Laporan Tahunan Insurans 2001
Bank Negara Malaysia telah menerbitkan Laporan Tahunan Insurans 2001 hari ini. Maklumat lanjut mengenai Bank Negara Malaysia dan penerbitannya boleh didapati di .
Laporan Tahunan Insurans 2001 menyediakan tinjauan tentang pentadbiran Akta Insurans 1996 dan prestasi dan perkembangan industri insurans Malaysia sepanjang tahun 2000 dan 2001.
Prestasi Industri Insurans
Pada tahun 2001, industri insurans terus mencatatkan pertumbuhan positif walaupun menghadapi persekitaran ekonomi yang lebih mencabar dengan pendapatan premium meningkat sebanyak 12.4% kepada RM17,101.2 juta, berbanding dengan 28.6% pada tahun 2000, yang merupakan 5.4% daripada Keluaran Negara Kasar. Aset kumpulan wang insurans industri berkembang sebanyak 14.6% pada tahun 2001 (2000: 15%) kepada RM59,848.5 juta.
Insurans Hayat
Pada tahun 2001, premium perniagaan baru insurans hayat mencatatkan pertumbuhan sebanyak 27.6% kepada RM5,249.5 juta selepas pertumbuhan pesat sebanyak 108% pada tahun 2000. Selaras dengan itu, nilai diinsuranskan dan bilangan polisi baru tumbuh masing-masing sebanyak 8.4% dan 10% kepada RM128,418.2 juta dan 1,364,582 polisi. Pertumbuhan premium hayat baru terutamanya didorong oleh premium tunggal ekoran penjualan produk anuiti yang berkembang dengan ketara sebanyak 45.1% untuk mencapai RM2,414.9 juta. Jumlah pendapatan industri insurans hayat meningkat sebanyak 13.2% untuk mencapai RM14,735.9 juta pada tahun 2001. Jumlah wang keluar industri menurun sebanyak 4.6% kepada RM6,700.1 juta terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam peruntukan bagi pengurangan nilai pelaburan sebanyak 69.3% kepada RM177.6 juta pada tahun 2001. Dengan penurunan jumlah wang keluar, lebihan pendapatan berbanding dengan wang keluar bagi perniagaan insurans hayat mencatatkan peningkatan sebanyak 34% kepada RM8,035.8 juta. Selaras dengan prestasi perniagaan yang pada keseluruhannya bertambah baik, jumlah aset kumpulan wang insurans hayat berkembang sebanyak 17.5% untuk mencapai RM44,992.3 juta. Kumpulan wang anuiti mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 73.8% untuk mencapai RM2,822.9 juta, manakala aset kumpulan wang insurans berkaitan pelaburan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 46.9% untuk mencapai RM844.1 juta.
Insurans Am
Pada tahun 2001, industri insurans am mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.8% dari segi premium langsung kasar kepada RM6,405.7 juta berbanding dengan peningkatan sebanyak 8.2% pada tahun 2000. Sektor motor terus menguasai dan merupakan 48.1% daripada premium langsung kasar industri insurans am. Selaras dengan peningkatan dalam premium bersih, nisbah bendungan bersih industri terus meningkat untuk mencapai 90.3% daripada 89.3% pada tahun 2000. Nisbah tuntutan keseluruhan industri insurans am menurun kepada 62.4% pada tahun 2001 (2000: 63.4%). Ini adalah disebabkan oleh peruntukan yang rendah yang dibuat bagi tuntutan dan bukannya disebabkan oleh pemulihan pengalaman tuntutan. Margin pengunderaitan penanggung insurans menjadi bertambah baik sebanyak 27.8% kepada RM192.4 juta berbanding dengan RM150.5 juta pada tahun 2000. Berserta dengan masuk kira semula peruntukan bagi pengurangan nilai sekuriti korporat dan hutang, perolehan semula hutang lapuk, penjualan aset dan pelaburan, keuntungan kendalian industri insurans am meningkat dengan ketara kepada RM767.4 juta. Jumlah aset kumpulan wang insurans am tumbuh sebanyak 6.8% untuk mencapai RM14,926.2 juta.
Dasar dan Langkah Memperkukuh Industri Insurans pada 2001
Satu perkembangan penting pada tahun 2001 adalah pelancaran Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK) yang akan mencorak hala tuju sistem kewangan pada dekad seterusnya. Bagi sektor insurans, tujuannya adalah untuk membentuk industri yang cekap, efektif dan stabil yang mampu berdaya tahan menghadapi pasaran yang lebih bebas dan kompetitif. Dalam melaksanakan PISK, fokus utama adalah untuk terus mempergiat inisiatif meningkatkan keupayaan yang akan menjadi asas kepada pembangunan industri insurans domestik. Satu langkah penting ke arah matlamat ini adalah pelaksanaan keperluan permodalan yang lebih tinggi sebanyak RM100 juta bagi penanggung-penanggung insurans langsung berkuat kuasa mulai 30 September 2001. Keperluan modal berbayar yang lebih tinggi ini menjadi pemangkin ke arah pengukuhan industri insurans memandangkan beberapa penanggung insurans memilih penggabungan sebagai cara mematuhi keperluan modal yang baru. Sejak tahun 1999, lapan penggabungan dan perolehan yang melibatkan 16 penanggung insurans telah diselesaikan sementara tujuh lagi cadangan yang melibatkan 13 penanggung insurans kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Dalam sektor insurans hayat, kemajuan terus dicapai dalam usaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam memasarkan produk insurans hayat sebagai respons kepada perubahan pilihan pengguna daripada produk insurans untuk perlindungan terhadap risiko luar jangka kepada produk insurans berunsurkan tabungan dan pelaburan. Memandangkan persekitaran pelaburan yang lembab, industri insurans hayat telah mengkaji semula kadar faedah maksimum yang diguna pakai ketika membuat andaian harga bagi manfaat yang tidak dijamin di bawah polisi insurans hayat untuk menggambarkan pulangan pelaburan yang lebih realistik dan meningkatkan prospek bagi mereka memenuhi obligasi jangka panjang sebagaimana yang dijangkakan oleh empunya polisi.
Bagi sektor insurans am, perkembangan yang menggalakkan telah dicapai, terutamanya oleh sektor insurans motor, menerusi penggunaan teknologi untuk memperbaiki amalan dalam menyelesaikan tuntutan dan memperkuatkan kawalan terhadap kegiatan penipuan. Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah penubuhan pangkalan data terpusat bagi penganggaran pembaikan motor, pelaksanaan perjanjian "Knock-for-Knock" yang dikaji semula, pengemukaan nota lindung insurans motor secara dalam talian kepada Jabatan Pengangkutan Jalan dan garis panduan mengenai pembaikan secara kontrak bagi kenderaan mengalami kemalangan. Kemajuan seterusnya juga telah dicapai dalam kerjasama insurans di peringkat serantau dengan termeterainya Protokol 5 oleh Menteri-menteri Kewangan ASEAN bagi pelaksanaan skim insurans kenderaan motor yang bakal memudahkan pergerakan lancar barangan dalam transit di rantau ASEAN.
Walaupun PISK menyediakan garis panduan bagi pembangunan industri, perhatian perlu ditumpukan kepada peranan penanggung insurans dalam melaksanakan strategi selaras dengan saranan-saranan PISK sekiranya matlamat yang disasarkan ingin dicapai. Tumpuan juga perlu diberikan kepada strategi-strategi yang menggalakkan kesedaran dan pendidikan pengguna untuk membangunkan masyarakat celik insurans. Pengguna perlu dipastikan memahami manfaat serta terma dan syarat kontrak insurans agar dapat membuat keputusan bijak tentang produk dan perkhidmatan insurans yang memenuhi keperluan mereka sepenuhnya. Pengguna juga seharusnya tahu hak-hak mereka dan bagaimana untuk melaksanakannya. Amalan etika yang baik oleh penanggung insurans dan pengantara dalam memenuhi keperluan pengguna yang berpengetahuan akan mendorong ke arah industri insurans yang lebih progresif.
Lihat juga: Laporan Tahunan Insurans 2001
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.