Langkah Tambahan untuk Membangunkan Pasaran Bon Malaysia
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Khamis, 7 Disember 2006
07 Dis 2006
Siaran Akhbar
Bank Negara Malaysia mengumumkan dua langkah tambahan untuk membangunkan pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS):
- MGS Boleh Panggil
Bank Negara Malaysia, bagi pihak Kerajaan Malaysia, akan menerbitkan MGS Boleh Panggil pada 15 Disember 2006. Ciri-ciri MGS Boleh Panggil ini akan memberikan pilihan kepada Kerajaan untuk menebus MGS lebih awal dari tarikh matangnya. Terbitan MGS Boleh Panggil akan membolehkan Kerajaan mengurus aliran tunainya dengan lebih berkesan di samping memenuhi keperluan para pelabur yang pelbagai. Pengenalan produk baru ini oleh Kerajaan dijangka akan membangunkan lagi pasaran bon Malaysia khususnya pasaran utama bagi bon korporat. Ini adalah kerana MGS Boleh Panggil dapat dijadikan sebagai tanda aras untuk penerbit sektor swasta dalam menetapkan harga sekuriti hutang boleh panggil mereka.
- Pembelian Semula dan Penukaran MGS
Bagi memastikan MGS tanda aras terus cair dalam pasaran, Bank Negara Malaysia, bagi pihak Kerajaan Malaysia, akan memperkenalkan pembelian semula dan penukaran MGS pada bulan Januari 2007. Pembelian semula dan penukaran MGS ini merupakan penggantian MGS yang telah diterbitkan sebelum ini dengan terbitan tanda aras MGS terkini sama ada bagi sektor 3, 5, atau 10 tahun. Peningkatan dalam jumlah sekuriti tanda aras ini akan memesatkan urus niaga dalam pasaran sekunder, seterusnya menambah kecairan keseluruhan dalam pasaran bon Malaysia. Pembelian semula dan penukaran MGS ini juga akan meningkatkan fleksibiliti dalam mengekalkan terbitan MGS secara tetap walaupun dalam keadaan keperluan pembiayaan yang berkurang. Ini adalah kerana pembelian semula dan penukaran MGS ini tidak akan meningkatkan keperluan pembiayaan Kerajaan.
Langkah-langkah di atas adalah selaras dengan inisiatif lain yang telah dilaksanakan bagi membangunkan lagi pasaran bon melalui inovasi produk dan peningkatan dagangan dalam pasaran.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!