Laporan Tahunan Insurans 2002
Bank Negara Malaysia telah menerbitkan Laporan Tahunan Insurans 2002 hari ini.
Laporan Tahunan Insurans 2002 menyediakan tinjauan mengenai pentadbiran Akta Insurans 1996 serta prestasi dan perkembangan industri insurans di Malaysia sepanjang tahun 2001 dan 2002.
Prestasi Industri Insurans
Selaras dengan situasi ekonomi yang bertambah baik, jumlah pendapatan premium bagi perniagaan hayat (tidak termasuk perniagaan anuiti) dan am industri insurans meningkat sebanyak 14.3% (2001: 9.3%) daripada RM14,706.3 juta pada tahun 2001 kepada RM16,805.2 juta pada tahun 2002. Perniagaan hayat dan am mencatatkan pertumbuhan premium masing-masing sebanyak 16.2% dan 10.9%. Sekiranya perniagaan anuiti diambil kira, jumlah pendapatan premium industri insurans menurun sebanyak 1.6% (2001: +22.4%) kepada RM16,806.4 juta terutamanya disebabkan oleh penggantungan Skim Anuiti KWSP pada penghujung tahun 2001. Hasilnya, jumlah pendapatan premium industri insurans sebagai nisbah kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) nominal menurun sedikit kepada 5% pada tahun 2002 berbanding dengan 5.5% pada tahun 2001. Jumlah manfaat dan tuntutan bersih dibayar oleh industri pada tahun 2002 meningkat sebanyak 18.8% (2001: 16.3%) kepada RM7,622.1 juta, merupakan 45.3% daripada pendapatan premium. Peningkatan dalam jumlah bayaran manfaat dan tuntutan bersih adalah terutamanya disebabkan oleh pembayaran yang lebih besar bagi manfaat tamat tempoh bagi polisi hayat. Aset kumpulan wang insurans industri meningkat sebanyak 11.3% daripada RM59,869.2 juta pada tahun 2001 kepada RM66,639.8 juta pada tahun 2002 yang merupakan 4.8% daripada jumlah aset sistem kewangan (2001: 4.6%).
Insurans Hayat
Industri insurans hayat, dengan tidak mengambil kira perniagaan anuiti, mencatatkan pertumbuhan premium baru sebanyak 25.5% (2001: 15.8%) kepada RM3,557.3 juta pada tahun 2002. Pertumbuhan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh promosi yang aktif bagi produk berkaitan pelaburan dan pelan-pelan tabungan lain. Persekitaran kadar faedah yang lazimnya rendah berserta dengan keadaan pasaran saham yang lembap, telah membuka peluang kepada penanggung insurans hayat untuk memperkenalkan produk insurans yang mempunyai komponen tabungan yang lebih tinggi.
Dengan mengambil kira perniagaan anuiti, industri insurans hayat mencatatkan penurunan dalam perniagaan baru pada tahun 2002 sebanyak 32.2% kepada RM3,558.5 juta (2001: RM5,247.9 juta) berbanding dengan pertumbuhan sebanyak 54% pada tahun 2000 dan 78.4% pada tahun 2001. Ini adalah berikutan daripada pemberhentian skim anuiti.
Pada tahun 2002, nilai baru diinsuranskan dan bilangan polisi baru dikeluarkan meningkat masing-masing sebanyak 9.1% (2001: 10.4%) dan 0.8% (2001: 16.7%) kepada RM140,715.7 juta dan 1,381,125 polisi. Dari segi portfolio perniagaan baru, polisi berkaitan pelaburan dan endowmen mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan masing-masing sebanyak 110.1% dan 25.2%, sementara polisi anuiti dan seumur hidup merosot masing-masing hampir kepada 100% dan 11.6%. Perniagaan endowmen dan berkaitan pelaburan kedua-duanya menguasai sebanyak 53% daripada pasaran perniagaan baru industri insurans hayat. Pemberhentian skim anuiti KWSP telah menyebabkan penurunan sebanyak 4.2% (2001: +25.7%) dalam jumlah pendapatan industri insurans hayat daripada RM14,708.7 juta pada tahun 2001 kepada RM14,090.5 juta pada tahun 2002, sementara jumlah wang keluar mencatatkan peningkatan sebanyak 14.6% (2001: -1.2%) daripada RM6,671.9 juta pada tahun 2001 kepada RM7,649.3 juta pada tahun 2002. Hasilnya, lebihan pendapatan ke atas wang keluar pada tahun 2002 merosot sebanyak 20% kepada RM6,441.2 juta pada tahun 2002. Jumlah aset kumpulan wang insurans hayat mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 14% (2001: 22.1%) untuk mencapai amaun sebanyak RM51,217.7 juta pada tahun 2002.
Insurans Am
Industri insurans am mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.4% dalam premium langsung kasar kepada RM7,387.8 juta pada tahun 2002 berbanding dengan peningkatan sebanyak 8% pada tahun 2001. Dengan prestasi perniagaan yang bertambah baik, premium langsung kasar juga telah meningkat disebabkan kadar premium yang lebih tinggi yang telah meningkat seiring dengan pengerasan kadar dalam pasaran global. Sektor motor terus menguasai pasaran dengan bahagian sebanyak 46% daripada premium langsung kasar industri. Walau bagaimanapun, nisbah bendungan bersih industri insurans am menurun kepada 86.8% pada tahun 2002, daripada 90.2% pada akhir tahun 2001 disebabkan peningkatan kos insurans semula dalam pasaran global. Nisbah tuntutan industri meningkat sedikit kepada 63.2% pada tahun 2002 (2001: 63%). Walau bagaimanapun, nisbah tuntutan motor telah merosot terutamanya dalam kelas perniagaan motor mandatori di mana nisbah tuntutan meningkat dengan ketara kepada 142.8% berbanding dengan 111.7% pada tahun 2001. Margin pengunderaitan penanggung insurans meningkat kepada RM251.4 juta, berbanding dengan RM170.1 juta pada tahun 2001. Keuntungan kendalian penanggung insurans am meningkat sebanyak 8.3% kepada RM809.3 juta, terutamanya disebabkan oleh jumlah laba modal yang besar dan peningkatan keuntungan pengunderaitan dan juga pendapatan pelaburan. Jumlah aset kumpulan wang insurans am tumbuh pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 3.2% untuk mencapai RM15,422.1 juta.
Dasar dan Langkah-langkah untuk Mengukuhkan Industri Insurans
Tahun 2002 menyaksikan kemajuan yang nyata dalam pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK). Sebagai sebahagian daripada pendekatan strategik dan bersepadu untuk membangunkan industri insurans sebagai salah satu daripada komponen teras sektor kewangan, Bank telah menjalankan beberapa inisiatif penting di bawah fasa pertama PISK. Inisiatif utama ini, terutamanya, menumpu kepada memberikan pengendalian dan pengurusan yang lebih fleksibel, peluang yang lebih besar bagi mewujudkan sinergi perniagaan dan meningkatkan persaingan di samping menggalakkan pendidikan pengguna dan penguatkuasaan berkesan melalui proses campur tangan penyeliaan yang lebih ketat. Selain itu, kemajuan yang nyata juga dicapai dalam memuktamadkan rangka kerja pengawalan bagi penasihat kewangan, yang bertujuan untuk meningkatkan standard profesionalisme dalam pemasaran produk insurans hayat dan meningkatkan tahap penembusan pasaran insurans hayat. Dengan pengenalan penasihat kewangan, pengguna akan mempunyai akses kepada pilihan produk kewangan yang lebih luas daripada pembekal-pembekal khidmat kewangan yang bersaing daripada satu sumber.
Sebagai sebahagian daripada program untuk meningkatkan kapasiti dan pembangunan institusi, program penandaarasan telah diperkenalkan bagi industri insurans bagi mendorong penanggung insurans mempertingkatkan prestasi mereka dan memperkukuhkan kedudukan daya saing mereka. Untuk melengkapi usaha menanda aras ini, Bank juga telah memulakan kajian analisis pasaran untuk merangka indeks kualiti perkhidmatan bagi industri insurans. Indeks ini akan menyediakan asas objektif bagi penilaian tahap perkhidmatan dari perspektif pengguna.
Dalam sektor insurans hayat, inisiatif sepanjang tahun terus memberikan tumpuan kepada mempertingkatkan profesionalisme ejensi, termasuklah penyemakan semula garis panduan mengenai pengambilan ejen syarikat lain, penekanan ke atas latihan dan pengambilan ejen yang berkualiti sebagai suatu cara untuk membina tenaga ejensi, serta pelancaran Program Perancang Kewangan Berdaftar [Registered Financial Planner (RFP)] pada bulan November. Program RFP ini direka bentuk untuk mempersiapkan ejen insurans hayat ke arah trend penubuhan perkhidmatan kewangan setempat, yang akan menawarkan pengguna pilihan produk tabungan dan pelaburan yang luas. Program ini dijangka akan meningkatkan kompetensi, amalan dan etika yang profesional di kalangan ejen insurans hayat dalam industri.
Dalam sektor insurans am, perhatian utama telah diberikan untuk memperbaiki khidmat pengendalian tuntutan. Sehubungan ini, garis panduan mengenai amalan penyelesaian tuntutan telah disemak semula bagi memasukkan langkah yang telah diperbaiki dan amalan pasaran serta untuk menetapkan kawalan penipuan minimum dan langkah pengurusan risiko dalam pengendalian tuntutan. Garis panduan yang disemak semula ini dijangka akan meningkatkan standard kualiti industri dalam pengendalian tuntutan insurans am.
Perubahan yang dinyatakan di bawah PISK hanya akan dapat dicapai jika disertai dengan komitmen kepada nilai-nilai korporat dan etika yang tinggi dalam amalan perniagaan insurans, pengurusan risiko yang sihat, dan pelan tindakan yang konkrit di pihak penanggung insurans bagi menyediakan mereka untuk menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
See also: Laporan Tahunan Insurans 2002
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.