Langkah Untuk Mengukuhkan Lagi Industri Insurans Hayat
Bank Negara Malaysia hari ini mengeluarkan garis panduan “Dynamic Solvency Testing” (DST) untuk mengukuhkan lagi industri insurans hayat di Malaysia. Dengan pengenalan garis panduan DST, rangka kerja kesolvenan syarikat insurans hayat di Malaysia akan dapat diperkukuhkan dan asas industri insurans hayat dapat diperteguhkan bagi mempastikan pertumbuhan yang mapan pada masa hadapan.
DST adalah suatu alat penilaian kesolvenan yang berkesan bagi membolehkan penanggung insurans hayat mengenalpasti dan mengurus risiko-risiko supaya keupayaan mereka untuk memenuhi liabiliti jangka panjang masa kini dan pada masa hadapan, serta tanggungjawab kepada empunya polisi dapat dipertingkatkan. Dengan pengurusan risiko yang lebih baik, DST juga akan mengukuhkan keupayaan penanggung insurans untuk lebih berinovasi dalam memperkenalkan produk-produk baru untuk manfaat pengguna.
Garis panduan DST akan menyelaraskan salah satu daripada kaedah yang digunakan oleh penanggung insurans hayat untuk menyiasat kesolvenan masa kini dan masa hadapan. DST adalah suatu teknik untuk mengunjur kedudukan kewangan penanggung insurans hayat di masa hadapan, dengan mengambilkira perubahan dalam persekitaran ekonomi dan kewangan luaran, serta pengalaman penanggung insurans tersebut, terutamanya kadar mortaliti, pulangan pelaburan dan andaian-andaian lain yang boleh memberi kesan kepada kedudukan kewangan penanggung insurans tersebut.
Garis panduan bagi analisis DST merangkumi prosedur am, senario-senario yang perlu dipertimbangkan dan andaian-andaian yang perlu diambil, dengan mengambilkira ciri-ciri unik perniagaan penanggung insurans hayat tersebut. Berdasarkan keputusan DST, Pakar Aktuari Yang Dilantik dikehendaki membuat ulasan tentang arah aliran am kedudukan kewangan penanggung insurans tersebut dan memberi cadangan kepada pihak pengurusannya supaya risiko mereka dapat diuruskan dengan lebih baik.
Keputusan daripada DST akan membolehkan tindakan pencegahan awal diambil bagi membolehkan penanggung insurans hayat mengambil tindakan dalam masa yang sesuai terhadap perubahan dalam situasi kewangan dan pengalaman syarikat. Dengan itu, DST adalah satu alat yang bernilai kepada pihak pengurusan penanggung insurans hayat dengan memperkukuhkan pengurusan kewangan syarikat dalam menentukan keputusan perniagaan strategik, berdasarkan sumber modal yang sedia ada.
Garis panduan DST akan mengukuhkan lagi Laporan Kedudukan Kewangan sedia ada, yang disediakan setiap tahun oleh Pakar Aktuari Yang Dilantik untuk pihak pengurusan dan lembaga pengarah penanggung insurans hayat, bagi memberikan mereka pandangan menyeluruh mengenai kedudukan kewangan syarikat.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.