Langkah-langkah untuk Menggalakkan Pasaran Harta Tanah Terus Stabil dan Mampan, serta Pengurusan Kewangan dan Hutang Isi Rumah yang Kukuh

Embargo: Untuk siaran segera
03 Nov 2010 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelaksanaan nisbah maksimum loan-to-value (LTV) sebanyak 70% berkuat kuasa serta-merta, bagi kemudahan pembiayaan rumah ketiga oleh peminjam. Kemudahan pembiayaan bagi pembelian rumah pertama dan kedua tidak terjejas dan peminjam boleh terus mendapatkan pembiayaan bagi pembelian tersebut pada paras LTV semasa yang dikenakan oleh sesebuah bank berdasarkan dasar kredit dalaman mereka. Langkah ini bertujuan untuk menyokong pasaran harta tanah agar terus stabil dan mampan, di samping memastikan orang ramai akan terus mampu untuk membeli rumah.

Pada peringkat negara, harga harta kediaman didapati terus meningkat seiring dengan pembangunan ekonomi negara dan kenaikan paras pendapatan. Trend pertumbuhan keseluruhan ini pada amnya masih terkawal dan tidak menyimpang daripada trend jangka panjang harga harta kediaman. Namun, baru-baru ini, jumlah urus niaga dan harga rumah, khususnya di lokasi tertentu yang terletak di pusat bandar dan sekitarnya, telah meningkat dengan lebih cepat. Perkembangan ini juga disebabkan oleh bertambahnya pembiayaan yang disediakan untuk pembelian beberapa unit rumah oleh seseorang peminjam, lantas menunjukkan peningkatan aktiviti pelaburan yang bersifat spekulatif.

Pelaksanaan nisbah LTV yang disasarkan untuk pembelian rumah ketiga ini dijangka dapat mengurangkan aktiviti pelaburan yang berlebihan serta kegiatan spekulatif dalam pasaran harta kediaman yang telah mengakibatkan peningkatan yang lebih tinggi daripada kenaikan harga purata di lokasi berkenaan. Ini juga telah menyebabkan kenaikan harga rumah di lokasi sekeliling, lantas mengurangkan kemampuan pembelian rumah keseluruhan oleh pembeli rumah yang tulen. Oleh itu, langkah ini akan terus menyokong matlamat menggalakkan pemilikan rumah oleh rakyat Malaysia, yang merupakan agenda penting negara.

Pengenalan Program Keupayaan Kewangan

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan untuk menggalakkan pengurusan kewangan dan hutang yang kukuh oleh rakyat Malaysia, Bank Negara Malaysia juga ingin memperkenalkan Program Keupayaan Kewangan. Program ini akan ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui cawangannya di seluruh negara bermula bulan Januari 2011. Program ini bertujuan untuk memperlengkap individu dengan pengetahuan penting untuk membuat keputusan kewangan yang wajar melalui pemahaman praktikal serta kemahiran pengurusan wang dan hutang. Langkah ini seterusnya akan menyumbang kepada kedudukan kewangan isi rumah yang kukuh dan memastikan jumlah hutang adalah setara dengan kemampuan isi rumah, termasuk keupayaan mereka untuk menampung perubahan dalam kadar faedah dan ketidaktentuan yang mungkin berlaku terhadap paras pendapatan dan perbelanjaan. Setiap orang, terutamanya bakal peminjam baharu dan golongan belia, amat digalakkan untuk menyertai program khas yang direka khusus ini. Maklumat terperinci Program Keupayaan Kewangan ini akan diumumkan pada bulan Disember ini.


Bank Negara Malaysia
03 November 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?