Laporan kredit yang baik meningkatkan akses kepada kewangan
Bank Negara Malaysia dan International Finance Corporation (IFC) secara bersama telah menganjurkan Latihan Pelaporan Kredit dan Pengurusan Risiko Ke-4.Bengkel tahunan yang diadakan pada tahun ini di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia dari 5-9 November 2012, telah disertai lebih daripada 150 pengawal selia, pegawai bank pusat serta profesional daripada pelaporan kredit dan kewangan dari seluruh dunia.
Tujuan bengkel ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan perkongsian pengetahuan antara penggubal dasar dengan pengamal kewangan, supaya berpeluang untuk mendapat maklumat asas dan lanjutan mengenai pelaporan kredit, pemarkahan, model, pengurusan risiko, pembaharuan sistem pelaporan kredit dan amalan terbaik.Matlamat utama bengkeladalah untuk meningkatkan peranan pendaftaran kredit (credit registries) dalam memelihara kestabilan sistem kewangan, meningkatkan akses kepada kewangan dan menggalakkan sistem kewangan yang lebih inklusif.
Bengkel ini disertai 28 penceramah antarabangsa termasuk daripada IFC, Kementerian Kewangan Senegal, Biro Kredit Singapura, People's Bank of China, Kementerian Ekonomi Mexico, Central Bank of Lebanon, Alliance for Financial Inclusion, persatuan-persatuan pemberi pinjaman, penderma kewangan, biro kredit serta pakar-pakar terkemuka mengenai pelaporan kredit.
Selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dan manfaat sistem pelaporan kredit, bengkel ini membantu dan mengukuhkan proses membangunkan perkongsian maklumat kredit yang komprehensif, khususnya dalam ekonomi sedang pesat membangun. Perkongsian maklumat kredit telah menjadi komponen yang semakin penting dalam sistem kewangan dengan sumbangan yang lebih tinggi ke arah operasi kredit yang cekap dan berkesan, proses pengantaraan kewangan dan kestabilan kewangan bagi pembangunan ekonomi sesebuah negara secara keseluruhan.
Bagi Malaysia, perkongsian maklumat kredit yang komprehensif dan relevan oleh biro kredit dengan institusi pinjaman melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), telah menyumbang ke arah keputusan pinjaman yang lebih bertanggungjawab. Pemberian pinjaman yang bertanggungjawab dan penilaian berhemat juga tidak menghalang akses kepada kredit bagi mereka yang layak, seperti yang dicerminkan oleh kedudukan nombor satu Malaysia bagi lima tahun berturut-turut dari segi Kemudahan Memperoleh Kredit, dalam Laporan Menjalankan Perniagaan, yang dikeluarkan secara bersama oleh International Financial Corporation dan Bank Dunia. Penilaian yang rapi sepanjang proses penilaian kredit juga telah menyumbang ke arah mengekalkan kadar yang rendah bagi kemungkiran dalam sistem perbankan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.