Laporan Tahunan Insurans 2003
Bank Negara Malaysia telah menerbitkan Laporan Tahunan Insurans 2003 hari ini.
Laporan Tahunan Insurans 2003 menyediakan tinjauan mengenai pentadbiran Akta Insurans 1996 serta prestasi dan perkembangan industri insurans Malaysia sepanjang tahun 2002 dan 2003.
Prestasi Industri Insurans
Berikutan pengukuhan ekonomi domestik, momentum pertumbuhan industri insurans berterusan pada tahun 2003. Industri insurans memainkan peranan penting dalam memudahkan pemindahan risiko ekonomi dan menggerakkan dana jangka panjang untuk pembangunan ekonomi. Sepanjang tahun ini, industri insurans mencatat pertumbuhan sebanyak 11.7% dalam jumlah pendapatan premium hayat dan am untuk mencapai RM18,825.6 juta (2002: -1.3% kepada RM16,854.5 juta). Pendapatan premium industri insurans merupakan 5.1% daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) nominal pada tahun 2003, berbanding dengan 5% pada tahun 2002.
Aset kumpulan wang insurans meningkat sebanyak 15.3% kepada RM76,805 juta pada tahun 2003, disumbang terutamanya oleh pertumbuhan aset kumpulan wang insurans hayat.
Perniagaan Insurans Hayat
Industri insurans hayat mencatat pertumbuhan premium baru sebanyak 35.3% (2002: -31.7%) kepada RM4,844.9 juta pada tahun 2003, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengembangan yang ketara dalam perniagaan berkaitan pelaburan dan produk endowmen. Memandangkan persekitaran kadar faedah semasa yang rendah, produk premium tunggal terutamanya produk berkaitan pelaburan yang menawarkan kadar pulangan yang dijamin ke atas jumlah premium yang dibayar, terus menarik minat yang tinggi daripada pengguna.
Pada tahun 2003, bilangan polisi baru telah bertambah sebanyak 15.9% manakala nilai baru diinsuranskan meningkat sebanyak 19.7%. Dari segi komposisi premium perniagaan baru, polisi endowmen dan berkaitan pelaburan terus menguasai pasaran dengan bahagian masing-masing meningkat kepada 31.1% dan 28% (2002: 28.8% dan 24.9%). Peningkatan ini menunjukkan trend ke arah kecenderungan pengguna yang kuat terhadap produk insurans berbentuk tabungan berbanding dengan polisi perlindungan.
Penembusan pasaran, yang diukur berdasarkan jumlah bilangan polisi berkuat kuasa kepada jumlah penduduk, terus berkembang daripada 34.6% pada tahun 2002 kepada 36.7% pada tahun 2003. Walau bagaimanapun, tahap penembusan pasaran secara relatif kekal rendah berbanding dengan pasaran yang lebih maju, menunjukkan terdapatnya potensi yang tinggi bagi penanggung insurans tempatan untuk meningkatkan lagi penembusan mereka dalam pasaran yang masih belum diterokai.
Dirangsang oleh pertumbuhan dalam premium perniagaan baru, jumlah pendapatan industri insurans hayat mencatat pertumbuhan ketara sebanyak 18.4% (2002: -4.3%) kepada RM16,650.3 juta pada tahun 2003, manakala jumlah wang keluar meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 5.9% (2002: 15.2%) kepada RM8,128.9 juta. Hasilnya, lebihan pendapatan ke atas wang keluar meningkat dengan ketara sebanyak 33.3% pada tahun 2003. Jumlah aset kumpulan wang insurans hayat terus meningkat dengan ketara pada kadar 17.6% (2002: 13.9%) kepada RM60,193.3 juta pada tahun 2003.
Insurans Am
Industri insurans am mencatat pertumbuhan premium sebanyak 9.9% kepada RM8,185.1 juta pada tahun 2003 (2002: 16.3% kepada RM7,449.1 juta). Pertumbuhan premium yang sederhana ini adalah disebabkan oleh pertumbuhan premium motor yang lebih perlahan berikutan penurunan jualan kenderaan bermotor pada tahun 2003 serta penurunan kadar premium bagi perniagaan Marin, Udara dan Transit (MUT). Perniagaan motor kekal sebagai kelas perniagaan dominan, menguasai sebanyak 44% daripada jumlah premium langsung kasar.
Nisbah bendungan bersih keseluruhan perniagaan di Malaysia menurun sedikit kepada 85.5% pada tahun 2003 (2002: 86.9%), terutamanya disebabkan oleh penurunan bendungan bagi kelas perniagaan MUT serta kelas perniagaan pembinaan dan kejuruteraan. Penanggung insurans semula profesional, walau bagaimanapun, mencatat nisbah bendungan yang lebih tinggi sebanyak 85% pada tahun 2003 (2002: 77.6%) dengan penghapusan retrosisen oleh Malaysia National Reinsurance Berhad (MNRB) kepada industri berikutan pelaksanaan semakan semula struktur peraturan sisen sukarela pada bulan Januari 2003. Dengan tidak mengambil kira MNRB, penanggung insurans semula asing mencatat nisbah bendungan yang lebih tinggi sedikit sebanyak 95.4% (2002: 94.5%). Penanggung insurans semula profesional, yang merupakan cawangan penanggung insurans semula antarabangsa yang ternama telah dapat mengekalkan nisbah bendungan yang lebih tinggi memandangkan kapasiti mereka yang lebih tinggi untuk membendung risiko.
Nisbah tuntutan keseluruhan bertambah baik kepada 59% pada tahun 2003 daripada 62.9% pada tahun 2002, dengan semua kelas perniagaan, kecuali motor, mencatatkan pengalaman tuntutan yang lebih baik. Berikutan pengalaman tuntutan keseluruhan yang lebih baik dan juga kawalan kos perolehan, keuntungan pengunderaitan yang dicatatkan oleh industri insurans am meningkat kepada RM534.1 juta atau margin sebanyak 8.6% daripada pendapatan premium terperoleh berbanding dengan RM232.8 juta atau margin sebanyak 4.1% pada tahun 2002. Jumlah keuntungan kendalian penanggung insurans am meningkat kepada RM1,408.5 juta pada tahun 2003 (2002: RM819.1 juta) disebabkan keuntungan pengunderaitan yang lebih baik dan juga persekitaran pelaburan yang memberangsangkan. Jumlah aset kumpulan wang insurans am mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 7.4% (2002: 3.5%) kepada RM16,611.7 juta pada akhir tahun 2003.
Dasar dan Langkah bagi Mengukuhkan Industri Insurans
Pada tahun 2003, kemajuan seterusnya telah dicapai dalam pelaksanaan langkah-langkah di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan untuk meningkatkan kapasiti penanggung insurans domestik bagi menyokong industri insurans yang lebih kukuh, berdaya saing dan dinamik. Langkah-langkah polisi terus memastikan persekitaran kawal selia yang lebih kukuh dan fleksibel untuk inovasi, penyamalainan dan kecekapan dalam industri. Ini disokong oleh keupayaan pemantauan Bank yang dipertingkat untuk memudahkan penyeliaan penanggung insurans yang berkesan berdasarkan perniagaan dan profil risiko mereka selaras dengan fokus Bank yang semakin meningkat terhadap penyeliaan berdasarkan prestasi.
Asas bagi kestabilan pasaran yang berterusan dalam peralihan ke arah persekitaran yang lebih berdaya saing telah diperkukuh dengan pelaksanaan beberapa inisiatif yang penting bagi meningkatkan infrastruktur perlindungan pengguna. Ini adalah termasuk langkah mengeluarkan garis panduan mengenai amalan tidak adil untuk menggalakkan layanan pengguna yang adil dalam pengendalian perniagaan insurans, keperluan kemasukan minimum bagi ejen baru yang lebih tinggi dan pelaksanaan program pembangunan profesional berterusan untuk mempertingkatkan profesionalisme tenaga ejensi. Pelaksanaan yang berterusan bagi program pendidikan pengguna yang menyeluruh dijangka akan meningkatkan tahap kesedaran dan penghargaan pengguna mengenai insurans dengan ketara. Dalam sektor insurans hayat, garis panduan amalan nasihat wajar telah dikeluarkan untuk menangani amalan salah jual oleh pengantara insurans. Garis panduan ini menetapkan standard minimum nasihat wajar dan menginstitusi proses berstruktur untuk dipatuhi dalam penjualan produk insurans hayat. Kemajuan yang ketara juga dicapai dalam penubuhan biro pengantara kewangan tunggal yang akan meningkatkan capaian awam dan memudahkan pemberian khidmat aduan dan pengendalian pertikaian yang lebih cekap kepada para pengguna kewangan di Malaysia.
Langkah-langkah yang tertentu juga telah diambil untuk meningkatkan standard urus tadbir korporat. Khususnya, struktur urus tadbir yang sedia ada terus diperkukuh untuk meningkatkan keberkesanan dan kebertanggungjawaban lembaga pengarah. Ketelusan yang lebih tinggi telah dicapai dengan pendedahan tambahan yang dikenakan terhadap penanggung insurans berhubung dengan imbuhan pengarah dan ketua pegawai eksekutif.
Dalam sektor insurans am, inisiatif-inisiatif telah diambil untuk meningkatkan standard pengunderaitan dan pengurusan tuntutan. Sepanjang tahun ini, semakan semula secara menyeluruh ke atas garis panduan mengenai amalan penyelesaian tuntutan telah disempurnakan untuk terus meningkatkan kecekapan dalam proses pengendalian tuntutan dan memperkukuh langkah bagi mengawal penipuan. Langkah-langkah yang baru telah diperkenalkan di bawah garis panduan yang disemak semula ini termasuk penubuhan kaunter perkhidmatan tuntutan oleh penanggung insurans untuk membantu empunya polisi mengenai perkara berkaitan tuntutan, peningkatan ketelusan menerusi pendedahan terperinci kepada pihak menuntut berhubung dengan amaun yang ditawarkan untuk penyelesaian tuntutan dan kewajipan merujuk kepada pangkalan data terpusat bagi penganggaran pembaikan motor untuk mengurangkan kesubjektifan dalam penentuan kos pembaikan. Langkah penting juga telah diambil dalam usaha untuk memerangi penipuan insurans motor dengan tertubuhnya infrastruktur untuk jalinan elektronik di antara penanggung insurans dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Dengan pengeluaran nota perlindungan elektronik di bawah jalinan ini untuk menggantikan nota perlindungan fizikal, insiden nota perlindungan palsu yang dijual kepada pemilik kenderaan yang kemudiannya dikemukakan untuk mendapatkan sijil cukai jalan, akan dapat dihapuskan secara berkesan.
Pada tahun 2004, langkah-langkah polisi untuk industri insurans akan terus ditumpukan terhadap pencapaian pertumbuhan yang lebih tinggi dan stabil. Usaha-usaha pembinaan institusi dan kapasiti yang berterusan akan diambil dalam rangka kerja yang menggalakkan amalan kewangan dan perniagaan yang sihat. Khususnya, perhatian akan diberikan terhadap pembangunan saluran pengagihan alternatif dan bidang pertumbuhan baru untuk mencapai penembusan pasaran yang lebih tinggi. Ini akan merangkumi langkah-langkah tertentu untuk terus membangunkan aktiviti bankasurans dan meningkatkan keupayaan industri untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat dan berbeza bagi pelan insurans berbentuk tabungan seperti produk berkaitan pelaburan. Kemajuan industri insurans adalah diukur berdasarkan penunjuk prestasi dalam usaha penandarasan untuk mendorong peningkatan prestasi. Pendidikan pengguna tetap menjadi keutamaan Bank. Dalam hal ini, rancangan untuk aktiviti seterusnya di bawah program pendidikan pengguna telah disediakan dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2004.
Lihat Juga: Laporan Tahunan Insurans 2003 (Buku)
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.