Langkah Segera untuk Memastikan Akses Lebih Meluas kepada Perlindungan Motor

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 0800 pada Selasa, 3 Mei 2011
03 Mei 2011 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan langkah segera bagi memastikan semua pemilik kenderaan akan mendapat akses kepada perlindungan motor. Berkuat kuasa dengan serta-merta orang ramai boleh mendapat perlindungan motor daripada semua penanggung insurans am dan kesemua cawangannya serta di Pos Malaysia dan kesemua cawangannya di seluruh negara. Semua penanggung insurans am memberikan komitmen untuk menyediakan perlindungan motor kepada semua pemilik kenderaan termasuk 'kenderaan tersisih' (displaced vehicles) yang terutamanya terdiri daripada kenderaan persendirian yang melebihi jangka hayat 10 tahun, dan motorsikal yang pada masa ini diunderait oleh Malaysia Motor Insurance Pool (MMIP). Perlindungan motor boleh diunderait oleh penanggung insurans individu atau disediakan bagi pihak MMIP.  Penanggung insurans harus memberitahu pelanggan sama ada perlindungan motor yang ditawarkan disediakan oleh penanggung insurans atau MMIP.

Berkuat kuasa dengan serta-merta 'kenderaan tersisih' akan dikenakan kadar premium pasaran yang normal dan tidak akan tertakluk kepada bebanan yang dikenakan terhadap kenderaan yang berisiko tinggi. Selain itu, 'kenderaan tersisih' tersebut juga hanya akan dikehendaki menjalani pemeriksaan 'roadworthiness' tahunan di Puspakom jika kenderaan itu dianggap berisiko tinggi.

Bagi memastikan hak pengguna dilindungi, Bank Negara Malaysia melarang penanggung insurans daripada memaksa pelanggan mereka supaya membeli produk bukan motor sebagai  syarat untuk mereka menjual perlindungan motor.

Orang ramai yang ingin membuat pertanyaan lanjut atau mempunyai kemusykilan berkaitan dengan pembelian perlindungan motor boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di:

No. Tel.    :     1-300-88-5465
No. Faks  :     (03)2174 1515
E-mel.      :     [email protected]

Langkah segera yang diambil akan memastikan orang ramai terus mendapat akses kepada perlindungan insurans motor yang perlu, sementara sektor ini beralih kepada Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu (Rangka kerja).  Rangka Kerja Baharu yang akan berkuat kuasa pada bulan Januari 2012 menyediakan penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu-isu struktur yang terdapat dalam sektor insurans motor dan takaful.

Rangka kerja Baharu ini terdiri daripada dua bahagian. Pertama, ia melibatkan pelaksanaan langkah bagi meningkatkan kecekapan terselaras bagi menambah baik  proses penyelesaian tuntutan secara keseluruhan, khususnya bagi tuntutan kecederaan anggota dan kematian. Ini termasuk pengemukaan notis tuntutan yang lebih cepat dan mudah, penubuhan pusat panggilan 24 jam di seluruh negara untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa kemalangan jalan raya dan pengeluaran laporan polis dan perubatan yang segera dan lebih cepat. Bahagian kedua ialah penyelarasan premium yang akan dilaksanakan secara beransur-ansur dalam masa empat tahun. Kesemua inisiatif ini bertujuan untuk memastikan orang ramai dan entiti perniagaan boleh mendapatkan perlindungan motor yang diperlukan pada harga yang berpatutan, dan juga membolehkan perniagaan insurans/takaful motor terus beroperasi dalam jangka sederhana dan panjang serta menawarkan produk dan perkhidmatan nilai  ditambah. 

 


Bank Negara Malaysia
03 Mei 2011

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?