Laporan Tahunan Insurans 2000
Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan Laporan Tahunan Insurans 2000 dan Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful 2000 pada hari ini.
Laporan Tahunan Insurans 2000 memberi ulasan mengenai pentadbiran Akta Insurans 1996 dan prestasi serta perkembangan industri insurans Malaysia sepanjang tahun 1999 dan 2000. Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful 2000 pula menerangkan operasi perniagaan takaful (insurans secara Islam) sepanjang tahun 1999 dan 2000 dan mengulas secara ringkas pentadbiran Akta Takaful 1984.
Laporan Tahunan Insurans 2000
Prestasi industri insurans bertambah baik dengan ketaranya pada tahun 1999 dengan premium mencatatkan kadar pertumbuhan yang tinggi sebanyak 8.5% berbanding dengan penurunan sebanyak 2.1% pada tahun 1998. Pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah terutamanya dicatat oleh sektor hayat dengan peningkatan sebanyak 37.4% dalam premium perniagaan baru. Prestasi industri insurans yang bertambah baik ini terus dikekalkan pada tahun 2000 dengan pertumbuhan seterusnya dalam pendapatan premium sebanyak 17.1%.
Ekoran daripada perkembangan-perkembangan positif ini, keperluan-keperluan kewangan yang telah dilonggarkan pada tahun 1998 semasa krisis kewangan, telah dikenakan semula. Berkuatkuasa pada 31 Disember 2000, penanggung-penanggung insurans adalah dikehendaki mengekalkan modal berbayar/lebihan aset ke atas liabiliti minimum sebanyak RM50 juta berbanding dengan RM40 juta sebelum ini. Margin kesolvenan minimum mutlak (sebelum mengambil kira liabiliti kumpulan wang insurans) yang perlu dikekalkan bagi setiap kelas perniagaan insurans juga telah dikenakan semula kepada RM50 juta berkuatkuasa mulai 1 Januari 2001. Untuk memperbaiki lagi ketahanan kewangan penanggung-penanggung insurans dan sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran tentang perlunya penggabungan industri, modal minimum penanggung-penanggung insurans telah digandakan kepada RM100 juta, yang perlu dipatuhi menjelang akhir bulan Jun 2001.
Penggabungan kekal sebagai salah satu daripada fokus utama BNM. Sehingga kini, enam penggabungan dan perolehan telah disempurnakan manakala 10 yang lain yang melibatkan 19 penanggung insurans masih berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Fokus utama juga diberi ke arah usaha-usaha untuk mengukuhkan lagi sektor insurans dari segi penembusan pasaran dan peningkatan standard perkhidmatan yang lebih baik kepada orang awam pada kos yang paling efisyen. Matlamat menyeluruh, seperti yang tertera dalam Pelan Induk 10-tahun Sektor Kewangan, ialah untuk membina sektor kewangan yang cekap, berkesan dan stabil yang dapat menyokong keperluan ekonomi sebenar dan matlamat sosio-ekonomi negara. Tujuannya adalah juga untuk membina institusi-institusi domestik yang kukuh yang menjadi teras kepada sistem kewangan, yang dapat menyediakan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia bagi pengguna di Malaysia, di samping memenuhi komitmen di peringkat antarabangsa untuk meliberalisasikan sektor insurans dalam jangka pertengahan.
Prestasi Industri Insurans Pada Tahun 1999 and 2000
Jumlah pendapatan premium industri insurans meningkat sebanyak 8.5% untuk mencapai RM11,829.9 juta pada tahun 1999, yang mana sektor insurans hayat menyumbangkan sebanyak 60.5%. Nisbah pendapatan premium industri kepada keluaran negara kasar (KNK) nominal meningkat sedikit daripada 4.1% pada tahun 1998 kepada 4.2% pada tahun 1999. Diperkukuhkan dengan peningkatan yang lebih tinggi dalam keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1,889.6 juta, jumlah aset kumpulan wang insurans mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.4% kepada RM45,397.3 juta pada tahun 1999. Ekoran daripada pertumbuhan premium yang lebih tinggi dan pemulihan nilai aset, jumlah aset kumpulan wang insurans industri terus bertambah baik dengan mencatatkan hampir 4% daripada aset sistem kewangan berbanding dengan 3.6% pada tahun 1998. Berikutan daripada persekitaran ekonomi yang lebih kukuh pada tahun 2000, prestasi industri insurans terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan pertumbuhan jumlah pendapatan premium sebanyak 17.1% kepada RM13,855.9 juta atau 4.6% daripada KNK. Jumlah aset kumpulan wang insurans berkembang pada kadar sebanyak 10.9% untuk mencapai RM50,336.4 juta pada tahun 2000.
Insurans Hayat
Industri insurans hayat kembali kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan premium dua digit yang menggalakkan pada tahun 1999. Jumlah premium baru meningkat dengan ketara sebanyak 37.4% kepada RM1,977.6 juta, sementara nilai baru diinsuranskan dan bilangan polisi baru yang diurusniaga meningkat masing-masing sebanyak 15.2% dan 29.3% kepada RM100,769.3 juta dan 1,452,287 polisi. Dari segi portfolio perniagaan baru, kesemua kelas perniagaan mencatatkan pertumbuhan dua digit pada tahun 1999. Perkembangan utama dalam pasaran adalah perluasan dalam perniagaan berkaitan pelaburan. Premium insurans berkaitan pelaburan baru telah berkembang lebih daripada lapan kali ganda kepada RM190.1 juta, yang merupakan 9.6% daripada premium perniagaan baru pada tahun 1999 berbanding dengan hanya 1.6% pada tahun 1998. Peningkatan ketara dalam produk berkaitan pelaburan menggambarkan peralihan dalam pilihan pengguna daripada hanya sebagai produk perlindungan risiko kepada produk simpanan.
Pada tahun 1999, jumlah premium hayat yang ditamatkan menurun sebanyak 13.9% (1998: peningkatan sebanyak 47.4%) kepada RM721.8 juta, sementara nilai diinsuranskan yang ditamatkan meningkat secara marginal sebanyak 2.4% (1998: 38.6%) kepada RM71,409.5 juta. Selaras dengan pertumbuhan yang kukuh dalam perniagaan baru dan penurunan dalam keseluruhan penamatan, kedua-dua nilai diinsuranskan dan premium tahunan berkuatkuasa mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak 8.7% dan 9.9% kepada RM368,979.1 juta dan RM6,859.4 juta. Sementara itu, bilangan polisi berkuatkuasa meningkat sebanyak 11.4% kepada 7,038,691 polisi untuk mencapai kadar penembusan insurans sebanyak 30.8% pada tahun 1999, iaitu pertama kalinya melebihi 30%.
Jumlah pendapatan kumpulan wang insurans hayat meningkat dengan ketara sebanyak 20.3% untuk mencapai RM10,140.6 juta pada tahun 1999, hasil daripada peningkatan ketara dalam keuntungan penjualan aset daripada hanya RM29.5 juta pada tahun 1998 kepada RM591.1 juta pada tahun 1999. Jumlah wang keluar kumpulan wang insurans hayat menurun sebanyak 10.9% kepada RM4,452.1 juta, terutamanya disebabkan oleh penurunan ketara dalam kerugian pelaburan daripada RM837.5 juta pada tahun 1998 kepada hanya RM16.2 juta pada tahun 1999. Berikutan daripada peningkatan yang ketara dalam pendapatan, lebihan pendapatan ke atas perbelanjaan jelas bertambah baik dengan peningkatan sebanyak 65.7% untuk mencapai RM5,688.5 juta, berbanding dengan RM3,433.5 juta pada tahun 1998. Selaras dengan peningkatan keseluruhan dalam prestasi perniagaan, jumlah aset kumpulan wang insurans hayat meningkat sebanyak 20.5% untuk mencapai RM31,707 juta pada tahun 1999.
10. Pengenalan produk anuiti dan insurans berkaitan pelaburan yang baru terus merangsang pertumbuhan industri insurans hayat pada tahun 2000. Berdasarkan perangkaan awal bagi tahun kalendar 2000, jumlah premium baru meningkat dengan ketara sebanyak 47.7% kepada RM2,920.5 juta, sementara nilai baru diinsuranskan meningkat sebanyak 13.4% kepada RM114,299.1 juta. Premium tunggal baru meningkat sebanyak 144.9% kepada RM1,603.4 juta, terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan perniagaan anuiti serta langkah yang diambil oleh beberapa penanggung insurans untuk mempelbagaikan produk dengan menceburi perniagaan berkaitan pelaburan. Kini, 12 penanggung insurans hayat telah diberi kelulusan untuk mengunderait perniagaan berkaitan pelaburan. Jumlah pendapatan premium industri insurans hayat meningkat sebanyak 12.1% untuk mencapai RM11,363 juta, disokong terutamanya oleh peningkatan sebanyak 23.2% dalam pendapatan premium kepada RM8,809.7 juta pada tahun 2000. Jumlah wang keluar industri meningkat sebanyak 25% kepada RM5,566.8 juta, terutamanya disebabkan oleh pembayaran faedah yang lebih tinggi yang meningkat sebanyak 18.7% kepada RM2,657.2 juta. Berikutan daripada peningkatan yang lebih tinggi dalam jumlah wang keluar, lebihan pendapatan ke atas wang keluar hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 1.9% untuk mencapai RM5,796.2 juta. Selaras dengan prestasi perniagaan yang pada keseluruhannya bertambah baik, jumlah aset kumpulan wang insurans hayat meningkat sebanyak 15.4% untuk mencapai RM36,594 juta pada akhir tahun 2000. Pelaburan dalam sekuriti korporat dan hutang yang mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 28.1% kepada RM16,605.1 juta, kekal sebagai portfolio aset terbesar, mewakili sebanyak 45.4% daripada jumlah aset.
Insurans Am
Pada tahun 1999, sektor insurans am kembali teguh dengan mencatatkan pertumbuhan marginal dalam premium langsung kasar sebanyak 0.6% kepada RM5,541 juta, berbanding dengan penurunan sebanyak 11.6% pada tahun 1998. Kesemua sektor perniagaan insurans am mengalami kadar pertumbuhan positif, kecuali perniagaan marin, udara dan transit (MUT), kebakaran, perlindungan motor 'Akta' dan pelbagai.
Bendungan perniagaan Malaysia (oleh kedua-dua penanggung insurans langsung dan penanggung insurans semula) terus menunjukkan trend yang menaik pada tahun 1999 untuk mencapai 87.8% berbanding dengan 86.4% pada tahun 1998. Kadar bendungan yang tinggi ini disokong oleh sektor motor yang mencatatkan nisbah bendungan sebanyak 99.6%. Kecuali kelas pelbagai, kesemua kelas menunjukkan tahap bendungan yang lebih tinggi, dengan peningkatan tertinggi direkodkan oleh kelas segala risiko kontraktor dan kejuruteraan. 13.
Trend pengalaman tuntutan industri yang menaik telah kembali pulih pada tahun 1999, dengan mencatatkan pengalaman tuntutan yang lebih baik buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, daripada 64.1% pada tahun 1998 kepada 63.7% pada tahun 1999. Walaupun kebanyakan kelas perniagaan mencatatkan kemajuan dalam nisbah tuntutan, perubahan dalam nisbah tuntutan yang bertambah baik ini adalah terutamanya disebabkan oleh kemajuan yang ketara dalam pengalaman tuntutan bagi sektor-sektor kebakaran dan MUT. 14. Selaras dengan nisbah pengalaman tuntutan yang lebih baik di samping peningkatan yang ketara dalam laba modal dan pendapatan lain, industri insurans am mencatatkan peningkatan dalam keuntungan kendalian daripada RM948.1 juta pada tahun 1998 kepada RM1,090.2 juta pada tahun 1999. Kenaikan dalam keuntungan ini diperolehi walaupun keuntungan pengunderaitan industri merosot kepada RM150.1 juta pada tahun 1999 berbanding dengan RM284 juta pada tahun 1998 dan RM619.9 juta pada tahun 1997, ekoran daripada penurunan dalam pendapatan premium diperolehi yang dijejaskan lagi oleh komisen dan perbelanjaan pengurusan yang lebih tinggi. Jumlah aset kumpulan wang insurans am berkembang sebanyak 5.2% untuk mencapai RM13,690.3 juta pada tahun 1999 yang mana wang tunai dan deposit merupakan komponen terbesar sebanyak 36.1%.
15. Pada tahun 2000, industri insurans am merekodkan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 6.6% dalam premium langsung kasar kepada RM5,908.2 juta. Kebanyakan sektor menunjukkan pertumbuhan yang menggalakkan di antara 0.6% hingga 11.6% berbanding dengan tahun 1999. Nisbah bendungan bersih industri terus bertambah baik untuk mencapai 89.6%, berbanding dengan 87.8% pada tahun 1999. Pada akhir tahun 2000, jumlah aset kumpulan wang insurans am meningkat sebanyak 0.4% kepada RM13,742.4 juta.
Pentadbiran Akta Insurans 1996
Peraturan Insurans yang telah dipinda bagi menetapkan pengekalan modal berbayar/lebihan aset ke atas liabiliti minimum sebanyak RM50 juta untuk penanggung insurans telah berkuatkuasa pada 31 Disember 2000. Modal minimum berkenaan akan ditingkatkan lagi kepada RM100 juta berkuatkuasa mulai 30 Jun 2001. Langkah-langkah kini sedang diambil bagi melaksanakan perubahan tersebut yang akan dikuatkuasakan pada tahun 2001. Pada 31 Disember 2000, modal penanggung-penanggung insurans yang ditubuhkan di Malaysia meningkat sebanyak 5% kepada RM4,215.3 juta, manakala modal bagi broker dan ajuster berlesen masing-masing meningkat sebanyak 14.4% dan 13.5% kepada RM39.8 juta dan RM11.8 juta.
Dua lesen untuk mengendalikan perniagaan insurans am dan satu lesen untuk mengendalikan perniagaan insurans komposit telah dibatalkan pada tahun 2000 berikutan terlaksanannya penggabungan enam penanggung insurans. Pada bulan Januari 2000, satu lesen baru untuk mengendalikan perniagaan insurans semula am telah dikeluarkan kepada General Reinsurance Corporation (GRC) dari Amerika Syarikat. Dengan pelesenan GRC, semua lesen insurans semula am yang ditawarkan oleh Malaysia di bawah Perjanjian WTO telah dikeluarkan sepenuhnya. Berikutan daripada keputusan untuk mengeluarkan lesen baru kepada penanggung insurans semula hayat professional, Hannover Ruckversicherungs-Aktiengesellschaft, yang telah dilesenkan sebagai penanggung insurans semula am telah diberi lesen untuk menjalankan perniagaan insurans semula hayat berkuatkuasa pada 18 Januari 2000, dan dengan itu membolehkannya menjalankan kedua-dua perniagaan insurans semula am dan hayat. Dengan perkembangan ini, hanya lima lagi lesen penanggung insurans semula hayat masih ada untuk dikeluarkan kepada pemohon yang layak.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas pemegang lesen dan penyeliaan keseluruhan BNM pada tahun 2000 telah menunjukkan betapa perlunya bagi penanggung insurans untuk mengukuhkan industri dalam beberapa aspek tertentu termasuklah amalan pasaran, tadbir urus korporat, perkhidmatan pelanggan, pengurusan aset, produktiviti, pematuhan Dasar Pembangunan Nasional dan ketahanan kewangan. Dalam usaha menanamkan disiplin kewangan dan pasaran yang lebih baik, kompaun telah dikenakan ke atas beberapa pemegang lesen sepanjang tahun kajian bagi berbagai kesalahan yang melanggar peruntukan Akta.
Dasar dan Langkah Mengukuhkan Industri Insurans Pada Tahun 2000
Bagi mewujudkan suatu sistem kewangan yang berdaya tahan, kompetitif dan dinamik yang dapat menyokong serta menyumbang secara positif ke arah pertumbuhan ekonomi, BNM telah merangka Pelan Induk 10-tahun Sektor Kewangan untuk menanda arah haluan masa hadapan sistem kewangan, termasuk industri insurans. Pelan Induk yang dilancarkan pada 1 Mac 2001 tersebut telah dirangka bagi melaksanakan suatu program perubahan yang akan meningkatkan keupayaan penanggung insurans tempatan untuk bersaing dengan lebih efektif bagi memperolehi bahagian pasaran insurans yang kian berkembang, di samping menampung keperluan ekonomi benar dan objektif sosio-ekonomi negara. Rencana khas mengenai Pelan Induk Sektor Insurans Malaysia dalam Laporan Tahunan Insurans 2000 menghuraikan secara terperinci langkah-langkah dan syor-syor yang dikemukakan di bawah Pelan Induk tersebut.
Ekoran daripada perlunya penanggung insurans untuk meningkatkan tahap tanggung jawab masing-masing, BNM terus memberi tumpuan kepada menggalakkan tadbir urus korporat yang baik, kecekapan operasi dan pengurusan penanggung insurans yang berhemat. Rangka Kerja Mengenai Tadbir Urus Korporat yang dikeluarkan pada bulan Mei 2000 menggariskan asas untuk pembaikan progresif dalam amalan tadbir urus korporat penanggung insurans. Di bawah Rangka Kerja berkenaan, penekanan utama diberi kepada peranan lembaga pengarah dan pengurusan penanggung insurans bagi memastikan prinsip-prinsip tadbir urus korporat diterapkan dalam syarikat. 21. Meskipun tahap penembusan insurans bertambah baik dengan ketara daripada 28.4% pada tahun 1998 kepada 30.8% pada tahun 1999, masih terdapat potensi yang amat besar bagi sektor insurans hayat memperluaskan pasarannya. Pengenalan skim anuiti bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja berkuatkuasa pada 1 Julai 2000 merupakan suatu langkah ke hadapan bagi industri meningkatkan lagi tahap penembusan, di samping pada masa yang sama memainkan peranannya untuk memenuhi keperluan sosio-ekonomi negara. Perkembangan yang menggalakkan dalam penjualan produk berkaitan pelaburan, yang mana dengan kelulusan diberikan kepada 5 lagi penanggung insurans untuk menjalankan perniagaan ini telah menjadikan bilangan penanggung insurans yang dibenarkan menjalankan perniagaan sedemikian kepada 12, juga memperlihatkan bahawa industri peka terhadap perubahan dalam pilihan pengguna.
Dalam sektor insurans am, fokus terus diberi kepada mempertingkatkan disiplin pasaran dan memperbaiki standard perkhidmatan kepada orang awam pada harga yang munasabah. Perkembangan penting ke arah ini ialah pelaksanaan pada 1 Julai 2000, tarif kebakaran yang dikaji semula, yang menghasilkan pengurangan premium secara keseluruhannya sebanyak hampir 15%. Tarif motor juga sedang dikaji semula dan dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan 2001. Untuk memperbaiki perilaku bagi insurans motor, industri juga telah mengusahakan berbagai-bagai langkah yang berkaitan dengan motor seperti menerima pakai perjanjian 'Knock-for-Knock' dan prosedur standard bagi menangani tuntutan kecelakaan berangkai. Suatu Pasukan Petugas Kecurian [Theft Task Force (TTF)] juga ditubuhkan oleh Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) untuk menangani perkara-perkara berkaitan dengan kecurian dan kehilangan harta benda. Di antara bidang kajian TTF termasuklah sistem anti-kecurian bagi kenderaan bermotor dan cara untuk mendapatkan sokongan tambahan daripada pihak berkuasa Kerajaan yang lain bagi mengurangkan kerugian kecurian dan penipuan yang semakin meningkat. Sebagai menyahut rancangan Kerajaan untuk mengubah sektor pertanian menjadi sektor yang moden, lebih komersial dan berasaskan teknologi di bawah Dasar Pertanian Negara yang Ketiga, satu pasukan petugas yang merangkumi wakil-wakil daripada Kementerian Pertanian, Bank Pertanian Malaysia, PIAM dan BNM telah ditubuhkan untuk memajukan perkhidmatan dan produk perlindungan insurans yang sesuai bagi sektor pertanian.
Kesimpulan
Berikutan daripada jangkaan perkembangan ekonomi yang berterusan dalam dekad akan datang, sebahagian besar daripada penduduk akan mempunyai pendapatan per kapita yang lebih tinggi dan keupayaan industri insurans untuk meraih bahagian yang nyata daripada pendapatan boleh guna ini akan bergantung kepada kemampuan penanggung insurans mengekalkan kedudukan daya saing mereka dalam persekitaran kewangan yang kian berubah dengan pesatnya. Oleh yang demikian, industri perlu berusaha dengan gigih untuk menjadi lebih berdaya tahan bagi menangani cabaran-cabaran yang mendatang.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.