Langkah-langkah untuk meningkatkan tahap kecairan di dalam pasaran bon tempatan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Jumaat, 7 Januari 2005
07 Jan 2005 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengenalan beberapa langkah untuk meningkatkan daya kecekapan di dalam pasaran bon ringgit. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:

i. Penggunaan secara aktif kontrak repo sebagai instrumen polisi kewangan;
ii. Pengenalan program ISCAP (Institutional Securities Custodian Programme) untuk kemudahan pinjaman dan pemberian pinjaman sekuriti; dan
iii. Kemudahan pemberian pinjaman sekuriti kepada peniaga-peniaga utama.

Penggunaan kontrak repo sebagai instrumen kewangan

Untuk membangunkan lagi pasaran repo, Bank Negara Malaysia akan secara aktif menggunakan operasi repo sebagai salah satu instrumen1 polisi kewangannya untuk menguruskan kecairan di dalam sistem perbankan. Operasi repo Bank Negara Malaysia akan:

· Bertindak sebagai pemangkin untuk menggalakkan peserta-peserta pasaran menggunakan repo secara aktif sebagai instrumen pembiayaan alternatif;
· Meningkatkan kefleksibelan bagi peserta-peserta pasaran menggunakan sekuriti tersebut didalam pengurusan risiko penyelesaian dan strategi dagangan; dan
· Meningkatkan keupayaan pengurusan risiko industri perbankan dengan menggalakkan pembabitan dalam urusniaga bercagar antara bank.

Pinjaman dan pemberian pinjaman sekuriti-sekuriti melalui ISCAP

ISCAP adalah merupakan suatu sistem berlandaskan web yang dibangunkan oleh Bank Negara Malaysia bertujuan untuk menggalakkan penyertaan pelabur institusi utama di dalam aktiviti pemberian pinjaman sekuriti. Melalui ISCAP, Bank Negara Malaysia akan meminjam sekuriti daripada pelabur institusi utama seperti dana pencen serta syarikat insuran. Sekuriti yang dipinjam, terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) akan digunakan oleh Bank Negara Malaysia di dalam pengendalian operasi repo. Melalui kaedah ini, tahap kecairan pasaran bon secara keseluruhannya akan dapat dipertingkatkan melalui pembebasan pegangan kaptif SKM oleh pelabur institusi utama.
 

Pemberian Pinjaman Sekuriti kepada Peniaga-peniaga Utama

Kemudahan pemberian pinjaman sekuriti kepada peniaga-peniaga utama2 akan juga diperkenalkan bagi membantu di dalam aktiviti memajukan pasaran serta menggalakkan persaingan harga. Dengan ini, peniaga-peniaga utama akan dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk menawarkan kadar harga secara berterusan untuk SKM di samping menggalakkan lagi proses penentuan harga dan meningkatkan tahap kecairan di dalam pasaran sekunder. Sekuriti yang bakal digunakan untuk kemudahan pemberian pinjaman ini akan diperolehi melalui program ISCAP serta pegangan SKM oleh Bank Negara Malaysia. Memandangkan penawaran SKM yang mencukupi dan berterusan adalah amat kritikal bagi memastikan kejayaan perlaksanaan kemudahan pemberian pinjaman sekuriti dan pengendalian repo ini, Bank Negara Malaysia mungkin akan membeli SKM daripada pasaran utama serta pasaran sekunder berdasarkan kepada harga pasaran. Bagi memastikan bahawa pembelian tersebut tidak mempengaruhi harga pasaran, pembelian SKM melalui tawaran tender utama akan berdasarkan kepada harga purata wajaran tender serta terhad kepada tahap maksimum 10% daripada saiz terbitan. Jumlah pembelian dalam pasaran sekunder pula adalah terhad kepada 10% daripada jumlah baki terbitan yang belum dibayar.

Melalui perlaksanaan langkah-langkah di atas, pasaran bon Malaysia dijangka akan terus maju ke hadapan dan dapat dibangunkan dengan jayanya menuju ke arah pasaran yang mempunyai tahap kecairan yang lebih baik, proses penentuan harga serta tahap kecekapan pengagihan modal yang lebih berkesan di dalam sistem kewangan.

1 Buat masa ini, Bank Negara Malaysia menguruskan tahap kecairan melalui pinjaman secara langsung daripada pasaran antara bank. Bank Negara Malaysia juga menerbitkan bil jangka pendek bagi tujuan menyerap lebihan kecairan di dalam pasaran.

 

2 1. AmMerchant Bank Berhad, 2. Bumiputra-Commerce Bank Berhad, 3. Citibank Berhad, 4. Commerce International Merchant Bankers Berhad, 5. Hong Leong Bank Berhad, 6. HSBC Bank Malaysia Berhad, 7. Malayan Banking Berhad, 8. Public Bank Berhad, 9. RHB Bank Berhad, 10. Standard Chartered Bank Malaysia Berhad.


Bank Negara Malaysia
07 Januari 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?