Laporan Tahunan BNM 2000

Embargo: Untuk siaran segera
28 Mac 2001 Siaran Akhbar

Saudara dan Saudari,

Sebagai satu tradisi Bank Negara Malaysia, saya dengan sukacitanya ingin menyiarkan secara rasmi Laporan Tahunan 2000 Bank Negara Malaysia. Laporan ini hanya boleh disiarkan selepas jam 6:00 petang. Laporan ini mengandungi Akaun Tahunan Bank Negara Malaysia untuk tahun 2000 dan memberi analisa perkembangan ekonomi dan kewangan pada tahun 2000, serta memberi unjuran rasmi untuk ekonomi Malaysia bagi tahun 2001.

Pada tahun 2000, ekonomi Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi dengan asas-asas ekonomi dan kewangan yang jelas lebih kukuh. Prestasi ini telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih bersedia untuk bertindak balas terhadap keadaan ekonomi yang lebih mencabar pada tahun 2001. KDNK benar mencatat pertumbuhan yang tinggi sebanyak 8.5 peratus pada tahun 2000, jauh melebihi pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus yang dicatat pada tahun 1999. Sementara pertumbuhan ini telah disokong oleh permintaan luar negeri yang kukuh, peningkatan penggunaan swasta dan pemulihan pelaburan dalam negeri yang kukuh adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan tersebut. Pelaburan swasta yang kukuh dapat dilihat dalam beberapa industri di mana paras pengeluaran dan kapasiti penggunaan telah meningkat berikutan peningkatan permintaan. Selaras dengan itu, keadaan pasaran buruh juga jelas bertambah baik pada tahun 2000 dengan kadar pengangguran dianggarkan telah berkurangan kepada 3.1 peratus.

Strategi dasar untuk mempelbagaikan struktur ekonomi Malaysia telah berterusan pada tahun 2000 untuk terus memperluas dan membesarkan asas perindustrian, meningkatkan pembangunan sektor perkhidmatan sebagai enjin pertumbuhan kedua, dan memasuki bidang-bidang pertumbuhan baru. Pada tahun 2000, nilai ditambah sektor perkilangan tumbuh dengan kukuh sebanyak 21 peratus dengan peningkatan yang jelas dalam keluaran industri berorientasikan eksport dan berorientasikan pasaran tempatan. Ianya merupakan satu rekod baru untuk keluaran perkilangan. Mencerminkan satu pertumbuhan ekonomi yang bersifat menyeluruh, nilai ditambah dalam sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.7 peratus. Nilai ditambah dalam sektor pembinaan pulih semula untuk mencatat pertumbuhan positif sebanyak 1.1 peratus. Nilai ditambah dalam sektor pertanian kekal positif walaupun terdapat pertumbuhan yang lebih rendah dalam keluaran minyak sawit dan penurunan dalam keluaran getah dan koko.

Kekukuhan teras ekonomi juga dicerminkan oleh pengukuhan asas-asas ekonomi. Walaupun harga minyak yang lebih tinggi, lebihan kapasiti yang lebih rendah, dan keadaan permintaan dan guna tenaga yang lebih kukuh, inflasi adalah terkawal pada paras bawah 2 peratus. Dari segi sektor luaran, imbangan luar negara kekal kukuh dengan lebihan dalam akaun semasa yang besar dan aliran modal jangka panjang yang berterusan, telah mampu untuk menampung aliran keluar pembayaran semula hutang, dan pelaburan luar negara oleh Malaysia. Pembayaran semula hutang luar negara sektor swasta telah membawa kepada pengurangan risiko luaran Malaysia dan seterunya memperbaiki struktur kematangan hutang luar negara.

Tahun 2000 juga menyaksikan kemajuan yang besar dalam penstrukturan semula sektor kewangan, yang telah dicapai pada kos yang lebih rendah dari yang dijangkakan, iaitu kurang daripada 7 peratus daripada KDNK. Keadaan ekonomi dan kewangan yang positif dan stabil juga membolehkan usaha penggabungan perbankan dilaksanakan dengan jayanya pada tahun tersebut. Sehingga kini, sembilan kumpulan perbankan yang merangkumi 51 institusi perbankan telah menyelesaikan usaha pengabungan, dan menghasilkan penyatuan sebanyak 96 peratus daripada aset institusi perbankan domestik. Tambahan lagi, sistem perbankan telah menjadi lebih kukuh dengan tahap pemodalan dan keuntungan yang lebih tinggi, dan peningkatan dalam kualiti portfolio.

Dalam pengurusan ekonomi, dasar fiskal yang berhemat telah dikekalkan pada tahun 2000 untuk memastikan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang kukuh. Pada akhir tahun 2000, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dapat dikawal pada paras 37 peratus daripada KDNK, sementara hutang luar negara Kerajaan Persekutuan bersamaan 5.5 peratus KDNK. Khidmat hutang juga kekal rendah, berjumlah 16 peratus daripada perbelanjaan operasi. Dalam pengurusan monetari, kadar faedah yang rendah telah dikekalkan untuk menyokong proses pertumbuhan. Pada tahun 2000, pertumbuhan pinjaman meningkat untuk mencatat pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus. Terbitan sekuriti hutang swasta juga bertambah. Oleh itu, jumlah pembiayaan, meliputi pinjaman dan hutang sekuriti swasta, meningkat sebanyak 9 peratus pada tahun 2000.

Pada tahun 2001, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan dipengaruhi oleh prospek ekonomi global yang kurang menggalakkan. Dalam persekitaran penurunan kadar pertumbuhan Amerika Syarikat yang lebih besar dari yang dijangkakan, prestasi ekonomi Jepun yang lemah dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2001 dijangkakan akan menjadi sederhana kepada 5 peratus. Walau bagaimanapun, asas-asas ekonomi yang kukuh pada masa ini, dan dasar berhemat di masa lalu telah memberikan Malaysia fleksibiliti dasar untuk melaksanakan langkah-langkah untuk menggalakkan permintaan dalam negeri dan meningkatkan pertumbuhan KDNK pada tahun 2001 kepada hampir 6 peratus. Langkah-langkah baru yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semalam adalah langkah-langkah persediaan untuk menghadapi kesan-kesan daripada implikasi-implikasi kelembapan ekonomi negara-negara perindustrian yang lebih besar dari yang dijangkakan. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menggalakkan permintaan dalam negeri dan dijangka akan dapat mengimbangi permintaan luar negeri yang lebih perlahan tanpa menghasilkan risiko-risiko baru. Keadaan mudah tunai, sistem perbankan yang lebih kukuh dan pasaran sekuriti hutang swasta yang lebih aktif akan membolehkan pertumbuhan ini dibiayai secara efisien dan tidak bersifat inflasi.

Perbelanjaan fiskal diarahkan kepada industri-industri yang mempunyai rantaian dalam negeri yang tinggi dan kandungan import yang minimum untuk mengekalkan kedudukan akaun semasa dalam imbangan pembayaran yang baik. Dalam masa terdekat ini, program rangsangan ini terutamanya akan memberi faedah kepada sektor pembinaan dan perkhidmatan. Agihan yang lebih besar juga ditumpukan kepada projek-projek dan program-program yang akan membawa kepada pengukuhan produktiviti jangka panjang. Dasar monetari akan terus kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Kedudukan akaun semasa dalam imbangan pembayaran dijangka akan kekal dalam lebihan (6.7 peratus daripada KNK) pada tahun 2001. Aliran masuk modal jangka panjang juga dijangka kekal mapan, dan bersama lebihan akaun semasa yang berterusan, akan dapat menampung aliran keluar. Dengan prospek inflasi dalam negeri yang rendah, kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh, paras hutang luar negara yang rendah, kadar pertukaran tetap pada RM3.80 setiap dollar Amerika Syarikat akan dapat dipertahankan dan konsisten dengan asas-asas ekonomi.

Momentum pertumbuhan yang dibina semenjak dua tahun yang lalu, kekukuhan asas-asas ekonomi dan perlaksanaan langkah-langkah baru ini dijangka akan menghasilkan dorongan yang mencukupi untuk keluaran benar ekonomi dalam negeri berkembang pada kadar 6 peratus pada tahun 2001. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah persediaan dalam memastikan ekonomi Malaysia dapat mengekalkan pertumbuhan. Oleh itu, adalah penting untuk sektor swasta menyumbang kepada proses pertumbuhan ini dengan bertindak balas secara positif kepada inisiatif-inisiatif ini.


Bank Negara Malaysia
28 Mac 2001

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?