borang Permohonan
BNM/JPIT/BA1 - Maklumat Mengenai Pemohon
BNM/JPIT/BA2 - Maklumat Mengenai Pemegang Sher/Pengarah/Pegawai Utama
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.